Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim..
Aku bersyukur ke hadratMu kerana memberikan diriku nikmat yang amat bernilai tiada tandingannya, iaitu nikmat ihsan, iman dan islam.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...
Diriku yang ORI ini sedar akan kefaqiran diriku. Namun Ya Allah aku bermohon kepadaMu tunjukkan dan ajarilah aku yang ORI ini agar dapat menjadi seorang wanita yang hebat iaitu wanita super menurut ilmu Engkau Ya Rabb. Ajarilah aku Ya Alim untuk menjadi insan yang sempurna, yang bertakwa kepadaMu Ya Allah dan berkhidmat kepada sesama insan. Didiklah aku yang ORI ini agar menjadikan Engkau Ya Rabb sebagai asas dan sumber kekuatan dalam diriku menjalani hidup di duniaMu yang fana ini.
Tunjukilah aku Ya Allah agar mengambil kekuatan daripada zatMu, dan menyerahkan diri secara total kepadaMu. Aku yakin dan percaya Ya Allah bahawa Engkau sentiasa bersama di mana sahaja aku berada. Aku juga amat yakin dan percaya, Allah pasti memberikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman dan melemahkan orang-orang yang membela kebatilan.
" Apabila Allah menolong kamu, tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkan kamu. Sebaliknya, apabila Allah membiarkan kamu, siapakah yang dapat menolong kamu? Ingat, kepada Allah jua orang-orang yang beriman berserah diri" (surah Al-Imran: 160)
Bantulah Ya Allah diriku ini agar dapat menjadi seorang wanita muslimah yang hebat, yang meletakkan Engkau Ya Rabb di atas segala-galanya. Perbetulkan niatku melakukan sesuatu, agar aku sandarkan segala-galanya kepadaMu Ya Allah. Berkatilah dan rahmatilah diriku serta pandulah diriku dalam mencari keredhaanMu.
Ya Allah jadikanlah diriku ini wanita yang hebat yang sentiasa ingat akan pesan Nabi Muhammad yang direkodkan oleh Tirmizi:
PELIHARALAH ALLAH, NESCAYA DIA MEMELIHARAMU.
Peliharalah Allah, nescaya Dia selalu berada di hadapanmu.
Apabila kamu ingin memohon, mohonlah daripada Allah.
Apabila kamu meminta bantuan, mintalah bantuan daripada Allah.
Seandainya seluruh umat manusia berkumpul bagi memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak mampu memberi apa-apa pun kepadamu kecuali Allah menetapkannya bagimu. Apabila mereka berkumpul bagi mencelakan kamu, mereka tidak mampu melakukannya kecuali Allah menetapkannya bagimu.
Sesungguhnya pena-pena diangkat dan lembaran ditutup.
SUBMISSION TO ALLAH
Apabila kita yakin dan menggantungkan hidup hanya pada Allah, nescaya Allah memberikan ketenangan hati kepada kita. Kunci utama kejayaan dan kebahagiaan hidup adalah ketenangan dan ketenteraman hati.
Orang yang tidak menyerahkan diri kepada Allah akan sentiasa cemas, takut, bimbang, putus asa dan tiada keyakinan diri. Apabila Allah mengujinya dengan kesusahan, beliau akan goyah padahal masalah yang sama tidak membawa kesan kepada orang yang beriman. Ini kerana mereka percaya, bagi setiap kesusahan, Allah memberikan kemudahan.
Allah sentiasa menguji hamba-hambanya yang mukmin kerana ujian itu adalah nikmat daripadaNya. Hadirkanlah Allah dalam setiap keluar masuk nafas kita.
Bantulah dan bimbinglah serta ajarilah diriki yang ORI agar menjadi wanita hebat yang menghayati nama-namaMu Ya Allah. Bantulah diriku menjadikan nama-namaMu sebagai hiasan hidupku, lahir dan batin dalam setiap aktiviti di mana jua diriku berada. Berikanlah aku kefahaman, penghayatan dan aku bisa mengaplikasikannya dalam kehidupanku.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...
Jadilah diriku yang ORI ini instrumen kasihMu
Di mana ada kebencian,
Biarkan aku menyebar cinta.
Di mana ada hati terluka,
Biarkan aku menjadi penghibur.
Di mana ada keraguan,
Biarkan aku menyebar keyakinan.
Di mana ada keputusasaan,
Biarkan aku menyebar harapan.
Di mana ada kesedihan,
Biarkan aku memberi kebahagiaan.
Di mana ada kegelapan,
Biarkan aku memberi cahaya.
Semuanya dengan izinMu jua Ya Allah...
No comments:
Post a Comment