Tuesday, December 18, 2012

Ya Allah Ya Aziz Yang Maha Perkasa

Dimuliakan apabila hampir dengan Allah

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas nikmat dan anugerahMu ke atas diriku. Nikmat ihsan, iman dan islam yang terlalu agung Engkau kurniakan kepada diriku. Aku bersyukur dengan segala kurniaanMu Ya Allah.

Bagi yang mengambil peperiksaan PMR 2012, keputusan telah keluar pada hari ini 19 Disember 2012. Alhamdulillah, anak saudaraku mendapat keputusan PMR dengan 6A dan 2B. Itu bukanlah ukurannya tapi yang penting usaha yang telah ditunjukkan olehnya untuk meraih kejayaan seperti itu. Dalam kesibukan mengulangkaji pelajarannya, dia masih mampu bekerja membantu jirannya untuk menambah wang sakunya. Anak yang tidak pernah menyusahkan ayah dan ibunya. Pandai berdikari sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Dia akan menabung untuk membeli apa yang dihajatinya. Pernah suatu ketika dahulu, dia bertanya kepada ayahnya, kereta mainan mahal tak ayah? Gaji ayah berapa? Ayahnya menjawab gaji ayah cukup untuk menampung makan, minum, pakaian dan belanja sekolah along, angah dan adik-adik yang lain. Dia akur untuk tidak meminta untuk dibelikan kereta mainan. Ya Allah, bimbinglah anak saudaraku ini agar menjadi anak yang soleh yang dapat membantu ayah dan ibunya di dunia ini dan di akhirat sana nanti.

Ya Allah, di saat ini diriku amat merindui arwah ayahku. Aku cuba untuk membantu anak-anak saudaraku mengikut kemampuanku Ya Allah. Arwah ayah dan bonda tidak pernah berkira dengan anak-anak maupun cucu-cucunya sepanjang hayat ayah. Apa yang ayah termampu, dia akan bagi. Tidak pernah terlafaz dari mulutnya tak ada, tak boleh...Jika aku mendapat keputusan peperiksaan yang kurang baik, arwah ayah tak pernah memperlekehkan diriku. Ayah mesti cakap, takpe usaha lagi, anak ayah kan hebat. Sehinggalah ke saat ini, kekuatan semangat arwah ayah dan bonda menjadi pemangkin untuk diriku meneruskan perjuangan hidup ini.

Semangat dan sifat al-Aziz Allah ini juga adalah penguat semangat diri untuk terus berusaha dan terus berusaha. Allah Ya Aziz memiliki kedudukan yang mulia sehingga tidak mungkin Dia menjadi hina. Allah jauh daripada pemahaman manusia sehingga kita tidak dapat mencapaiNya. Allah adalah zat yang sempurna sehingga Dia tidak memerlukan sesuatu apa pun. Sebaliknya, Dia diperlukan oleh semua makhluk demi meneruskan hidup, sejak terciptanya dunia ini sehingga hari kiamat.

"Siapa yang menghendaki kemuliaan dunia dan akhirat, hendaklah dia taat kepada Ya Aziz."

Apabila seorang hamba mengenal Allah, dia tentu menghormatinya dan memuliakannya. Allah pula memandangnya dengan penuh kasih sayang dan memberikan rahmat kepada hambanya itu. Orang yang taat kepada Allah mendahulukan Allah dalam segala hal. Apabila hendak memulakan sesuatu pekerjaan, dia menyebut nama Allah terlebih dahulu. Dalam melaksanakan pekerjaannya itu, Allah sentiasa berada dalam jiwanya, dalam fikirannya dan dalam tingkah lakunya sehingga dia menjadi cermin akhlak Allah bagi seluruh makhluk yang ada di dunia ini.

"Ya Allah Ya Aziz, Engkau memberikan kekuatan kepada sesiapa sahaja yang Engkau kehendaki. Jadikanlah aku hambaMu yang semakin kukuh seiring bertambahnya usiaku."

