Lilypie - Trying to Conceive

Tuesday, August 21, 2012

Eid Mubarak 1433 H

Alhamdulillah....terima kasih Ya Rabb kerana mengizinkan diriku menikmati kemeriahan menyambut Eid Mubarak 1433 H selepas berpuasa sebulan di bulan Ramadhan yang berkat.

Menyambut kedatangan Syawal tanpa ayahanda di sisi dan bukan berada di kampung halaman sendiri, amatlah asing bagi diriku. Walaupun bonda dan kekandaku berada di sisi dengan persiapan raya sama seperti tahun-tahun lepas, namun nikmat berkumpul beramai-ramai sambil mendengar celoteh ayah tiada lagi. Tiada siapa yang memantau kerja-kerja kami anak-anaknya serta bertindak sebagai mandor untuk persiapan raya kali ini.

Kami menyambut Eid Mubarak di rumah kekandaku Robiah di Taman Gunung Emas. Ketupat dan rendang serta kuih muih disediakan khas oleh abang dan kakak iparku dari Meru. Tiada lagi aktiviti bergotong royong membuat kuih raya di hari mantai. Sarung ketupat pun ditempah khas dari Meru.

Sanak saudara pun dan berkembang biak. Yang pergi tetap akan pergi namun yang masih diberikan nikmat hidup olehNya mesti meneruskan kehidupan seperti biasa. Tali silaturrahim dijaga agar tidak terputus. Kunjung mengunjung ke rumah saudara mara janganlah dilupakan. Kenal mengenal antara sanak saudara wajib diteruskan agar generasi akan datang akan saling mengenali antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi saudara mara sebelah arwah ayahandaku yang tercinta. Walaupun dia telah tiada, namun ikatan persaudaraan tidak akan terputus.

Friday, August 17, 2012

Ramadhan kian berakhir

Alhamdulillah....terima kasih Ya Rabb kerana mengizinkan diriku menikmati Ramadhan hingga ke hari 27 ini. Semoga segala ilmu dan amalan yang kulakukan di bulan yang berkat ini akan kuteruskan di bulan-bulan yang berikutnya. Jadikanlah tarbiyah yang kuperolehi dari madrasah Ramadhan ini sebagai pemangkin untuk aku terus mendekatiMu Ya Allah.

Hatiku yang sayu dan sedih, kini kutemui jalan ketenangannya di sini, Ya Allah. Mungkin ini kali terakhir untuk aku beriktikaf di Masjid UTM ini. Walaupun aku tidak dapat menunaikan solat tarawih di sini, aku cuma dapat luangkan masa untuk menunaikan solat zohor dan asar secara berjemaah di sini. Terima kasih Ya Rabb kerana memberikan ketenangan jiwa dan perasaanku ini. Tiada yang selayaknya dapat membantu memberikan ketenangan dan kedamaian hati ini melainkanMu Ya Allah.

Jadikanlah kitab suci al-QuranMu sebagai sahabat karibku dan paling utama adalah manual kehidupanku terdapat dalamnya. Perbaikilah bacaanku serta fahamkanlah apa yang terkandung di dalam kitab suciMu Ya Allah. Ya Allah, ingatkanlah apa yang aku terlupa dan apa yang aku jahil terhadap ilmuMu.

Tinggal 2 hari lagi untuk kami berada di bulan RamadhanMu Ya Allah. Selepas ini, kami akan bertemu dengan Syawal pula. Eid Fitri.....semoga kami kembali kepada fitrah kejadian kami yang suci bersih Ya Allah. Kau ampunilah segala dosa dan kesalahan yang kami lakukan sama ada sengaja atau sebaliknya. Ampunilah dan rahmatilah kedua-dua ibu dan ayahku Ya Allah, dan kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku ketika aku kecil. Namun aku pasti kasih sayangMu mengatasi segala-galanya.


