Tuesday, January 22, 2013

Inspirasi 2013# Run006

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim kerana dengan izinMu, diri ini dianugerahi nikmat ihsan, iman dan islam. Bersyukur ke hadratMu Ilahi atas segala nikmat dan kurniaMu ini.

Hari ini diri ini diajar untuk melepaskan apa yang kita sayangi. Diri ini diajar juga tentang muhasabah cinta. Di manakah cinta kepada Sang Pencipta yakni Allah dan cinta kepada junjungan besar rasulullah s.a.w. kekasih Allah. Apalah sangat nilaian kasih sayang dan cinta kita dibandingkan dengan kasih sayang dan cinta dari Sang Pencinta kepada diri kita ini dan rasulullah s.a.w kepada umat Baginda.

Di bulan kelahiran junjungan besar kekasih Allah ini, wahai diri yang sering alpa dan lalai, belajar dan terus belajar untuk mengenali pekerti dan akhlak rasul junjungan mulia, Muhammad bin Abdullah ini. Apakah bukti kita mencintai kekasih Allah ini andai tiada ucapan selawat dan salam kepada Baginda apatah lagi mengamalkan sunnah yang ditinggalkan untuk kita umatnya yang tercinta.

Apabila kita belajar untuk melepaskan, Allah akan bantu dan terus membantu. Kerana segala apa yang dilepaskan itu adalah kembali kepada pemilikNya yang Haq. Untuk apa kita perlu bimbang dan gusar dengan apa yang kita lepaskan, yakin dan pastilah, ganjaran itu ada di sisi Allah, lepaskanlah dengan penuh rasa ikhlas keranaNya. Belajar untuk memberi dan terus memberi. Kerana Allah itu Maha Melapangkan. Apabila kita diberi kelapangan, kongsikanlah kelapangan yang kita miliki itu untuk melapangkan insan yang berada di sekeliling kita.

Diri ini sedar Ya Allah, segala apa yang kita rancangkan dan impikan, berada dalam rancangan Allah, namun perancangan Yang Maha Merancang itu melebihi perancangan kita. Adukan dan luahkan segala-galanya pada Dia Yang Maha Tahu.

Hari demi hari, diri ini terus diajar oleh Yang Maha Mengetahui, segala kesulitan yang kualami akhirnya terasa ringan dan mudah untuk kulalui. Tiada apa yang sulit dan sukar, kerana yakin dan percayalah, Dia sentiasa ada untuk memudahkan kita.

Melepaskan....Submit to Allah...dan NO mind. Segala urusan akan dipermudahkan olehNya. Sentiasa perbetulkan niat dalam menjalani urusan kita seharian.

Apabila diri rasa marah dan tidak berpuas hati, semak diri, siapalah diri kita untuk melepaskan kemarahan itu. Kemarahan itu ditujukan kepada siapa. Layakkah kita untuk marah dan merasa tidak berpuas hati. Adakah kita tidak berpuas hati kepada diri kita? Adakah kita memarahi diri kita? Adakah sebenarnya kita tidak dapat menerima ketetapan dan ketentuan yang Dia aturkan untuk kita. Adakah kita layak untuk marah dan tidak berpuas hati dengan ketentuan qada dan qadar Allah. Beristighfarkan dan muhasabahlah kembali ke dalam diri. Bersihkanlah dan cucilah hati agar kembali kepada fitrahnya yang suci.

Bimbinglah dan pimpinlah diriku Ya Allah untuk menjadi usahawan yang hebat seperti junjungan besar rasulullah s.a.w dan para sahabat yang menginfakkan diri dan harta untuk Islam. 

Saat ini, diri ini amat merindui super heroku Ya Allah. Walaupun dia telah kembali kepadaMu, namun semangat dan kasih sayang serta cintanya masih kekal kurasakan. Hanya jasad yang memisahkan kami, namun urusan roh ini adalah urusanMu ya Allah. Berikanlah ketenangan dan limpahilah dia dengan limpah dan rahmatMu. Berikanlah diriku kekuatan dan semangat yang ada pada dirinya hadir dalam diriku. Menjadi insan yang sangat cekal dan berserah diri secara total kepadaMu. Yakin dan percaya bahawa rezeki itu anugerah dari Ilahi. Jika ditakdirkan rezeki itu milik kita, tak perlu risau, tak perlu takut, tak perlu gelisah, tetap akan menjadi milik kita walaupun jalannya sukar. Benarlah, apabila Allah menghendaki sesuatu, cukuplah Allah berkata Kun fayakun.... Semua itu berlaku dengan aturan Allah.

