Thursday, February 28, 2013

Inspirasi 2013 # Run010


SENTIASA ADA JALAN
Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Aliy Yang Maha Tinggi atas segala nikmatMu, nikmat ihsan, iman dan Islam yang Engkau kurniakan kepada diriku yg ORI ini.
Ya Allah Yang Menyembuhkan segala penyakit, berilah penawar kepada penyakit yang dialami oleh bondaku Jamilah binti Ibrahim dan adindaku yang tersayang agar mereka dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai hambaMu dengan sempurna. Berikanlah keringanan dan kemudahan serta ketenangan hati dan jiwa tatkala diuji dengan kesakitan ini wahai Ya Syafiy Yang Menyembuhkan dan Penawar bagi segala jenis penyakit.
Banyak kenikmatan yang tersembunyi
Di antara taring-taring bencana.
Banyak kegembiraan yang menghadap arah
Di mana beberapa musibah menanti.
Bersabarlah atas ujian-ujian yang menimpamu
Kerana segala sesuatu ada sebabnya.
Setiap kesusahan itu ada kegembiraannya
Setiap yang murni ada campurannya.
"Ya Allah Ya Aliy Yang Maha Tinggi, jadikanlah kami manusia yang teguh dalam menghadapi apa sahaja cubaan yang menimpa kami. Bagaimana susah pun hidup kami, masukkanlah keyakinan dalam diri kami, sentiasa ada jalan bagi kami."
~ No Mind ~
~ 18 Rabiul Akhir 1434 H ~

Wednesday, February 27, 2013

Inspirasi 2013# Run009

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Fattah atas segala nikmat dan kurniaMu kepada diriku di saat dan tika ini, nikmat ihsan, iman dan Islam.

Wahai sahabatku, marilah kita sama-sama tika ini dan saat ini menjadi insan kamil mukmin dan mukminah profesional dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini.
Yakin dan percayalah wahai diri serta sentiasalah sedar akan Allah adalah sumber segala sesuatu, ALLAHu SoMaD. Walau sesukar manapun cubaan dan halangan yang perlu kita tempuhi, tetapknlah keyakinan kepada Allah Ya Fattah Yang Maha Pembuka dan sentiasalah sedar akan Dia. Jalan tetap terbuka luas untuk kita di hadapan sana. Teruskan bergerak ke hadapan, jangan duduk diam kerana Dia Ya Musawwir Yang Maha Kreatif mahu kita terus belajar dan terus belajar dengan segala ilmuNya yang Maha Luas.

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah memberi petunjuk kepadanya. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah at-Taghabun: 11)

La Tahzan...Janganlah sedih dan berdukacita dengan ujian yang mendatang kerana sesungguhnya Allah sentiasa ada menghantarkan bantuan. Semua yang berlaku ini dengan izinNya jua.

Adakalanya, Allah berikan sedikit kesempitan hidup agar kita sedar akan Allah Yang Maha Melapangkan akan melapangkan urusan kita di saat yang betul, tidak akan terlewat walaupun kadar kerdipan mata kita.

Apakah bukti kita mengasihi Rasulullah yang jasadnya telah wafat, namun niat dan semangat Baginda masih terus ada untuk kita meneruskan perjuangan Baginda. Ujian yang ditempuhi Baginda lagi hebat berbanding dengan diri kita.

Rasullullah apabila diberi nikmat makan, akan makan sikit-sikit sahaja, berbeza dengan kita, apabila makan, sikit-sikit makan, sikit-sikit makan. Sewaktu Allah menguji Nabi Muhammad dengan kelaparan, beliau mengikat batu di perutnya bagi menghilangkan rasa lapar. Beliau dengan tulus, pasrah kepada Tuhannya kerana Dialah pemilik perbendaharaan langit dan bumi. Setiap ujian yang mendatang akan dihadapi dengan tenang. Tabah mengharungi segala-galanya tanpa keluh kesal dan berdukacita bila diuji.

"Ya Allah Ya Fattah Yang Maha Pembuka, daripadaMu segala sesuatu dan segalanya kelak kembali jua kepadaMu. Tambahkanlah ilmu dan hikmahMu dalam hati kami supaya mampu kami menerima segala peristiwa sebagai tanda rahmatMu"

Kurniakanlah kami hati yang kuat untuk mengharungi segala dugaan yang mendatang. Permudahkan segala urusan kehidupan kami ini. Berikanlah ketenangan hati dan kelapangan jiwa dalam kami menghadapi musibah yang datang. Berikanlah kesembuhan kepada bondaku yang tercinta, Jamilah binti Ibrahim yang sedang diuji dengan kesakitan. Berikanlah keringanan dalam menghadapi kesakitan itu yang mampu ditanggung olehnya. Begitu juga berikanlah keringanan bagi kesakitan yang ditanggung oleh kekandaku yang kuhormati, Radzuran dan adindaku yang kusayangi kerana Allah, Siti Nurhazwani. Mereka begitu tabah mengharungi segala kesakitan ini, tidak sedikitpun riak mukanya menunjukkan kesakitan yang dialaminya. Begitu jualah allahyarham ayahandaku yang sentiasa redha dan tabah menghadapi dugaan dalam hayat hidupnya. Walaupun jasadnya sudah tiada, namun niat dan semangatnya yang membara sentiasa ada bersama-samaku. Semoga Allah sentiasa merahmati dan menempatkan roh allahyarham ayahandaku Ismail bin Khalijah bersama-sama para syuhada' yang berjuang menegakkan kalimah Allah di mukabumi ini.

Ya Hanana.....

