KENKM MINTA JABATAN PERIKANAN BANTU ATASI MASALAH KEMUSNAHAN LUBUK IKAN DAN UDANG, SEDIA TUKUN TIRUAN
Ahmad Othman
Berita Harian
24 Ogos 2007
KOTA TINGGI: Sungai Johor bakal menjadi perairan lebih bersih, bebas daripada himpunan kelodak dan sampah pepejal sebaik kerja mengorek serta mendalamkan sungai berkenaan selesai dilakukan pada penghujung tahun depan.
Ketika ini, difahamkan sungai yang membelah bandar ini dipenuhi lumpur, pasir dan pelbagai sampah yang dihumban termasuk kerangka besi, kayu, tayar buruk serta bahan plastik sehingga menyumbang kepada masalah banjir luar biasa seperti yang dialami pada Disember dan Januari lalu.
Bagaimanapun, kerja pengorekan sungai yang bermula sejak bulan lalu itu dipercayai menyebabkan mata pencarian lebih 100 nelayan tradisional dan pemancing terjejas berikutan musnahnya lubuk ikan dan udang bermula dari pinggir bandar ini hingga ke Batu Sawar, menghilir ke muara Sungai Johor.
Sebenarnya, terdapat hampir 20 pangkalan tebing sungai yang dibina berhampiran lubuk ikan dan udang galah di sungai berkenaan.
Pangkalan adalah kawasan nelayan turun naik dari tebing sungai menghubungi jalan darat, sebagai tempat beristirehat di bawah pohon atau tempat melabuhkan perahu ketika air bergerak pasang surut berhampiran lubuk ikan atau udang galah.
Dengan pengorekan sungai berkenaan, maka habitat yang menjadi tumpuan ikan dan udang galah turut musnah, sekaligus menyebabkan pendapatan nelayan dan pemancing terjejas.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan perlu memikirkan untuk menyediakan tukun tiruan atau menambah pelbagai benih ikan bersesuaian ke dalam sungai Johor supaya ia kembali menjadi sumber bekalan ikan air tawar, sumber industri ikan hiasan, lokasi memancing dan medan rekreasi di bandar ini.
Pengerusi Kumpulan Ekonomi Nelayan Kampung Makam (KENKM), Sheikh Umud Sheikh Awab, 58, berkata nelayan sungai mengalu-alukan kerja pengorekan sungai sebagai usaha yang difahamkan bakal mengurangkan paras air ketika banjir di bandar ini.
Beliau berkata, aktiviti mendalamkan sungai yang akan mengambil masa selama 18 bulan mulai bulan lalu di sepanjang Kampung Panti sehingga Seluyut akan memusnahkan lubuk ikan dan udang galah buat sementara waktu.
Katanya, pihaknya menjangkakan bahawa pemulihan sungai mengambil masa setahun selepas siapnya kerja mendalamkan sungai dengan kebanyakan nelayan terpaksa berdepan dengan pengurangan hasil tangkapan sehingga 2009.
Sebelum ini, beliau yang juga dikenali sebagai Embun berkata, pihaknya mendapati beberapa spesies ikan dalam sungai itu mula menuju kepupusan termasuk baung, ege-ege, ikan ubi, belida dan tapah.
"Sehubungan itu, pihak berwajib termasuk cendikiawan dari universiti, pusat penyelidikan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perikanan perlu peka membuat penguatkuasaan, pemantauan dan kajian bagi meningkatkan pengurusan alam sekitar terutama berhubung ekosistem sungai.
"Kami juga berharap untuk tempoh bersesuaian dan jangka panjang akan dilakukan program pelepasan benih ikan ke dalam sungai serta perlaksanaan tukun tiruan untuk menambah populasi ikan dan udang", katanya.
Sementara itu, seorang nelayan, Razak Mohamad,32, berkata pihaknya sudah mengambil inisiatif mendaftarkan 53 nelayan sungai di bawah KENKM dan bernaung di bawah persatuan induk, Persatuan Nelayan Pengerang (PNP).
Beliau berkata, tindakan berkenaan bagi memastikan nasib dan kebajikan nelayan sungai terbela serta bersatu suara selepas sungai Johor yang menjadi tempat rezeki mereka kini dikorek untuk kerja mendalamkan sungai.
"Terdapat tambahan 30 lagi ahli baru sekitar kampung ini yang disahkan keahliannya oleh PNP dan 40 lagi ahli dari Kampung Pasak.
"Pencemaran alam dan kelodak tanah menyebabkan ada kalanya air sungai menjadi warna coklat tua dan bakal memusnahkan kehadiran spesies ikan dan udan" katanya.
Razak berkata, jika dulu nelayan sungai dan pemancing di sini mampu mengail di antara 3 hingga 4 kg udang galah sehari, kini mereka hanya mampu menangkap ikan dan udang antara 500 hingga 800 gram sahaja.
"Kami mengambil berat tahap kebersihan sungai dan menentang segala bentuk pencemaran, kegiatan menuba dan meracun ikan serta menyokong teguh kempen memulihara sungai.
"Bagi kami, sungai Johor ini adalah sumber bekalan air bersih penduduk, tempat pembiakan ikan, udang dan tumbuhan serta produk pelancongan daerah ini," katanya.
No comments:
Post a Comment