Ramadhan satu perubahan

Alhamdulillah...terima kasih Ya Rabb kerana mengizinkan diriku untuk bersama-sama menunaikan solat tarawih secara berjemaah di surau Taman Gunung Emas, Tampin untuk malam yang 29 Ramadhan 1433 H. Mungkin ini malam terakhir aku dapat bersamamu Ramadhan.

Semoga segala amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan kali ini diterima olehMu Ya Allah. Jadikanlah segala amalan yang dipraktikkan di bulan Ramadhan ini diteruskan untuk bulan yang akan datang.

Tuesday, August 14, 2012

Hadiah buat ayah

Ya Allah, ampunilah segala dosa dan kesalahan ayahandaku, Ismail sepanjang hidupnya. Permudahkanlah Ya Allah, urusannya di sana. Tenangkanlah dirinya dan tempatkanlah rohnya bersama para syuhada' dlm pjuangan agamaMu. Berkatilah segala amal dan perbuatannya untuk menjadi bekalannya di sana.

Insan yang pada pandangan mata kasarnya, amat engkau benci, hakikatnya adalah insan yang amat engkau sayangi, wahai ayahandaku. Saat akhir hayatmu, engkau tidak ditakdirkan untuk bertemu dengan cucu sulungmu, tetapi hakikatnya, dia selalu mengingati dan menyayangi dirimu, begitu jua dengan dirimu, wahai ayahandaku.

Tiada lagi kedengaran suaramu meminta pertolongan untuk mengurut kakimu yang sakit-sakit. Tiada lagi suara yang mengejutkanku untuk bangun sahur. Tiada lagi suara untuk kami berbual-bual di meja makan atau ketika menonton tv. Tiada lagi suara yang mengejutkan diriku dikala engkau kesakitan di tengah malam.

Tolonglah aku Ya Allah, bantulah aku Ya Allah....untuk menerima qada' dan qadarMu ini. Sesungguhnya aku tidak mampu menghadapi segalanya tanpa bantuan dariMu.

Ayah, maafkan diri anakmu ini andai terleka dan terlalai untuk menghadiahkan al-Fatihah untuk dirimu di sana. Jadikanlah diriku anak yang solehah Ya Allah, agar dapat membantu dirinya di sana. Persiapkan diriku dengan bekalan yang cukup untuk aku ke sana nanti dan bertemu dengan ayah dan bondaku di negeri abadi. Jangan Ya Allah, Engkau lalaikan hatilu dengan harta dunia yang fana ini. Peringatkanlah diriku agar sentiasa mengingatiMu dan mengumpulkan bekalan untuk negeri abadi.

Terima kasih Ya Rabb...


Friday, August 10, 2012

Keluarga Bahagia

Terima kasih Ya Allah kerana mengajarku erti hidup dalam kesederhanaan. Bahagia yang dicari bukan dengan harta yang banyak, rumah dan kereta yang mewah namun ianya adalah anugerah Ilahi. Biarlah di mata manusia kita dilihat tiada apa-apa tapi yang paling utama adalah pada pandangan Allah. Biarlah kita hina di mata manusia namun mulia di sisi Allah.

Terima kasih Ya Allah kerana mengingatkan diriku untuk aku terus bersyukur atas segala nikmat yang Engkau telah kurniakan kepada diriku.

Terima kasih ayah, terima kasih bonda kerana mengajarku erti bersyukur dengan apa yang ada. Hiduplah dalam bersederhana agar hati kita menjadi tenang.

Ramadhan bakal meninggalkan kita, dan Syawal pasti menjelma. Apa persiapan untuk menyambut Syawal? Tanya pada diri, apa pula persiapan untuk menyambut Ramadhan yang bakal berakhir ini. Jika bulan yang penuh keberkatan ini pun kita tidak bersedia untuk bertemunya, apalah maknanya Syawal itu kepada kita.