~17 Rabiul Akhir 1434H~

Tuesday, February 19, 2013

Inspirasi 2013 # Run008

Alhamdulillah...terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas segala nikmat kurniaanMu, nikmat ihsan, iman dan Islam. Bersyukur diriku atas segala nikmat ini samada aku sedar atau aku alpa. Jadikanlah diriku ini insan yang sentiasa mensyukuri nikmat, pimpinlah diriku agar sentiasa sedar dan meletakkan penggantungan hanya kepadaMu. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan izinMu jua Ya Allah.

Dalam sedar tak sedar, masa untuk menghasilkan kerja penyelidikan semakin menghampiri garis penamatnya. Setiap yang bermula pasti ada akhirnya. Begitu jualah dengan kehidupanku sebagai pelajar doktor falsafah kejuruteraan awam di UTM ini.

Berusaha dan terus berusaha untuk mendapatkan hasil kajian yang lebih baik dari hari ke hari. Adakalanya, terasa diri tidak mampu meneruskan perjuangan ini. Namun, kekuatan dan semangat yang dialirkan oleh Yang Maha Memberi kurasakan selalu ada walau di mana diriku berada. Setiap perkara yang kulalui ini, adalah ilmu yang diajari terus dari Yang Maha Mengetahui lagi luas ilmuNya. Ilmu yang sedikit yang kupelajari ini sedikitpun tidak akan mendatangkan hasil tanpa izin dariNya.

Diri ini rasa lebih bahagia dan tenang apabila dapat membahagiakan insan yang tersayang. Bukan nilaian wang ringgit itu yang dinilai tapi ketulusan dan keikhlasan hati dalam melakukan sesuatu perkara itu yang lebih utama. Sumber rezeki itu jua adalah milik Allah. Diberinya rezeki itu kepada sesiapa yang Dia Yang Maha Pemberi Rezeki, Ya Razzaq ingin berikan.

Apabila diri terasa tidak berdaya dan tidak mampu mendepani rintangan yang berada di depan mata, Allah akan sentiasa ada memberikan bantuan...
La Tahzan.....janganlah bersedih wahai diri....Allah sentiasa bersama kita. Hulurkanlah bantuan di mana sahaja anda berada, dalam senang maupun sukar, kerana Allah sentiasa menghulurkan bantuan dan jalan keluar dari segala permasalahan yang kita alami.

Pengalaman bercuti hampir sebulan ini, terlalu banyak ilmu yang diajariNya. Kekuatan dalaman itu amat besar ertinya untuk dizahirkan keluar. Betapa kuatnya diri kita menggantung harap pada Allah, betapa dekatnya Dia membantu kita. Hanya diri kita yang sering alpa dan lalai dengan segala pemberianNya.

ALLAH Ya Rahman ALLAH Ya Rahim
ALLAH Ya Ghaffar Ya Nurul Qalbi

Setiap makhluk bergantung kepadaMu..

Mengemis Kasih-Mu

Tuhan....
Dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku di lorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi kian parah

Semalam sudah sampai ke penghujungnya
Kisah seribu duka kuharap sudah berlalu
Tak ingin lagi kuulangi kembali
Gerak dosa yang menghiris hati

Tuhan..
Dosaku menggunung tinggi
Tapi rahmatMu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanya setitis nikmatMu di bumi

Tuhan...
Walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunanMu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat padaMu
Seribu langkah Kau rapat padaku

Adakah Dia dihatimu?

"Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA dihatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintaiNya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintaiNya."

"Justeru, kerana belum ada Dia dihatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunanNya lebih luas daripada pintu kemurkaanNya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah Dia merapat. Dan akhirnya, aku yakin....suatu saat nanti, akan ada Dia di hatiku dan di hatimu jua. Dan kita akan terus mengemis kasih."

~ 9 Rabiul Akhir 1434H ~

Thursday, February 7, 2013

Inspirasi 2013 # Run 007

WADI ISMAIL & JAMILAH

Alhamdulillah...bersyukur ku hadrat Ilahi kerna dengan limpah kurniaNya, diri ini masih diberi nikmat ihsan, iman dan islam. Bersyukur atas segala nikmat yang Engkau berikan.

Percutian di bulan Rabiul awal 1434H ini banyak memberikan ilmu dan pengajaran kepada diriku ini. Semangat berkobar-kobar untuk menyiapkan projek penyelidikan PhD yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Ya Allah Yang Maha Melapangkan, berikanlah kelapangan masa dan idea fikiran yang bernas, mencetuskan idea untuk penghasilan penulisan jurnal dan tesis yang dapat memberi manfaat kepada diriku sendiri dan orang lain. Ajarilah diriku dengan perkara yang bermanfaat setiap saat dan ketika.

Jadikan diriku ini insan yang sentiasa rajin berusaha memajukan diri dan merebut peluang yang terbuka luas di depan mata. Ujian yang Engkau berikan mematangkan diri ini menghadapi segala ketentuan yang disediakan olehMu.

Berikanlah aku jalan keluar untuk memajukan Wadi Ismail dan Wadi Jamilah, hasil titik peluh dan penat lelah al-marhum ayahandaku Ismail bin Khalijah dan bondaku Jamilah binti Ibrahim.

Diri ini yakin dan pasti semua ini akan dapat mendatangkan hasil dengan izin dariMu. Kun fayakun. Yakin dan percayalah bahawa sumber rezeki adalah dari Dia Ya Razzaq Yang Maha Pemberi Rezeki. Ketenangan dalam menjalani kehidupan di dunia yang fana ini adalah nikmat rezeki yang besar dariMu.

Terima kasih Ya Rabb kerana mengurniakan diriku seorang ayah dan ibu yang mampu mendidikku sehingga ke hari ini menjadi diriku yang ORI. Berpijak di bumi yang nyata, bukan berada di awang-awangan.