Usahlah dirisaukan apa akan berlaku hari esok. Lalui hari ini yang telah dihadihkan kepada kita dengan sehabis baik. Jadikan hari semalam yang telah berlalu sebagai sejarah dan ambillah pengajaran dari hari semalam yang banyak memberikan pengajaran. Perbaiki kelemahan hari semalam untuk meneruskan hari ini. Jadi, usah takut dan gentar untuk menempuh hari esok, lakukan sahaja yang terbaik untuk hari ini. Jangan fikirkan hari esok yang belum pasti kita dapat menemuinya, hari yang telah ditemukan kita ini, hargai dan terus melakukan kebaikan yang berterusan. Hari ini akan menjadi lebih ceria dan bahagia bila kita berpegang dengan janji Allah...Kun fayakun....

NO mind....NO mind....NO mind

~ 11 Rabiul Awal 1434H~

Saturday, January 19, 2013

Inspirasi 2013# Run 005

Alhamdulillah....terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas segala nikmat yang Engkau anugerahi kepada diriku, nikmat ihsan, iman dan islam. Bersyukur ke hadratMu kerana Engkau sentiasa mengajari diriku setiap saat dan ketika. Tidak pernah terlepas diriku dari pandangan dan jagaanMu. Hanya aku yang lalai dan alpa atas nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku.

Renungkan segala nikmat yang telah kita perolehi. Segala permasalahan yang mendatang akan dirasakan mudah dan pasti dapat diatasi kerana yakin dan pasti semua itu berlaku dengan izinNya. Kun fayakun...apabila Allah menghendaki sesuatu, cukuplah Allah berkata jadilah, maka jadilah ia. Kata-kata Allah itu benar. Diriku yakin dan percaya dengan setiap ayat-ayat cinta yang Engkau katakan dalam KalamMu yang Maha Agung iaitu kitab al-Quran.

Duhai diri yang sedang alpa. Jangan terus bersedih. Setiap apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya tanpa kita mengetahuinya. Hanya Dia Yang Maha Tahu.

Filem Kun Fa Ya Kun yang kutonton amat memberi makna yang mendalam kepadaku. Jangan gusarkan apa akan berlaku hari esok kerana hari esok hanya Dia yang tahu apa yang akan berlaku. Hadapi hari ini yang merupakan hadiah yang paling bermakna dari Dia Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Penuhi hari ini dengan melakukan perkara yang dapat membahagiakan diri kita dan dapat membahagiakan insan lain. Jadikan hari semalam sebagai sejarah dalam kehidupan kita. Lakukan perubahan hari ini untuk memperbaiki kelemahan hari semalam yang serba kekurangan.

Didik dan pandulah diriku Ya Allah supaya menjadi seorang insan yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Yakinkan diriku bahawa sumber rezeki adalah dariMu Yang Maha Memberi Rezeki. Siapakah pun diri kita, apapun pekerjaan yang kita lakukan, apapun permasalahan yang kita hadapi, serahkan dan adukan segala-galanya kepada Dia Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Keajaiban akan hadir dalam kehidupan kita selagimana kita meletakkan Dia Yang Maha Agung sebagai pegangan dan penggantungan kita. Kita hanya mampu merancang, berusaha dan terus berusaha, bermohon kepadaNya setiap saat dan ketika. Serahkan segala keputusannya kepada Dia Yang Maha Mengetahui.

"Jangan letakkan harapanmu kepada manusia kerana kamu mungkin terluka.
Letakkan harapanmu kepada Allah Ya Bari Yang Maha Mengadakan kerana Dia tidak menghampakanmu."

"Ya Allah Yang Maha Pencipta, Engkaulah sumber inspirasi dan motivasiku. Apabila badai datang menerpa dan menghancurkan hidupku, hanya Engkau yang menjadi penghibur dan memberi semangat kepadaku dalam meneruskan kehidupan ini."

Jangan pernah kecewa dan berputus asa. Jadilah dirimu yang OrI yang menyerahkan diri secara total kepadaNya dan bersedia melepaskan sesuatu yang kita sayangi kerana semua itu hanyalah pinjaman dariNya. Sampai masa, pasti yang dipinjam perlu dipulangkan kepada tuannya.

