Friday, August 10, 2012

Keluarga Bahagia

Terima kasih Ya Allah kerana mengajarku erti hidup dalam kesederhanaan. Bahagia yang dicari bukan dengan harta yang banyak, rumah dan kereta yang mewah namun ianya adalah anugerah Ilahi. Biarlah di mata manusia kita dilihat tiada apa-apa tapi yang paling utama adalah pada pandangan Allah. Biarlah kita hina di mata manusia namun mulia di sisi Allah.

Terima kasih Ya Allah kerana mengingatkan diriku untuk aku terus bersyukur atas segala nikmat yang Engkau telah kurniakan kepada diriku.

Terima kasih ayah, terima kasih bonda kerana mengajarku erti bersyukur dengan apa yang ada. Hiduplah dalam bersederhana agar hati kita menjadi tenang.

Ramadhan bakal meninggalkan kita, dan Syawal pasti menjelma. Apa persiapan untuk menyambut Syawal? Tanya pada diri, apa pula persiapan untuk menyambut Ramadhan yang bakal berakhir ini. Jika bulan yang penuh keberkatan ini pun kita tidak bersedia untuk bertemunya, apalah maknanya Syawal itu kepada kita.

Bagaimanakah kita menyambut kemenangan setelah sebulan berada di madrasah tarbiyah. Kita berkonvo di bulan Syawal. Adakah meraikan kemenangan itu perlu dengan berpakaian yang serba baru atau bersederhana sahaja mengikut kemampuan kita. Kanak-kanak yang masih kecil pun paham, bagaimana pula dengan diri kita?

Terima kasih Ya Allah kerana kanak-kanak ini telah menyedarkan diriku agar hidup dalam kesederhanaan.

Teringat pada arwah ayahandaku yang tercinta. Tiada pakaian baju raya baru untuknya setiap kali menyambut hari raya. Walaupun anak-anak akan membelikan pakaian baru untuknya, dia pasti akan memakai pakaian yang selesa dipakai oleh beliau. Tapi duit untuk disedekahkan kepada anak, cucu dan cicitnya tidak pernah dilupakan. Biarlah kita mencari kemuliaan di sisi Allah melebihi kemuliaan di sisi manusia. Kita tidak dapat memuaskan hati setiap insan namun cukuplah kita dapat redha dari Yang Maha Pencipta. Itu yang lebih utama.

Lakukanlah apa sahaja pekerjaan asalkan mendapat redha dan keberkatan dariNya. Walaupun orang lain nampak susah dan tidak mencukupi, insha Allah dengan izin Allah, semuanya akan cukup, malahan lebih dari cukup. Kerana perlu diingat, rezeki itu adalah milik Allah. Rezeki yang berkat adalah anugerah Allah yang amat bermakna bagi kita sebagai seorang insan dan hambaNya.

Terima kasih ayah, mak, along, angah, alang, dan achik kerana mengajarku erti sebenar kehidupan. Biarlah diri kita hina pada pandangan manusia namun tidak di sisi Allah. Carilah keberkatan dalam kehidupan ini agar diri kita menjadi lebih tenang.

Terima kasih Ya Rabb atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku. Moga segala urusan kami dipermudahkan olehMu Ya Allah demi mencari keredhaanMu di dunia dan di akhirat sana. Pertemukanlah kami semua di syurgaMu nanti. Tabahkanlah kami menghadapi segala dugaan dan ujian yang Engkau anugerahkan, agar lebih mendekatkan diri kami kepadaMu.


No comments:

Post a Comment