-5 Safar 1434H-

Monday, December 17, 2012

Ya Allah Ya Muhaimin: Maha Memelihara dan Melindung

Allah Pelindung Sejati

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim serta Ya Muhaimin Yang Maha Memelihara dan Melindung. Egkaulah Ya Muhaimin Pelindung Sejati diriku.

Terima kasih jua Ya Muhaimin kerana telah memelihara dan melindungi diriku dari segala bala bencana dan wabak penyakit. Terima kasih jua Ya Muhaimin kerana telah menganugerahi diriku nikmat demam dan batuk ini dan Engkau jodohkan dan takdirkan diriku bertemu dengan insan yang mengasihi dan menyayangi diriku serta menjaga diriku di kala aku dalam kedukaan itu. Aku benar-benar yakin dan percaya bahawa setiap kesulitan pasti ada kesenangan, bukan 1 tapi 2....tapi semua itu adalah hikmah dariNya jua. Kita tidak tahu, jadi serahkan sahaja kepada Yang Maha Tahu.

Dengan nikmat sakit yang sedikit ini, Allah Ya Muhaimin ingin melihat sejauh mana dan sedalam mana nilai kasih sayang dan cinta kita kepada Allah dan RasulNya. Sehebat mana penggantungan diri kita kepadaNya Yang Maha Esa. Allah Ya Muhaimin ingin mengajarkan diriku bagaimana untuk memahami dengan baik bagaimana rasanya hidup aman dan damai bersama Allah. Sewaktu menyebut namaMu Ya Muhaimin, pada saat itu Allah memelihara dan memberikan perlindunganNya. Allah menguruskan semua keperluan, pekerjaan, rezeki dan apa sahaja keperluan, baik yang diminta ataupun tidak.

"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...
Ya Muhaimin Yang Maha Memelihara dan Melindung.
Peliharalah aku daripada memohon perlindungan selain daripada perlindunganMu.
Sekiranya aku pernah berkeluh-kesah atas nasib yang menimpa diriku dan sekiranya aku pernah berpaling daripadaMu, aku memohon keampunanMu dan aku kembali kepadaMu"

-Safar 1434H-



Wednesday, December 12, 2012

Ya Allah Ya Salam

Dengan namaMu Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim diriku memulakan kehidupanku hari ini...Alhamdulilah terima kasih Ya Rabb atas nikmat ihsan, iman dan islam yang Engkau anugerahi kepadaku. Setiap saat dan setiap ketika diriku belajar untuk sentiasa sedar dan ONLiNE denganMu. Agar diriku ini sentiasa dalam track yang dipandu olehMu.

Hari ini, diriku belajar lagi erti sentiasa sedar akan Engkau Ya Rabb. Diriku lalui hari-hari yang lalu dengan kasih sayang dan cintaMu Ya Rahman Ya Rahim dan Ya Wadud. Diriku juga ingin bertekad menyebarkan sifatMu Ya Salam Yang Maha Sejahtera kepada insan-insan yang berada di sekelilingku mengikut tahap dan kemampuan diriku ini. Diriku ingin mengabdikan diri kepadaMu Ya Salam demi kesejateraan orang lain. Modul yang aku perolehi dari program xpresi cinta itu masih segar dalam ingatanku, tatkala pn. Nora minta kami lepaskan duit rm 1, 5, dan seterusnya 50 dari dompet masing-masing. Sampai saat kita merasakan amat sukar untuk melepaskan. Itulah tahap yang perlu kita lepaskan. Jika kita melepaskan rm 1, tidak sama rasanya bila melepaskan rm 50 kan....modul yang sangat simple tapi memberi impak yang sangat besar kepada peserta. Disitulah Allah Yang Maha Sejahtera ingin melatih dan mendidik hati kita agar sentiasa ON dengan Dia. Yakin dan percayalah Dia sentiasa ada untuk memandu arah tuju perjalanan hidup kita. Jangan dilupakan juga selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kerana di situ adanya keberkatan. Yakin dan percayalah, setiap urusan dan perancangan kita berada dalam genggaman Dia Yang Maha Tahu dan Maha Perancang. Kita merancang Dia jua merancang, namun perancangan Dia lebih tepat dan amat luar biasa dari perancangan kita yang kadang-kadang tidak merujuk kepada Dia terlebih dahulu. Kita terlupa untuk mengadukan kepada Yang Maha Mengetahui sedangkan kita tahu Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Itulah sifat seorang insan yang selalu alpa dan lalai. Kita perlu sentiasa diingatkan setiap saat dan ketika. Bagaimanakah caranya? Sentiasalah ON dengan Dia. Mudah sahaja untuk melafazkan kaedah ON to Allah, namun dari segi praktikalnya masih samar-samar bagi diriku. Masih bertatih-tatih untuk berjalan ke arah itu. Namun terasa amat seronok apabila Dia selalu ada untuk menunjukkan jalan yang perlu diriku pilih. Sentiasa ada untuk menyedarkan diriku membetulkan niat hanya keranaMu.

