Friday, August 17, 2012

Ramadhan kian berakhir

Alhamdulillah....terima kasih Ya Rabb kerana mengizinkan diriku menikmati Ramadhan hingga ke hari 27 ini. Semoga segala ilmu dan amalan yang kulakukan di bulan yang berkat ini akan kuteruskan di bulan-bulan yang berikutnya. Jadikanlah tarbiyah yang kuperolehi dari madrasah Ramadhan ini sebagai pemangkin untuk aku terus mendekatiMu Ya Allah.

Hatiku yang sayu dan sedih, kini kutemui jalan ketenangannya di sini, Ya Allah. Mungkin ini kali terakhir untuk aku beriktikaf di Masjid UTM ini. Walaupun aku tidak dapat menunaikan solat tarawih di sini, aku cuma dapat luangkan masa untuk menunaikan solat zohor dan asar secara berjemaah di sini. Terima kasih Ya Rabb kerana memberikan ketenangan jiwa dan perasaanku ini. Tiada yang selayaknya dapat membantu memberikan ketenangan dan kedamaian hati ini melainkanMu Ya Allah.

Jadikanlah kitab suci al-QuranMu sebagai sahabat karibku dan paling utama adalah manual kehidupanku terdapat dalamnya. Perbaikilah bacaanku serta fahamkanlah apa yang terkandung di dalam kitab suciMu Ya Allah. Ya Allah, ingatkanlah apa yang aku terlupa dan apa yang aku jahil terhadap ilmuMu.

Tinggal 2 hari lagi untuk kami berada di bulan RamadhanMu Ya Allah. Selepas ini, kami akan bertemu dengan Syawal pula. Eid Fitri.....semoga kami kembali kepada fitrah kejadian kami yang suci bersih Ya Allah. Kau ampunilah segala dosa dan kesalahan yang kami lakukan sama ada sengaja atau sebaliknya. Ampunilah dan rahmatilah kedua-dua ibu dan ayahku Ya Allah, dan kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku ketika aku kecil. Namun aku pasti kasih sayangMu mengatasi segala-galanya.


No comments:

Post a Comment