HIKMAH KEJADIAN MANUSIA & PENGAJARAN TENTANG MEMBACA DAN MENULIS (96:1-8)
Surah ini mengandungi 19 ayat, dinamakan surah al-Alaq, surah Iqra' atau al-Qalam kerana Allah SWT memulakan surah tersebut dengan firmanNya (bermaksud):
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah (al-Alaq,96:1-3).
Al-Alaq bererti seketul darah beku dalam bentuk haiwan yang kecil.
KANDUNGAN SURAH
Surah Makkiyah ini adalah merupakan surah yang pertama sekali turun kepada Rasulullah s.a.w. dan ianya menjelaskan tentang 3 perkara penting:
<1> menyatakan tentang hikmah kejadian manusia yang dijadikan oleh Allah SWT bermula dari lembah sehingga menjadi kuat dan menjelaskan juga tentang kepentingan membaca dan menulis demi membezakan manusia dari makhluk yang lain.
<2> menerangkan tentang sifat melampau manusia dan menentang segala perintah Allah SWT. Manusia kerap bersifat angkuh terhadap nikmat Allah dan selalu lupa terhadap Allah sedangkan dia hidup di dalam nikmat harta, kekayaan dan sebagainya. Ada di antara manusia yang ingkar terhadap Allah, sedangkan dia wajib bersyukur di atas segala kelebihan yang dikurniakan oleh Allah.
Firman Allah (bermaksud): Ketahuilah! manusia benar-benar melampaui batas....(al-Alaq,96:6-8)
<3> mendedahkan sifat jahat Abu Jahal yang menegah Rasulullah s.a.w dari menunaikan ibadat solat, kerana sikapnya yang menyokong kezaliman dan agama menyembah berhala. Allah juga menjanjikan janji-janji buruk kepadanya seandainya ia berterusan dalam kesesatan, kekufuran dan penderhakaan. Malah memberi peringatan kepada Rasulullah s.a.w. supaya Baginda tidak mengendahkan segala ugutan Abu Jahal dan maki hamun orang-orang musyirikin.
Allah berfirman (bermaksud): Tidakkah kamu melihat orang yang menegah....
sampai ayat firmanNya (bermaksud): Jangan begitu, kalau ia tidak mahu berhenti (mengugut) pasti akan Ku rentap ubun-ubunnya... (al-Alaq,96: 9-19)
Bahagian pertama surah ini turun di peringkat awal penurunan al-Quran, sementara baki ayat yang lain turun agak lewat iaitu selepas dakwah mula berkembang dan penentangan Quraish terhadap dakwah semakin meningkat.
TAFSIR & ULASAN
Firman Allah (bermaksud):
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan (al-Alaq,96:1)
Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu, atau memohon pertolongan dengan nama Tuhanmu yang telah menjadikan berbagai makhluk dan menciptakan segala-galanya.
Dalam konteks ini, Allah menyatakan kepada kita bahawa diriNya sebagai Pencipta untuk mengingatkan manusia nikmatNya yang paling utama.
Maksud ayat ini ialah Allah memerintahkan NabiNya agar menjadi seorang pembaca dengan kudrat dan iradat Allah yang menciptaNya. Walaupun Muhammad sebelum ini bukan seorang yang boleh membaca dan menulis. Namun Allah berupaya menjadikan Baginda mampu membaca. Hakikat ini membuktikan betapa agungnya Allah SWT.
Firman Allah (bermaksud):
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. (al-Alaq,96:2).
Allah telah mencipta anak-anak Adam dari segumpal darah yang beku iaitu al-alaq.
Penciptaan itu bermula dari setitis air mani. Kemudian berubah kepada alaqah iaitu seperti darah yang kental dengan izin dari Allah, kemudian berubah menjadi mudhgah iaitu seketul daging yang kemudiannya terbina penciptaan itu dari tulang kemudian daging yang akhirnya menjadi manusia yang sempurna kejadiannya.
Firman Allah (bermaksud):
Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah. (al-Alaq,96:3).
Maksudnya, amalkanlah segala suruhan Allah termasuk budaya membaca. Sesungguhnya Tuhanmu yang menyuruh kamu membaca ialah Tuhan yang maha mulia dari segala-gala yang lain. Di antara tanda kemuliaan Allah ialah Dia menjadikan engkau wahai Muhammad mampu membaca, meskipun engkau sebelum ini seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis).