'Maha Sejahtera adalah sifat Allah. ALLAH tidak memiliki sebarang kekurangan ataupun kecacatan. Tidak ada makhluk yang sempurna dan tidak rosak, kecuali yang dinisbahkan kepada dan terpancar daripada Allah. Tindakan Allah Yang Maha Sejahtera secara mutlak bebas daripada tindakan yang hina ataupun buruk. Kejahatan mutlak adalah kejahatan yang dilakukan bagi kepentingan sendiri dan ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada umum. Allah Yang Maha Sejahtera tetap ada, tidak goyah mahupun terganggu selamanya. Sebagai sifat aktif, as-Salam memberi kedamaian dan keselamatan kepada alam yang diciptakan sehingga saat kebangkitan. Mengucapkan 'assalamualaikum' kepada sesama makhlukNya adalah salah satu manifestasi as-Salam'

Allah adalah sumber kedamaian sejati iaitu sumber yang sentiasa memancarkan 'air jernih' kepada semua makhlukNya di dunia ini. Dia adalah sumber yang tidak pernah kering selama-lamanya. Apabila kita mendekati sumber itu dan 'meminumnya' sepuas hati kita, pasti kita merasakan kesegaran yang luar biasa yang tidak pernah kita rasakan sebelumnya.

Nabi Muhammad s.a.w berpesan kepada kita supaya menyebarkan salam. Dengan demikian, kita dituntut menjadikan salam sebagai prinsip dalam hidup kita. Kita perlu menjadi cahaya yang menerangi alam sekeliling dan menyebarkan kedamaian dan kesejahteraan sehingga siapa sahaja yang mendekati kita dapat merasakan kedamaian dan kebahagiaan itu.

Walaupun agak sukar untuk dipraktikkan dan diamalkan, tetapi yakin dan percayalah bahawa cahaya kedamaian, keselamatan dan lesejahteraan yang kita pancarkan tidak sia-sia. Segala perkara tentu memberi kesan  sepertimana yang tercatat dalam surah Yasin ayat 12 yang bermaksud;

".....kami menuliskan apa yang mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan..."

Kisah seorang tokoh sufi Ja'far ash-Shadiq memberi nasihat kepada anak muridnya Unwan saya rakamkan di sini sebagai iktibar untuk diri kita semua.

" Siapa yang mendoakan kehancuran untukmu, kamu pohonkan keselamatan untuknya. Sekiranya ada orang datang kepada kamu dan berkata; apabila kamu mencaci saya sekali, engkau kelak mendengar saya mencacimu 10 kali, jawablah dengan berkata; sekiranya kamu memaki saya 10 kali, kamu tidakmendengar cacian daripada saya walaupun satu. Sekiranya kamu memaki saya dan kata-kata kamu itu benar, saya memohon semoga Allah mengampunkan diri saya dan apabila saya keliru, saya memohon semoga Allah mengampunkan kamu."