Bagaimanakah kita menyambut kemenangan setelah sebulan berada di madrasah tarbiyah. Kita berkonvo di bulan Syawal. Adakah meraikan kemenangan itu perlu dengan berpakaian yang serba baru atau bersederhana sahaja mengikut kemampuan kita. Kanak-kanak yang masih kecil pun paham, bagaimana pula dengan diri kita?

Terima kasih Ya Allah kerana kanak-kanak ini telah menyedarkan diriku agar hidup dalam kesederhanaan.

Teringat pada arwah ayahandaku yang tercinta. Tiada pakaian baju raya baru untuknya setiap kali menyambut hari raya. Walaupun anak-anak akan membelikan pakaian baru untuknya, dia pasti akan memakai pakaian yang selesa dipakai oleh beliau. Tapi duit untuk disedekahkan kepada anak, cucu dan cicitnya tidak pernah dilupakan. Biarlah kita mencari kemuliaan di sisi Allah melebihi kemuliaan di sisi manusia. Kita tidak dapat memuaskan hati setiap insan namun cukuplah kita dapat redha dari Yang Maha Pencipta. Itu yang lebih utama.

Lakukanlah apa sahaja pekerjaan asalkan mendapat redha dan keberkatan dariNya. Walaupun orang lain nampak susah dan tidak mencukupi, insha Allah dengan izin Allah, semuanya akan cukup, malahan lebih dari cukup. Kerana perlu diingat, rezeki itu adalah milik Allah. Rezeki yang berkat adalah anugerah Allah yang amat bermakna bagi kita sebagai seorang insan dan hambaNya.

Terima kasih ayah, mak, along, angah, alang, dan achik kerana mengajarku erti sebenar kehidupan. Biarlah diri kita hina pada pandangan manusia namun tidak di sisi Allah. Carilah keberkatan dalam kehidupan ini agar diri kita menjadi lebih tenang.

Terima kasih Ya Rabb atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku. Moga segala urusan kami dipermudahkan olehMu Ya Allah demi mencari keredhaanMu di dunia dan di akhirat sana. Pertemukanlah kami semua di syurgaMu nanti. Tabahkanlah kami menghadapi segala dugaan dan ujian yang Engkau anugerahkan, agar lebih mendekatkan diri kami kepadaMu.


Tuesday, August 7, 2012

Teman Sejati

Alhamdulillah....terima kasih Ya Allah kerana mengaturkan pertemuanku dengan sahabat dan teman yang ingin aku temui. Keberkatan bulan Ramadhan ini mempertemukan sahabat serumah sewa yang telah lebih 5 tahun tidak berjumpa.

Pertemuan yang Engkau aturkan ini menguatkan semangatku yang telah hilang. Setiap insan pasti akan diuji dengan kehilangan....begitu jualah sahabat dan temanku. Seorang sahabatku telah kehilangan insan yang bakal menjadi teman hidupnya 5 tahun yang lepas. Seorang lagi kehilangan insan yang amat disayanginya iaitu ayahandanya pada tahun 2009. Tahun ini merupakan tahun kedua pemergian arwah ayahandaku yang tercinta. Namun, saat kehilangannya amatlah aku rasai pada saat ini...lebih2 lg bulan Syawal bakal menjelma. Tahun 2010 adalah tahun terakhir kami menyambut Eid Fitri bersama2. Banyak permintaannya pada tahun itu, minta buatkan lemang, ketupat, rendang, dodol dan kuih baulu yang menjadi kegemarannya setiap kali menyambut hari raya. Rupa2 nya itulah kali terakhir kami beraya bersama.

Tanpa bicara, tanpa kata2, namun suara hati kami berinteraksi, wahai sahabat. Terima kasih Ya Allah kerana memberikan aku pembantu di saat aku memerlukan bantuan, kerana kedhaifan diri ini. Hakikatnya, bantuan itu hadir dengan izinMu dan adalah bantuan drpdMu. Sahabatku memberitahu, jangan risau, insha Allah akan ada orang yang akan membantu kita bila kita berada dalam kesusahan. Selagi mana kita menjaga Allah, maka Allah pasti akan menjaga kita. Mintalah padaNya jalan keluar, pasti akan ditunjukkanNya. Hanya yang perlu bagi kita, adalah bersabar...dan terus bersabar dalam menghadapi segala jalan yang harus dilalui itu.