Terima kasih Ya Rabb atas apa yang Engkau ajari kepadaku. Aku redha dan berusaha mendidik hati ini agar menerima segala apa yang terjadi ini sebagai ilmu yang Engkau ajari kepadaku. Walaupun diri terasa tidak mampu untuk menghadapinya, tetapi Engkau tidak akan memberikan kepadaku andai diriku tidak mampu menerimanya. Terima kasih sahabat. Inilah ujian kehidupan yang perlu diharungi untuk mendidik hati kita supaya kita sentiasa kembali kepadaNya setiap saat setiap ketika. Pandanglah dengan mata hati, bukan dengan mata kasarmu, kerana kamu tidak akan menemui jawapannya dengan pandangan mata kasar. Pandangan mata hati lebih suci dan murni kerana ianya datang dariNya Yang Maha Suci.

Dia pasti menunjukkan jalan keluar kepada kita apabila kita buntu memikirkan jalan keluar itu. Kerana hanya Dia Yang Maha Melapangkan. Mintalah kepadaNya untuk diberikan kelapangan.

Terima kasih Ya Allah kerana memberikan aku bantuan di kala aku amat memerlukan pertolonganMu. Jadikanlah diriku insan yang ikhlas dalam beramal semata-mata keranaMu.

-7 Rabiul Awal 1434H-

Sunday, January 13, 2013

Inspirasi 2013#Run004

Alhamdulillah.....terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas segala nikmat dan kurniaanMu kepada diriku....nikmat yang paling agung iaitu nikmat ihsan, iman dan islam. Bersyukur ku hadratMu Ya Bari Yang Maha Mengadakan dengan mengadakan setiap sesuatu itu serasi di antara satu lain. Semua ciptaan Allah saling berkaitan dan fungsi satu ciptaan bergantung pada fungsi ciptaan yang lain. Allah menjadikan semua makhluk berpasang-pasangan dan wujud dalam keadaan harmoni yang menakjubkan.

Di sebalik setiap pasangan itu, wujud keharmonian, keselarasan dan keindahan yang menyenangkan manusia.

Seterusnya Allah memberikan fungsi bagi setiap ciptaanNya, misalnya pasangan bulan dan matahari serta malam dan siang. Mereka mempunyai fungsi sendiri dan tidak pernah saling mendahului.

Apa yang penting, kita sebagai hambaNya perlu menyedari kebesaran dan kekuasaan Allah apabila kita melihat kepada ciptaanNya yang berada di sekeliling kita.

KUN FAYAKUN....

-1 Rabiul Awal 1434H-

Friday, January 11, 2013

Inspirasi 2013#Run03

Alhamdulillah...terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas nikmat dan anugerah ihsan, iman dan islam yang Engkau kurniakan kepada diriku ini. Bersyukurku ke hadratMu Ya Allah Ya Khaliq Yang Maha Pencipta.

Diriku telah diajari olehMu Yang Maha Pencipta untuk aku menyedari akan kebesaran dan kekuasaanMu. Sesuatu yang mudah bagi Allah untuk mengajari kita seandainya diri kita bersedia untuk menerima segala ilmunya.

Pengalaman menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Johor Darul Takzim FC dan Perak di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin adalah sesuatu yang bermakna bagiku. Pelbagai gelagat dan tingkah laku serta ragam manusia dapat kusaksikan demi memberi sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing. Ada jua yang berfikiran kreatif, menjual makanan dan minuman di ruang dalam stadium Larkin. Selain dapat menambah pendapatan mereka, memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada para penyokong, yang pasti sedang kelaparan dan dahaga. Pelbagai peringkat umur ada untuk menyatakan sokongan mereka kepada pasukan pilihan dari peringkat bayi hinggalah pangkat datuk dan nenek. Ada juga kanak-kanak yang kreatif membuat gulungan kertas dan dijadikan sebagai pedang. Dapat juga mereka bermain dengan pedang rekaan sendiri tanpa mengganggu ibu dan bapanya yang asyik menyaksikan perlawanan bola sepak. Tidak terkecuali juga ada di kalangan penyokong yang terlalu bersemangat menyaksikan perlawanan sehingga mengganggu konsentrasi penyokong lain. Terjerit-jerit dengan suara nyaring seperti menonton cerita hantu. Apa yang ingin disaksikan ya? Apa yang ingin dicapai di akhir penyaksian itu?

