Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Alim...
Terima kasih Ya Rabb kerana masih mengurniakan kepadaku nikmat ihsan, iman dan islam. Ajarilah diriku setiap saat dan setiap ketika ajar aku menjadi lebih tahu dan faham serta sedar akan Engkau Ya Rabb.
Hari ini Engkau ajarilah aku lagi. Kau aturkan segala perjalanan hari ini ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dengan penuh rahmat dan kasih sayangMu. Dalam perjalanan menuju ke hospital, Engkau aturkan diriku bertemu dengan orang yang banyak membantu aku dalam kerja-kerja penyelidikanku di UTM. Insan yang selalu bersedia untuk membantu dan memudahkan segala urusan orang lain dengan ikhlas hati, Allah jua pasti bersedia untuk membantunya bila-bila masa sahaja. Allah aturkan insan lain yang akan membantu dengan ikhlas juga. Mudah sahaja Allah mengaturkannya kerana Dia Maha Merancang dan Mengaturkan segala urusan makhluknya kerana Dia jua adalah Khaliq Yang Maha Menciptakan kita. Dia juga akan mengaturkan segala-galanya menurut ilmu Dia Yang Maha Tahu.
Apabila kita tidak tahu, maka bertanyalah kepada yang lebih tahu, agar kita tidak tersesat jalan. Buangkanlah segala keegoan diri dan jadikanlah diriku insan yang merendah diri kerana diriku yang ori memang tiada punya apa-apa. Semuanya Dia yang punya. Maka, sebelum melakukan apa-apa, mintalah izin dan kebenaran kepada pemilik yang hakiki, Ya Malik Yang Maha Memiliki.
Semua urusan di HSA berjalan dengan lancar. Target masa yang diperlukan untuk meneruskan perancangan urusan seterusnya dipermudahkan olehNya. Semua urusan kita memang telah diaturkan olehNya. Kita hanya perlu meminta izin kepadaNya sebelum memulakan perjalanan, dan menyerahkan segala urusan perjalanan itu dikawal olehNya Yang Maha Mengawal. Kita tiada dan upaya untuk mengetahui apa yang bakal berlaku...yang penting kita berusaha dan terus berusaha untuk selamat sampai ke destinasi yang dituju. Fokuskan diri untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju dalam waktu yang ditarget. Alhamdulillah, Engkau telah membantu diriku mencapai target yang aku inginkan.
Macam-macam ragam manusia yang dapat kulihat di HSA tadi. Engkau anugerahkan aku nikmat penglihatan agar aku dapat melihat keindahan dan keunikan ciptaanMu Ya Khaliq Yang Maha Mencipta. Engkau ajari dan mengingatkan diriku agar tidak alpa dengan nikmat sihat yang Engkau anugerahkan kepada diriku. Sakit itu juga adalah nikmat dan rahmat daripadaMu kepada diriku dan juga kepada tenaga kerja di HSA ini termasuklah nurse, sister, doktor pelatih, doktor pakar dan semua staf sokongan. Tiada orang yang sakit, maka apa perlunya diwujudkan hospital dan klinik serta staf di sana. Apa pula kerja yang perlu dilakukan oleh doktor yang bersungguh-sungguh belajar suatu masa untuk supaya suatu hari dia dapat menjadi doktor dan berkhidmat kepada masyarakat khususnya kepada orang yang sakit yang memerlukan khidmat nasihat dan rundingan untuk kesihatan mereka. Apa pula tugas ahli farmasi dan dietetik jika tiada orang yang memerlukan mereka. Semua yang diciptakan oleh Dia Yang Maha Kreatif dan Maha Tahu tiada yang tidak sempurna. Semuanya ada hikmahnya, hanya kita sebagai makhluk sahaja yang tidak mengetahuiNya.
