Alhamdulillah...terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas nikmat dan anugerah ihsan, iman dan islam yang Engkau kurniakan kepada diriku ini. Bersyukurku ke hadratMu Ya Allah Ya Khaliq Yang Maha Pencipta.
Diriku telah diajari olehMu Yang Maha Pencipta untuk aku menyedari akan kebesaran dan kekuasaanMu. Sesuatu yang mudah bagi Allah untuk mengajari kita seandainya diri kita bersedia untuk menerima segala ilmunya.
Pengalaman menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Johor Darul Takzim FC dan Perak di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin adalah sesuatu yang bermakna bagiku. Pelbagai gelagat dan tingkah laku serta ragam manusia dapat kusaksikan demi memberi sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing. Ada jua yang berfikiran kreatif, menjual makanan dan minuman di ruang dalam stadium Larkin. Selain dapat menambah pendapatan mereka, memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada para penyokong, yang pasti sedang kelaparan dan dahaga. Pelbagai peringkat umur ada untuk menyatakan sokongan mereka kepada pasukan pilihan dari peringkat bayi hinggalah pangkat datuk dan nenek. Ada juga kanak-kanak yang kreatif membuat gulungan kertas dan dijadikan sebagai pedang. Dapat juga mereka bermain dengan pedang rekaan sendiri tanpa mengganggu ibu dan bapanya yang asyik menyaksikan perlawanan bola sepak. Tidak terkecuali juga ada di kalangan penyokong yang terlalu bersemangat menyaksikan perlawanan sehingga mengganggu konsentrasi penyokong lain. Terjerit-jerit dengan suara nyaring seperti menonton cerita hantu. Apa yang ingin disaksikan ya? Apa yang ingin dicapai di akhir penyaksian itu?
Para pemain yang berada di gelanggang perlawanan juga tidak mahu menghampakan diri sendiri, rakan sepasukan, jurulatih dan juga para penyokong. Mereka bermain bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan. Tiada yang dilihat tidur di padang ketika perlawanan berlangsung. Hanya yang ada terjatuh, terduduk dan terbaring kesakitan akibat kemalangan yang berlaku di padang. Pelbagai strategi diatur oleh kedua-dua pasukan untuk meraih kemenangan, dalam masa yang sama, mempertahankan pasukan masing-masing dari sebarang jaringan gol.
Ketika mataku asyik menyaksikan kanak-kanak yang comel di hadapanku, tanpa aku menyaksikan, pasukan JDT berjaya menyumbat gol ke pasukan Perak. Siapa yang menjaringkan gol juga aku tidak tahu. Terlepas detik itu. Jadi siapa yang mengizinkanNya jika bukan dari Dia Yang Maha Mencipta. Penjaga gol Perak juga sudah pasti tidak tidur tatkala bola yang dijaringkan oleh pemain JDT itu. Beliau jua sudah berusaha sedaya upaya agar dapat mempertahankan pintu gol dari bolos dengan jaringan gol. Tetapi perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia kan. Kita hanya mampu merancang, seterusnya berdoa, berusaha sehabis baik, berikhtiar dan bertawakkal....hasilnya kita serahkan kepada Allah...Jadi kita akan rasa bahagia dan seterusnya dapat membahagiakan orang lain.
Kekalahan itu sememangnya terasa amat perit dan sakit dan kemenangan itu dirasakan sangat seronok dan membahagiakan. Segala apa yang berlaku jika disaksikan bukan hanya dengan mata zahir tapi dengan mata hati, akan membuatkan diri rasa redha dengan apa yang berlaku. Terimalah segala ketentuan dari Allah dengan berlapang dada dan hati yang tenang, kebahagiaan itu akan dapat kita nikmati. Kerana nikmat rasa bahagia itu adalah anugerah dari Allah, yang hanya layak diberikan kepada insan yang kreatif dan produktif dan inovatif dalam mencari redhaNya dalam setiap inci perbuatannya.
Jadikanlah diriku ini seorang insan yang produktif dan kreatif wahai Yang Maha Pencipta dan bermotivasi bagi mencapai kejayaan dalam hidup. Berikanlah diriku kerangka berfikir dan bertindak dalam menghasilkan perkara yang memberi manfaat kepada diriku dan orang lain. Jadikanlah diriku bermotivasi bagi mencipta sesuatu yang baru, sesuatu yang belum dicipta ataupun ditemukan oleh orang lain.
"Allah membenci orang yang mengakui melakukan sesuatu sedangkan dia tidak melakukannya" (as-Saffat: 3)
Nabi Muhammad s.aw. berpesan :
"Janganlah kamu menjadi orang yang hanya suka mengikut orang lain. Teguhkanlah pendirian kamu. Apabila orang berbuat baik, hendaklah kamu berbuat baik. Sebaliknya, apabila mereka melakukan kejahatan, hendaklah kamu menghindar daripada melakukan kejahatan itu." (Direkodkan oleh Tirmizi)
"Wahai Allah Ya Khaliq Yang Maha Mencipta, anugerahkanlah kepadaku produktiviti dan kreativiti sehingga aku menjadi manusia yang kukuh dan mapan."
-29 Safar 1434H-
No comments:
Post a Comment