Dalam keadaan seperti itu, anda tidak bergantung pada sesuatu apa pun selain Allah kerana anda tahu, Allah adalah pemimpin anda menuju kedamaian sejati. Anda juga yakin sekiranya anda memalingkan diri anda, walaupun sedikit daripadanya, ia bererti anda tidak mengikut panduanNya.

Menurut Syeikh Muhammad Mutawally Sya'rawi pula;
" Masyarakat sentiasa berasa senang dengan orang mukmin yang berbuat baik dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi. Orang mukmin bagaikan bunga yang harum semerbak dan mewangi di muka bumi ini. Selagi orang mukmin bersikap demikian, tidak mungkin hilang perkara yang disenanginya bahkan sekiranya mereka ditimpa musibah, Allah memberikan pahala musibah itu kepada mereka. Mereka menghadapi segalanya dengan rasa syukur, meskipun mereka tidak mengetahui hikmah yang terkandung didalamnya."

"Sebarkanlah kedamaian dan kebahagiaan saudaraku! Hentikan permusuhan dan kebencian antara sesama makhluk. Kita bosan dan jenuh dengan pelbagai pertikaian atas nama Tuhan. ALLAH tidak pernah menyuruh kita bermusuhan kerana permusuhan tidak pernah menyelesaikan masalah. Hanya cinta yang mampu menyelesaikan masalah."

------------########--------------
DOA HARI INI
------------#########-------------
YA ALLAH, Engkaulah as-Salam, sumber kedamaian dan kebahagiaan, hidupkan kami dalam kedamaian dan kebahagiaanMu. Satukan kami sehingga tidak ada lagi permusuhan dan kebencian atas namaMu. Terangilah hati kami dengan kedamaian dan kebahagiaan supaya kami dapat menjalani hidup ini dengan tenang. Sekiranya ada di antara kami memusuhi saudaranya yang lain atas namaMu dan mereka melakukannya demi kepentingan peribadi dan kelompoknya sendiri, Engkau bimbing mereka kejalanMu. Jangan biarkan saudara kami mencari kedamaian dan kebahagiaan dengan membenci sesama sendiri. Damai dan bahagiakanlah kami di dunia yang fana ini sebagai bekalan di akhirat sana yang kekal abadi. Aameen Ya Rabbal 'alamin....

-29 Muharram 1434H-

Monday, December 10, 2012

Ya Allah Ya Quddus

Alhamdulillah, bersyukur diriku ke atas segala nikmat dan kurniaanMu Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Malik Ya Quddus...Yang Maha Suci....Sucikanlah hati dan fikiranku Ya Allah Ya Quddus Yang Maha Suci.

"Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim Ya Malik Ya Quddus....bersihkanlah hati dan fikiranku daripada memikirkan hal-hal yang Engkau benci. Masukkanlah perkara-perkara yang positif dalam hati dan fikiranku supaya hidupku tenteram dan damai dalam kesucianMu Ya Allah Ya Quddus Yang Maha Suci..."

Ya Allah Ya Quddus, sucikanlah hati dan fikiranku. Berikanlah diriku ini ketenangan dalam hidup ini, kurniakanlah diriku kebahagiaan, mudahkanlah diriku memberi kemaafan kepada diriku dan insan lain yang juga adalah makhlukMu Ya Allah Ya Khaliq. Jadikanlah diriku ini insan yang mudah memberi kemaafan...kerana diriku hanyalah insan biasa yang tidak selayaknya memarahi dan tidak memaafkan kesilapan dan kesalahan orang lain. Dengan mudahnya memberi kemaafan kepada insan lain, in sha Allah orang lain juga akan mudah memaafkan kesalahan dan kesilapanku Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...jiwa kita akan menjadi lebih tenang dan lapang serta dapat hidup dengan rasa bahagia dan membahagiakan di dunia ini dan di akhirat sana.