Jika kita tidak diberi nikmat sakit, kita juga tidak faham bagaimana rasanya sakit itu. Bila bertemu pula dengan pesakit yang lain, kita akan lihat ada insan lain yang lebih sakit dari kita. Sakit yang kita alami hanyalah cebisan sahaja dari sakit yang orang lain hidapi. Kita juga akan belajar untuk faham dan mengerti emosi pesakit yang lain. Sehinggakan ada nurse yang mengadu kepada diriku tadi, ada pesakit yang datang berjumpanya setiap minggu hanya untuk berjumpa dengan nurse tersebut. Biarlah sister tue yang menjadi jururunding dia pula hari ini. Subhanallah....hebatnya kuasa Engkau Ya Allah....Engkau aturkan pertemuan dengan insan yang dapat mengajarku erti kehidupan yang sebenar. Pangkat dan darjat bukanlah segala-galanya, tapi pengalaman kerja itu yang amat penting, tidak kira siapaku diri kita dan dimanapun kita diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja itu. Siapa pun diri kita, lakukanlah yang terbaik dalam kerja yang kita lakukan. Lakukan dengan penuh rasa bahagia dan ikhlas, in sha Allah dengan izinNya, kebahagiaan itu akan dikongsi bersama antara diri kita dan juga orang yang bersama-sama kita. Aura positif itu akan dapat jua dirasa oleh insan yang lain. Kita akan dapat merasai nikmat bahagia dan membahagiakan itu. Seronok kan, bila kita dapat berkongsi kebahagiaan dengan insan lain.
Apabila nurse itu menyatakan boleh datang bila-bila masa untuk bertemunya, Allah takdirkan untuk diriku menjawab, bagaimana kalau saya datang setiap minggu seperti pesakit yang setiap minggu datang dan berjumpa dengan dia? Nurse itu tersenyum dan berkata, tak perlulah datang setiap minggu. Allah lancarkan lagi lidahku untuk berkata-berkata dengan nurse yang berbangsa india itu, pesakit yang berbangsa cina itu rasa lebih selesa dapat berjumpa dengan nurse, dan dia rasakan dia lebih sihat selepas dapat berjumpa dengan nurse. Nurse tersebut hanya tersenyum. Patutlah mukanya agak tidak selesa apabila pesakit cina itu masuk ke dalam bilik itu. Lalu, dengan takdir dan jodoh dari Yang Maha Mengaturkan, fail saya yang dibuka oleh nurse tersebut, lantas nama saya dipanggil dan berjumpa dengan dia. Niat di hati ingin berjumpa dengan sister yang berbangsa Melayu yang melayan pesakit dengan sangat bagus dan luar biasa caranya, ala-ala pakar motivasi gayanya. Sejuk mata memandang wajahnya yang sentiasa tersenyum. Dengan rasa tenang, sister A melayan luahan rasa pesakit cina tersebut. Nasihat dan panduan diberikan kepada pesakit cina yang mengalami depression selepas kematian anaknya. Tersentuh hatiku bila sister A mengatakan, yang berlalu biarkan berlalu, yang pergi memang dah pasti pergi, kita yang masih hidup perlu meneruskan perjalanan hidup ini. Setiap manusia mempunyai masalah, kalau yang sudah tiada masalah itu bukan manusia lagi. Yang penting macamana cara kita mengatasi masalah tersebut. Sungguh luar biasa cara penyampaiannya yang dapat memberi sinar kegembiraan dan kebahagiaan kepada pesakit cina tersebut.
Ada juga ibu pesakit yang datang dari Kluang membawa anaknya yang sakit. Datang dengan menaiki bas dan teksi semata-mata untuk temankan anaknya untuk berjumpa dengan doktor. Ibu yang sudah agak tua dan berumur menguatkan azam juga membantu anaknya yang sakit. Ibu tua itu juga sakit, tapi kerana kasih, sayang dan cinta kepada anaknya, dia melupakan kesakitannya dan mengutamakan anaknya. Hebatnya kasih seorang ibu kan...namun, hebat lagi kasih, sayang dan cinta dari Dia Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang dan Maha Pencinta. Tiada doktor pakar di Hospital Kluang menyebabkan ibu tua tersebut terpaksa datang ke Johor Bahru. Sanggup bersusah payah untuk merawat anaknya yang sakit.