Para pemain yang berada di gelanggang perlawanan juga tidak mahu menghampakan diri sendiri, rakan sepasukan, jurulatih dan juga para penyokong. Mereka bermain bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan. Tiada yang dilihat tidur di padang ketika perlawanan berlangsung. Hanya yang ada terjatuh, terduduk dan terbaring kesakitan akibat kemalangan yang berlaku di padang. Pelbagai strategi diatur oleh kedua-dua pasukan untuk meraih kemenangan, dalam masa yang sama, mempertahankan pasukan masing-masing dari sebarang jaringan gol.

Ketika mataku asyik menyaksikan kanak-kanak yang comel di hadapanku, tanpa aku menyaksikan, pasukan JDT berjaya menyumbat gol ke pasukan Perak. Siapa yang menjaringkan gol juga aku tidak tahu. Terlepas detik itu. Jadi siapa yang mengizinkanNya jika bukan dari Dia Yang Maha Mencipta. Penjaga gol Perak juga sudah pasti tidak tidur tatkala bola yang dijaringkan oleh pemain JDT itu. Beliau jua sudah berusaha sedaya upaya agar dapat mempertahankan pintu gol dari bolos dengan jaringan gol. Tetapi perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia kan. Kita hanya mampu merancang, seterusnya berdoa, berusaha sehabis baik, berikhtiar dan bertawakkal....hasilnya kita serahkan kepada Allah...Jadi kita akan rasa bahagia dan seterusnya dapat membahagiakan orang lain.

Kekalahan itu sememangnya terasa amat perit dan sakit dan kemenangan itu dirasakan sangat seronok dan membahagiakan. Segala apa yang berlaku jika disaksikan bukan hanya dengan mata zahir tapi dengan mata hati, akan membuatkan diri rasa redha dengan apa yang berlaku. Terimalah segala ketentuan dari Allah dengan berlapang dada dan hati yang tenang, kebahagiaan itu akan dapat kita nikmati. Kerana nikmat rasa bahagia itu adalah anugerah dari Allah, yang hanya layak diberikan kepada insan yang kreatif dan produktif dan inovatif dalam mencari redhaNya dalam setiap inci perbuatannya.

Jadikanlah diriku ini seorang insan yang produktif dan kreatif wahai Yang Maha Pencipta dan bermotivasi bagi mencapai kejayaan dalam hidup. Berikanlah diriku kerangka berfikir dan bertindak dalam menghasilkan perkara yang memberi manfaat kepada diriku dan orang lain. Jadikanlah diriku bermotivasi bagi mencipta sesuatu yang baru, sesuatu yang belum dicipta ataupun ditemukan oleh orang lain.

"Allah membenci orang yang mengakui melakukan sesuatu sedangkan dia tidak melakukannya" (as-Saffat: 3)

Nabi Muhammad s.aw. berpesan :
"Janganlah kamu menjadi orang yang hanya suka mengikut orang lain. Teguhkanlah pendirian kamu. Apabila orang berbuat baik, hendaklah kamu berbuat baik. Sebaliknya, apabila mereka melakukan kejahatan, hendaklah kamu menghindar daripada melakukan kejahatan itu." (Direkodkan oleh Tirmizi)

"Wahai Allah Ya Khaliq Yang Maha Mencipta, anugerahkanlah kepadaku produktiviti dan kreativiti sehingga aku menjadi manusia yang kukuh dan mapan."

-29 Safar 1434H-

Wednesday, January 9, 2013

HD-WQ Modeling#001

"Training is useful, but there is no substitute for experience."

Experience is a key element of modeling and also one of the primary reasons why modeling is often called an art.

"Modeling is useful, but there is no substitute for field sampling."

A numerical model (and its results), is guilty until proved innocent by data. This highlights the importance of calibrating models against measured data (Zhen-Gang Ji, 2008).

"Modeling is a little like art in the world of Pablo Picasso. It is never completely realistics; it is never the truth. But it contains enough of the truth, hopefully, and enough realism to gain understanding about environment systems." (Schooner,1996).

The two primary reasons to conduct modeling are:
1) to better understand physical, chemical, and biological processes and
2) to develop models capable of realistically representing surface waters, so that the models can be used to support water quality management and decision making.

Inspirasi 2013#RUN02

Terima kasih Ya Rabb...

