Wednesday, December 1, 2010

PERANAN NIAT DALAM AMAL

Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab r.a. katanya, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bahawasanya segala amalan itu dengan berniat dan bahawasanya bagi tiap-tiap manusia itu apa-apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berpindah kepada Allah dan RasulNya adalah berpindahnya kepada Allah dan RasulNya, dan sesiapa yang berpindah kepada dunia maka diperolehnya akan dunia itu. Atau kepada seorang perempuan berkahwinlah ia dengan perempuan itu. Maka perpindahannya itu adalah kepada apa-apa yang berpindah ia kepadanya.[Hadith diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam sahihnya]

<>-<>-<>-POKOK PERBINCANGAN HADITH-<>-<>-<>
-> sebab keluar hadith ini - kisah hijrah Ummu Qais
-> kenapa niat penting? - membezakan ibadat dengan adat, menentukan qasad amal adakah untuk ALLAH atau lainnya.

<>-<>-<>-PENGAJARAN HADITH-<>-<>-<>
Hadith ini menunjukkan NIAT syarat sah bagi segala amalan. Apabila elok niat itu eloklah amalan dan apabila niat tidak elok binasalah amalan itu.

Niat adalah teras segala amalan. Amalan baik mesti disertakan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara', tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik. Demikian juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana ALLAH, seumpama kerana riya', menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.

Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya.

Hijrah adalah suatu peritiwa besar dalam Islam di mana umat Islam diperintahkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau perempuan, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya.

Walaupun hijrah sudah tiada lagi, namun hijrah dengan makna meninggalkan maksiat kepada melakukan taat, ia juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala.

Rujukan:
Hadis 40 Imam an-Nawawi http://www.geocities.com/bahantarbiyyah

No comments:

Post a Comment