Apa yang pasti, doktor tidak dapat menyembuhkan sakit yang dihidapi oleh pesakit tetapi pakar perubatan hanya dapat memberikan nasihat dan bantuan kepada pesakit untuk merawat sakit mereka. Selebihnya, urusan itu dikembalikan kepada Dia Yang Maha Menyembuhkan. Itu adalah usaha dan ikhtiar pesakit untuk sembuh dan menjadi tanggungjawab pakar perubatan untuk membantu memberi khidmat nasihat dan rundingan agar pesakit dapat mengikut arahan dan nasihat pakar perubatan. Bagaimana ya, pakar perubatan tersebut dapat mengetahui pesakit itu telah benar-benar sembuh dari sakitnya. Itu dari pemerhatian seorang pakar perubatan, dengan memakan ubat itu dan ubat ini, dapat membantu merawat sakit seorang pesakit. Namun, doa dan tawakkal kepada Yang Maha Menyembuhkan itu yang lebih utama kan...kerana Dia Yang Maha Menyembuhkan.
Ketika Allah Yang Maha Mengetahui ini memberikan diriku nikmat sakit ini, ada yang menyatakan, sukar untuk sembuh. Namun, seorang abang yang cukup sabar menjagaku ketika aku sakit, dengan kuatnya diri dia menggantungkan seluruh pengharapan kepada Yang Maha Menyembuhkan...Alhamdulillah, Allah mengizinkan diriku telah sembuh dari sakit itu. Ya Allah, bantulah dirinya yang sedang diuji olehMu dengan kesakitan sekarang ini. Ringankanlah ujian dan beban yang ditanggungnya ditika ini. Engkau anugerahkan nikmat sakit ini kepada abangku yang memikul tanggungjawab seorang ayah setelah ayah kami telah kembali kepadaMu, sebagai tanda kasih, sayang dan cintaMu kepadanya. ENgkau ajari diriku dengan menyerahkan diri secara total kepada Engkau Ya Allah agar sentiasa mengadukan segala urusan kepada Engkau Yang Maha Memudahkan. Walaupun jasad ayahanda kami telah dikembalikan kepada asalnya dari tanah, dan rohnya telah kembali kepadaMu Ya Rabb, perwatakan dan sifat-sifat yang ada pada abangku persis apa yang ada pada ayahandaku. Baru aku sedari Ya Allah, sifat-sifat itu adalah dariMu jua. Kasih, sayang dan cinta seorang ayah yang Engkau anugerahkan kepadaku adalah jua datangnya dariMu. Namun, aku yakin dan percaya, kasih sayang dan cinta Engkau melebihi segala kasih sayang dan cinta di alam ini hatta kasih sayang dan cinta seorang ayah dan bonda kepada anaknya, seorang abang dan kakak kepada adiknya, begitu juga kasih seorang anak kepada ayah dan bondanya, serta kasih seorang adik kepada kakak dan abangnya.
Tika dan saat ini, diriku yang kerdil ini amat merindui kasih sayang ayahandaku Wahai Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani. Berikanlah nikmat bahagia dan kebahagiaan hakiki kepada rohnya di alam sana Ya Allah Yang Maha Mengasihani kerana sepanjang hayatnya dia selalu membahagiakan insan yang berada di sekelilingnya walaupun dirinya tiada apa-apa, namun jika dia mempunyai sedikit rezeki, akan dikongsikan bersama insan yang berada di sekelilingnya. Biarlah kita tiada apa-apa, kerana asalnya kita memang tak punya apa-apa, tapi nikmat dan rezeki yang sedikit yang Allah Yang Maha Pemurah anugerahkan kepada kita, marilah kita kongsikan sama-sama agar nikmat bahagia yang kita ada, kita dapat kongsikan bersama agar dapat membahagiakan insan lain. Rasa bahagia yang paling bahagia adalah apabila kita dapat membahagiakan orang lain.
Rumi dalam Fihi ma Fihi mengingatkan;
" Meskipun balasan bagi kebaikan dan kejahatan yg dijanjikan Allah hanya tiba pada hari kebangkitan, ia sebenarnya muncul dalam beberapa keadaan di dunia ini. Apabila manusia berasa gembira, itu adalah balasan bagi mereka kerana menjadikan orang lain berasa bahagia. Apabila manusia berasa sedih, itu adalah balasan bagi mereka kerana menjadikan orang lain sedih. Itu balasan bagi menggambarkan hari kebangkitan supaya manusia mampu memahami yang banyak daripada yang sedikit".
-Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, kasihMu kurindu-
No comments:
Post a Comment