Hatiku kembali tenang Ya Allah. Terasa nikmatnya bila hidup keranaMu Ya Allah. Segala urusanku kuserahkan kepadaMu Ya Allah. Semangatku yang hilang telah kembali dengan dorongan dan semangat dari insan2 yang menyayangi diri ini.


Monday, August 6, 2012

Kau Sahabat Kau Teman


Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah kerana mengurniakan kepadaku insan-insan terpilih yang sentiasa menyayangi diriku, hakikatnya kasih sayang itu dariMu jua. Ukhuwwah fillah itu sgt indah, tidak dapat digambarkan dgn kata2.

Sahabat,
Maafkan diri ini andai selama ini diriku banyak mengguriskan hati dan perasaanmu. Ikhlaskanlah diriku ya Allah dlm menjalinkan ukhuwwah hanya keranaMu.

Andainya kami ditakdirkan untuj berpisah, jadikanlah perpisahan itu diredhai olehMu. Jadikanlah pertemuan kami itu pertemuan yang diredhai olehMu. Jangan Ya Allah, Kau jadikan pertemuan dan perpisahan kami itu sia-sia tanpa keredhaan dariMu.

Jadikanlah aku insan yang ikhlas dalam bersahabat. Redhakan diriku terhadap segala ketentuanMu. 

Terima kasih Ya Allah kerana mempertemukanku dengan sahabat yang sejati. Yang sanggup berkorban masa senang dan susah demi seorang sahabat. Aku tidak mampu Ya Allah untuk menjadi teman yang terbaik untukNya namun Ya Allah, Kau kurniakanlah baginya ketenangan jiwa dan rohani sepertimana temanku ini sanggup melakukan yang terbaik untukku. Segala pengorbanan dan kasih sayangnya kau balaslah dengan kasih sayangMu yang tak pernah berbelah bahagi.

Mudahkan segala urusannya Ya Allah. Kurniakanlah dirinya insan yang terbaik untuk dirinya. Aku tidak tahu Ya Allah, namun Engkau Maha Mengetahui. Ikhlaskanlah diri ini dalam bersahabat hanya keranaMu semata-mata.

Jagalah dirinya agar sentiasa dalam lindungan dan rahmatMu Ya Allah. Tetapkanlah hatinya agar terus berada di jalanMu. Perluaskanlah rezekinya dan permudahkanlah segala urusan di dunia yang fana ini dan di akhirat sana nanti. Kurniakanlah kepadanya pembantu di saat dia memerlukan bantuan Ya Allah. Hanya Engkaulah yang selayaknya untuk memberikan bantuan kepadanya.

Terima kasih sahabat kerana sudi menemani perjalananku ini menuju redhaMu Ya Allah.


Wednesday, August 1, 2012

Klinik Psikiatri

Hari ini ada temujanji dengan pakar psikiatri Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Hampir setahun aku menjalani rawatan susulan di sini. Next appointment bulan November 2012. Dah tak perlu amik ubat penenang. Kalau ambil pun bukannya aku makan, simpan jer buat pekasam.

Setiap kali datang check up, timbang berat dan amik tekanan darah. Pastu pakar psikiatri plak tanya, macamana dengan kesihatan; sihat, ada sedih2 lagi. ALHAMDULILLAH.... setakat ini bertambah baik. Mula2 ditetapkan temujanji seterusnya bulan Januari 2013. Ubat kena teruskan ambil yer...

Dengan jujur dan amanah, aku memberitahu, saya dah lama tak makan ubat tue. Amik jer. OK.

SO, next appointment, bulan November 2012. Untuk tengok perkembangan jika tak makan ubat. Jadi bahan ujikaji plak.