Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim kerana dengan izinMu, diri ini dianugerahi nikmat ihsan, iman dan islam. Bersyukur ke hadratMu Ilahi atas segala nikmat dan kurniaMu ini.
Hari ini diri ini diajar untuk melepaskan apa yang kita sayangi. Diri ini diajar juga tentang muhasabah cinta. Di manakah cinta kepada Sang Pencipta yakni Allah dan cinta kepada junjungan besar rasulullah s.a.w. kekasih Allah. Apalah sangat nilaian kasih sayang dan cinta kita dibandingkan dengan kasih sayang dan cinta dari Sang Pencinta kepada diri kita ini dan rasulullah s.a.w kepada umat Baginda.
Di bulan kelahiran junjungan besar kekasih Allah ini, wahai diri yang sering alpa dan lalai, belajar dan terus belajar untuk mengenali pekerti dan akhlak rasul junjungan mulia, Muhammad bin Abdullah ini. Apakah bukti kita mencintai kekasih Allah ini andai tiada ucapan selawat dan salam kepada Baginda apatah lagi mengamalkan sunnah yang ditinggalkan untuk kita umatnya yang tercinta.
Apabila kita belajar untuk melepaskan, Allah akan bantu dan terus membantu. Kerana segala apa yang dilepaskan itu adalah kembali kepada pemilikNya yang Haq. Untuk apa kita perlu bimbang dan gusar dengan apa yang kita lepaskan, yakin dan pastilah, ganjaran itu ada di sisi Allah, lepaskanlah dengan penuh rasa ikhlas keranaNya. Belajar untuk memberi dan terus memberi. Kerana Allah itu Maha Melapangkan. Apabila kita diberi kelapangan, kongsikanlah kelapangan yang kita miliki itu untuk melapangkan insan yang berada di sekeliling kita.
Diri ini sedar Ya Allah, segala apa yang kita rancangkan dan impikan, berada dalam rancangan Allah, namun perancangan Yang Maha Merancang itu melebihi perancangan kita. Adukan dan luahkan segala-galanya pada Dia Yang Maha Tahu.
Hari demi hari, diri ini terus diajar oleh Yang Maha Mengetahui, segala kesulitan yang kualami akhirnya terasa ringan dan mudah untuk kulalui. Tiada apa yang sulit dan sukar, kerana yakin dan percayalah, Dia sentiasa ada untuk memudahkan kita.
Melepaskan....Submit to Allah...dan NO mind. Segala urusan akan dipermudahkan olehNya. Sentiasa perbetulkan niat dalam menjalani urusan kita seharian.
Apabila diri rasa marah dan tidak berpuas hati, semak diri, siapalah diri kita untuk melepaskan kemarahan itu. Kemarahan itu ditujukan kepada siapa. Layakkah kita untuk marah dan merasa tidak berpuas hati. Adakah kita tidak berpuas hati kepada diri kita? Adakah kita memarahi diri kita? Adakah sebenarnya kita tidak dapat menerima ketetapan dan ketentuan yang Dia aturkan untuk kita. Adakah kita layak untuk marah dan tidak berpuas hati dengan ketentuan qada dan qadar Allah. Beristighfarkan dan muhasabahlah kembali ke dalam diri. Bersihkanlah dan cucilah hati agar kembali kepada fitrahnya yang suci.
Bimbinglah dan pimpinlah diriku Ya Allah untuk menjadi usahawan yang hebat seperti junjungan besar rasulullah s.a.w dan para sahabat yang menginfakkan diri dan harta untuk Islam.
Saat ini, diri ini amat merindui super heroku Ya Allah. Walaupun dia telah kembali kepadaMu, namun semangat dan kasih sayang serta cintanya masih kekal kurasakan. Hanya jasad yang memisahkan kami, namun urusan roh ini adalah urusanMu ya Allah. Berikanlah ketenangan dan limpahilah dia dengan limpah dan rahmatMu. Berikanlah diriku kekuatan dan semangat yang ada pada dirinya hadir dalam diriku. Menjadi insan yang sangat cekal dan berserah diri secara total kepadaMu. Yakin dan percaya bahawa rezeki itu anugerah dari Ilahi. Jika ditakdirkan rezeki itu milik kita, tak perlu risau, tak perlu takut, tak perlu gelisah, tetap akan menjadi milik kita walaupun jalannya sukar. Benarlah, apabila Allah menghendaki sesuatu, cukuplah Allah berkata Kun fayakun.... Semua itu berlaku dengan aturan Allah.
Usahlah dirisaukan apa akan berlaku hari esok. Lalui hari ini yang telah dihadihkan kepada kita dengan sehabis baik. Jadikan hari semalam yang telah berlalu sebagai sejarah dan ambillah pengajaran dari hari semalam yang banyak memberikan pengajaran. Perbaiki kelemahan hari semalam untuk meneruskan hari ini. Jadi, usah takut dan gentar untuk menempuh hari esok, lakukan sahaja yang terbaik untuk hari ini. Jangan fikirkan hari esok yang belum pasti kita dapat menemuinya, hari yang telah ditemukan kita ini, hargai dan terus melakukan kebaikan yang berterusan. Hari ini akan menjadi lebih ceria dan bahagia bila kita berpegang dengan janji Allah...Kun fayakun....
NO mind....NO mind....NO mind
~ 11 Rabiul Awal 1434H~
No comments:
Post a Comment