Rayuan Nurani Album : Munsyid : Saff One

Di antara kudrat Tuhan
Dia mencipta manusia
Sebagai khalifah mentadbir bumi ini
Juga sebagai hamba nan berbakti dan berbudi Ingatlah Tuhan yang Maha Kuasa

Ombak yang menderu
Dedaun berterbangan
Terkadang mengkhayalkan diriku
Terlupa aku pada Pencipta yang Esa
Yang sentiasa melihat diriku
Di mana... Di mana berada
Di mana... Oh di manakah diriku
Adakah di jalan lurus atau dijalan yang berliku Oh Tuhan tunjukkan ku jalan kebenaran

Ku tahu jalan bahagia
Penuh onak jua cabaran
Oh Tuhan beri kekuatan pada ku
Demi mendapat keredhaan dari Mu
Sanggup ku tempuhi ranjau yang penuh berliku Dengan rahmat Mu ya Tuhan
Selamatkanlah diriku
Dari seksaan api neraka Mu

"Ya Allah Ya Mutakabbir Yang Maha Memiliki Kebesaran, aku sedar, tidak wajar bagiku berasa lebih daripada sesiapapun. Dengan itu, jadikanlah aku bersikap rendah hati sehingga tidak ada kesombongan dalam hatiku."

Monday, January 7, 2013

Inspirasi 2013 # Run 001

Alhamdulillah....terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas segala nikmat dan kurniaanMu kepada diriku ini, nikmat iman, islam dan ihsan, nikmat yang paling besar dan agung kepada diriku ini.

Terima kasih Ya Rabb kerana memberi ruang dan peluang untuk aku hidup lagi sehingga kini, di tahun 2013 ini. Jadikanlah diriku ini hambaMu yang semakin kukuh seiring bertambahnya usiaku kerana Engkau memberikan kekuatan kepada sesiapa sahaja yang Engkau kehendaki.

"Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat dalam berjuang tetapi orang yang mampu menahan dirinya sewaktu dia sedang marah." (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, dilaporkan oleh Abu Hurairah).

Terima kasih Ya Allah Ya Jabbar kerana mengajarkan diriku ini untuk mengawal api kemarahan yang meluap-luap di dalam hati ini. Terasa amat sukar tapi kena berusaha juga mengawalnya kerana aku mahu menjadi diriku yang ORI. Ingatilah segala kebaikan dan jasa yang pernah dilakukan oleh insan yang kita marah itu. Semua ini berlaku juga adalah atas izin dariNya....Kun fayakun....

Begitu jualah yang aku bincangkan kepada seorang kakak yang aku sayangi. Carilah jalan bagaimana untuk meredakan api kemarahan itu. Contohnya, apabila terbaca coretan dari orang yang kita sayangi yang boleh mengguris hati dan perasaan, maka jangan dibaca lagi. Biarlah kita tidak tahu daripada kita tahu dan menyakitkan hati serta menyebabkan kita marah. Seperti kata seorang teman, akak tak pernah baca dan tengok message telefon suami akak. Akak percayakan diri dia. Biarlah dia nak buat apa pun di belakang akak, kerana akak yakin dan percaya Allah Maha Melihat dan Maha Tahu segala-galanya. Daripada elok-elok akak jadi manusia kang akak berubah pula menjadi makhluk lain, singa ke harimau ke, susah pulak.

Wahai kekandaku, walaupun ada kekurangan dan kelemahan orang yang kita sayangi itu, ingatlah pula segala kebaikan dan pasti ada kelebihan pada dirinya. Ini sedikit sebanyak dapat meredakan kemarahan kita. Luahkan dan adukan segala-galanya pada Dia Yang Maha Tahu. Dalam masa yang sama, muhasabahlah diri kita ini....untuk menjadi yang lebih baik dan perbaiki kelemahan diri.

Berusahalah untuk memaafkan kesalahan dan kesilapan orang lain...agar dapat memberi ketenangan hati dan kebahagiaan kepada diri kita. Tingkatkan rasa syukur atas segala nikmat dan kurniaan Allah kepada diri kita. Layakkah diri kita untuk memarahi insan lain. Siapakah diri kita untuk memaksa orang lain menjadi seperti apa yang kita inginkan. Hanya Allah Ya Jabbar yang selayaknya Maha Memaksa. Segala perkara yang berlaku ini adalah Qada dan Qadar Allah yang ditetapkan ke atas diri masing-masing. Bersyukurlah dengan apa yang ada...

Marah....marah....marah......untuk aper yer?

Jom padamkan api kemarahan kita dengan memaafkan diri kita dan memaafkan orang lain serta mensyukuri segala kurniaan Allah Yang Maha Kaya kepada diri kita.

Saya kena menjadi orang yang bahagia agar dapat membahagiakan orang lain....buang jauh-jauh perasaan marah itu....

Gumbiranya hatiku ini.....Bahagia....

Alhamdulillah.....