Alhamdulillah....terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas segala nikmat yang Engkau anugerahi kepada diriku, nikmat ihsan, iman dan islam. Bersyukur ke hadratMu kerana Engkau sentiasa mengajari diriku setiap saat dan ketika. Tidak pernah terlepas diriku dari pandangan dan jagaanMu. Hanya aku yang lalai dan alpa atas nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku.
Renungkan segala nikmat yang telah kita perolehi. Segala permasalahan yang mendatang akan dirasakan mudah dan pasti dapat diatasi kerana yakin dan pasti semua itu berlaku dengan izinNya. Kun fayakun...apabila Allah menghendaki sesuatu, cukuplah Allah berkata jadilah, maka jadilah ia. Kata-kata Allah itu benar. Diriku yakin dan percaya dengan setiap ayat-ayat cinta yang Engkau katakan dalam KalamMu yang Maha Agung iaitu kitab al-Quran.
Duhai diri yang sedang alpa. Jangan terus bersedih. Setiap apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya tanpa kita mengetahuinya. Hanya Dia Yang Maha Tahu.
Filem Kun Fa Ya Kun yang kutonton amat memberi makna yang mendalam kepadaku. Jangan gusarkan apa akan berlaku hari esok kerana hari esok hanya Dia yang tahu apa yang akan berlaku. Hadapi hari ini yang merupakan hadiah yang paling bermakna dari Dia Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Penuhi hari ini dengan melakukan perkara yang dapat membahagiakan diri kita dan dapat membahagiakan insan lain. Jadikan hari semalam sebagai sejarah dalam kehidupan kita. Lakukan perubahan hari ini untuk memperbaiki kelemahan hari semalam yang serba kekurangan.
Didik dan pandulah diriku Ya Allah supaya menjadi seorang insan yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Yakinkan diriku bahawa sumber rezeki adalah dariMu Yang Maha Memberi Rezeki. Siapakah pun diri kita, apapun pekerjaan yang kita lakukan, apapun permasalahan yang kita hadapi, serahkan dan adukan segala-galanya kepada Dia Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Keajaiban akan hadir dalam kehidupan kita selagimana kita meletakkan Dia Yang Maha Agung sebagai pegangan dan penggantungan kita. Kita hanya mampu merancang, berusaha dan terus berusaha, bermohon kepadaNya setiap saat dan ketika. Serahkan segala keputusannya kepada Dia Yang Maha Mengetahui.
"Jangan letakkan harapanmu kepada manusia kerana kamu mungkin terluka.
Letakkan harapanmu kepada Allah Ya Bari Yang Maha Mengadakan kerana Dia tidak menghampakanmu."
"Ya Allah Yang Maha Pencipta, Engkaulah sumber inspirasi dan motivasiku. Apabila badai datang menerpa dan menghancurkan hidupku, hanya Engkau yang menjadi penghibur dan memberi semangat kepadaku dalam meneruskan kehidupan ini."
Jangan pernah kecewa dan berputus asa. Jadilah dirimu yang OrI yang menyerahkan diri secara total kepadaNya dan bersedia melepaskan sesuatu yang kita sayangi kerana semua itu hanyalah pinjaman dariNya. Sampai masa, pasti yang dipinjam perlu dipulangkan kepada tuannya.
Terima kasih Ya Rabb atas apa yang Engkau ajari kepadaku. Aku redha dan berusaha mendidik hati ini agar menerima segala apa yang terjadi ini sebagai ilmu yang Engkau ajari kepadaku. Walaupun diri terasa tidak mampu untuk menghadapinya, tetapi Engkau tidak akan memberikan kepadaku andai diriku tidak mampu menerimanya. Terima kasih sahabat. Inilah ujian kehidupan yang perlu diharungi untuk mendidik hati kita supaya kita sentiasa kembali kepadaNya setiap saat setiap ketika. Pandanglah dengan mata hati, bukan dengan mata kasarmu, kerana kamu tidak akan menemui jawapannya dengan pandangan mata kasar. Pandangan mata hati lebih suci dan murni kerana ianya datang dariNya Yang Maha Suci.
Dia pasti menunjukkan jalan keluar kepada kita apabila kita buntu memikirkan jalan keluar itu. Kerana hanya Dia Yang Maha Melapangkan. Mintalah kepadaNya untuk diberikan kelapangan.
Terima kasih Ya Allah kerana memberikan aku bantuan di kala aku amat memerlukan pertolonganMu. Jadikanlah diriku insan yang ikhlas dalam beramal semata-mata keranaMu.
-7 Rabiul Awal 1434H-
No comments:
Post a Comment