Friday, March 1, 2013

Inspirasi 2013 # Run011

TETAP BERTAHAN DALAM APA SAHAJA KEADAAN

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Sabur Yang Maha Penyabar atas segala nikmat ihsan, iman dan islam yang Engkau anugerahi aku agar sentiasa sedar dan menyaksikan keEsaanMu.

"Berikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (2:155)

Menurut Hamka dalam Tafsir al-Azhar, kepahitan hidup yang kita hadapi dengan sabar nescaya dapat kita diatasi. Hanya dengan sabar, kita dapat mengatasi segalanya. Kehidupan bukan sesuatu yang beku. Apabila kita sabar menahan derita, kita selamat sampai ke seberang cita-cita. Tidak ada cita-cita yang tercapai tanpa pengorbanan dan kejayaan itu adalah milik orang yang sabar.

Allah sengaja memberikan ujian kepada hamba-hambaNya bagi mengetahui sejauh mana keteguhan iman kita. Terimalah musibah dan mensyukurinya. Walaupun musibah datang bertubi-tubi, sabarlah wahai diri, jangan mengeluh kerana yakin dan percayalah segala yang menimpa diri kita datang daripada Allah dan kelak kembali kepadaNya. Allah yang mendatangkan musibah dan Allah jua yang menyelesaikannya. Hadapilah segala ujian yang mendatang dengan terus mengharap dan memohon pertolongan Allah.

"Kamu mungkin membenci apa yang terjadi kepadamu padahal ia baik bagimu. Sebaliknya, kamu mungkin menyukai perkara yang buruk bagimu. Allah mengetahui segala perkara sedangkan kamu tidak mengetahui." (2:216)

"Orang yang ditimpa musibah itu tidak membesar-besarkan musibah yang menimpa mereka dengan meratap dan meraung. Mereka tidak membiarkan lidah mereka menjilat kenyataan pahit yang mereka alami. Mereka menerima kenyataan yang ditentukan dan kemudian mereka meninggalkan awan mendung yang menaungi mereka sehingga cubaan itu berubah menjadi anugerah. Lumpur dan tanah yang ada dalam penderitaan itu berubah menjadi bunga mawar yang berbau harum." (Syeikh Muhammad al-Ghazali)

Mungkin kesusahan yang kita alami adalah satu cara untuk kita menuju kebaikan tetapi kita tidak mengetahuinya. Apabila kita dapat menerimanya dengan baik, kita mampu menembusnya dan melihat masa hadapan yang lebih cerah. Oleh sebab itu, kesusahan dan penderitaan pada hakikatnya adalah tanah subur yang menumbuhkan benih-benih kebahagiaan sejati.

Terimalah kesusahan dan penderitaan sebagai kesempatan meraih kebahagiaan dan kejayaan. Hadapilah kehidupan ini dengan berlapang dada, mengambil manfaat daripada setiap kesusahan dan penderitaan.

"Sekiranya kita bersabar, tidak timbul masalah walaupun kita menghadapi musuh yang ramai dengan senjata yang lengkap. Senjata mereka itu tidak dapat mengancam kita. Kita mampu menghadapi malapetaka yang suram dengan tertawa dan melawan musibah yang gelap dengan tersenyum." (Aidh al-Qarni)

"Bersabarlah kerana Allah. Bersabarlah dengan keyakinan, jalan keluar selalu terbuka. Kesabaran kita tentu membawa kita ke tempat kembali yang baik dengan harapan mendapatkan pahala dan dengan niat mendapatkan keampunan. Bersabarlah walaupun masalah yang kita hadapi demikian gelap. Sesungguhnya kemenangan itu ada bersama dengan kesabaran dan jalan keluar itu ada bersama dengan kesusahan. Dalam setiap kesusahan, pasti ada kemudahan."
(Aidh al-Qarni)

Ibn Abbas, salah seorang sahabat nabi adalah insan contoh yang menerima takdir Allah itu dengan redha. Menjelang akhir hayatnya, beliau ditakdirkan menjadi buta. Beliau tidak pernah mengeluh. Beliau berkata,

"Sekiranya Allah mengambil cahaya daripada kedua-dua mataku, masih ada cahaya pada lisanku dan pendengaranku. Hatiku cerdas dan akalku tidak rosak dan mulutku tajam bagaikan pedang turun-temurun."

"Bagi orang yang sabar, kesusahan melahirkan kemudahan. Sebaliknya, bagi orang yang berdosa, kemudahan melahirkan kesusahan."

"YA ALLAH YANG MAHA PENYABAR, jadikanlah aku hambaMu yang sabar menerima segala ujian hidup yang Engkau berikan. Sekiranya aku pernah mengeluh kerana sifatku, bukakanlah pintu keampunan bagiku."

No comments:

Post a Comment