Allah mengulangi perkataan Iqra' dengan tujuan untuk menekankan kesungguhan arahan membaca, kerana keupayaan membaca tidak akan dapat dikuasai kecuali dengan kesungguhan mengulang dan latih-tubi.
Firman Allah (bermaksud):
Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (al-Alaq,96:4).
Maksudnya Allah yang mengajar manusia menulis dengan pena. Amalan dan daya menulis dengan pena adalah satu nikmat yang besar dari Allah. Penulisan memang merupakan wasilah atau perantaraan yang penting dalam berkomunikasi antara sesama manusia. Jika tidak kerana tulisan, nescaya akan hilanglah segala ilmu, tidak akan kekal pengaruh agama Islam, tidak sempurna kehidupan, tidak akan teguh sesuatu peraturan. Penulisan dan karya tulisanlah yang mengabadikan ilmu dan segala maklumat. Ia wahana yang mengemaskini serta memastikan serta memastikan berita atau sejarah orang-orang terdahulu dan juga tulisan-tulisan mereka. Tulisan juga sebagai alat untuk memindahkan ilmu dan maklumat di kalangan manusia dari berbagai bangsa dan keturunan. Dengan itu, segala ilmu dan maklumat akan kekal, boleh diamal dan ditokok tambah. Justeru itu, tamadun manusia akan berkembang maju, aliran pemikiran manusia akan meningkat dan ajaran agama akan terpelihara. Bahkan hidayah akan terus tersebar.
"Abadikanlah ilmu dengan penulisan".
Firman Allah (bermaksud):
Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (al-Alaq,96:5).
Maksudnya, dengan pena Allah mengajar manusia banyak perkara yang tidak diketahui oleh manusia.
Justeru itu tidak hairanlah kalau Allah mengajar nabi membaca serta berbagai ilmu lain demi manfaat umat Baginda.
Firman Allah (bermaksud):
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampau batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup. (al-Alaq,96:6-7).
Allah mengancam manusia yang melampau batas dalam kekayaannya.
Firman Allah (bermaksud):
Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kamu (akan) kembali. (al-Alaq,96:8).
Allah memberi peringatan tentang balasan pada hari akhirat.
Sesungguhnya setiap manusia akan kembali kepada Allah sahaja dan tidak kepada yang lain. Allah jualah yang akan menghitung setiap manusia dari aspek harta, dari mana puncanya dan ke mana dibelanjakannya.
PEDOMAN HIDUP & HUKUM-HAKAM
[1] Menjelaskan tentang kekuasaan Allah dalam penciptaan makhluk, bahawa Allah sebagai Khaliq. Ayat ini mengingatkan tentang asal kejadian manusia dari alaq iaitu seketul darah yang beku, lembut dan tidak keras.
[2] Allah memerintahkan rasulNya supaya membaca al-Quran dengan menyebut nama Tuhannya yang telah menciptakan dan Tuhan yang telah mengajar manusia dalam perkara yang mereka tidak mengetahuinya.
[3] Allah memerintahkan supaya (Baginda) belajar membaca dan menulis; kerana kedua-duanya adalah alat untuk mengenal ilmu-ilmu agama dan wahyu. Penulisan mengekalkan ilmu-ilmu agama untuk disebarkan di kalangan manusia. Ia adalah asas untuk kemajuan ilmu pengetahuan dan perkembangan tamadun manusia.
[4] Di antara kemurahan hati dan kurnia Allah kepada manusia ialah Allah mengajar manusia ilmu yang belum dipelajarinya. Dengan demikian, ia berpindah dari kejahilan kepada cahaya ilmu. Allah memuliakan manusia dengan ilmu. Justeru itu, Nabi Adam yang berilmu mempunyai kelebihan dan keistimewaan berbanding para malaikat. Ilmu itu tercerna dalam pemikiran. Ia boleh berpindah melalui lidah atau melalui penulisan.
[5] Allah mendedahkan tentang sifat buruk manusia iaitu terlalu gembira, angkuh dan melampau batas apabila melihat dirinya menjadi kaya dan banyak harta. Allah mengancam dan menjanjikan kepada mereka bahawa mereka pasti akan kembali kepada Allah, dan akan disoal siasat tentang hartanya; dari mana ia dapati dan ke mana dibelanjakannya.
[6] Peringkat awal surah ini adalah memuji ilmu. Manakala penghujungnya pula mencela harta dunia. Dengan penampilan sedemikian rupa adalah diharapkan dapat mendorong manusia agar berpegang teguh dengan agama dan menjauhkan mereka dari bencana dunia dan harta.
No comments:
Post a Comment