Contoh yang paling agong adalah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda tidak berasa sedih dan marah apatah lagi berdendam apabila orang  Thaif telah menolak dakwahnya dan mencederakan tubuh badannya. Baginda memaafkan kesalahan mereka lantas mendoakan mereka agar diberikan nur dan hidayah dari Yang Maha Esa.

Ingatlah wahai diri yang sering lalai dan alpa, nyawa yang Allah amanahkan kepada kita hidup di dunia ini adalah untuk beriman dan beramal ibadat kepadaNya. Janganlah kerana adanya perasaan sakit hati, menyesal, marah dan dendam kepada insan lain merosakkan diri kita sendiri. Janganlah diri kita terganggu dengan apa yang dilakukan oleh insan yang kita marahi itu, anggaplah segala perbuatan yang menyebabkan kita memarahi mereka adalah hanya gurauan semata-mata yang tidak sedikitpun menjejaskan diri kita. Hapuskanlah Ya Allah Ya Quddus segala kemarahan dan kebencian yang masih tersisa dalam hatiku ini. Buangkanlah perasaan itu jauh-jauh, agar diriku boleh bergembira dan bahagia.

Diriku sedar Ya Allah, orang yang selalu marah dan menyesal sebenarnya telah mengumpulkan toksin dan racun yang banyak dalam dirinya. Oleh itu, apabila kita membersihkan jiwa kita daripada dalam, maka kehidupan akan menjadi damai, tenang dan tidak mudah untuk cepat berasa marah kepada orang lain.

Bantulah diriku ini Ya Allah dalam segala urusanku. Berikanlah ketenangan hati dan fikiranku Ya Quddus Yang Maha Suci.

Jadikanlah diriku insan yang sentiasa bergantung kepadaMu Ya Quddus agar diriku akan sentiasa kuat mental, fizikal dan rohaniku...aku amat bersyukur dengan nikmat yang Engkau anugerahi kepada diriku....Bantulah dan pimpinlah diriku ke arah jalan yang Engkau redhai ya Allah...Hanya kepadaMu diriku berserah dan hanya kepadaMu tempat ku memohon pertolongan....Ampunilah Ya Allah atas segala kesalahan dan dosa yang aku lakukan. Ampunilah jua Ya Allah segala dosa dan kesalahan kedua-dua ayahanda dan bondaku yang tercinta dan rahmatilah mereka berdua serta lindungilah mereka dari segala bahaya sepertimana mereka telah mendidik dan menjagaku ketika aku kecil Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.

Terima kasih Ya Rabb...

-27 Muharam 1434H-

Wednesday, December 5, 2012

Sebiru Hari Ini


Sebiru hari ini
Birunya bagai langi terang-benderang
Sebiru hari kita
Bersama di sini

Seindah hari ini
Indahnya bak permaidani taman syurga
Seindah hati kita
Walau kita kan terpisah

Bukankah hati kita telah lama menyatu
Dalam tali kisah persahabatan Ilahi
Pegang erat tangan kita terakhir kalinya
Hapus air mata meski kita kan terpisah

Selamat jalan teman
Tetaplah berjuang
Semoga kita bertemu kembali
Kenang masa indah kita
Sebiru hari ini

Jadikanlah pertemuan dan perpisahan kami ini adalah keranaMu Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim... Kami bertemu tak jemu dan kami berpisah tidak gelisah kerana kami yakin dan kami percaya segala aturan dan ketentuanMu adalah yang terbaik dari sisiMu.

Semoga kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat sana. "Orang yang berjaya adalah orang yang dapat meletakkan landasan yang kuat dengan al-Malik yang dilemparkan oleh al-Malik kepadanya".

--------************-----------*****---
"Ya Allah Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Malik, Ya Quddus Yang Maha Suci, bersihkanlah hati dan fikiranku daripada memikirkan hal-hal yang Engkau benci. Masukkan perkara-perkara yang positif dalam hati dan fikiranku supaya hidupku tenteram dan damai dalam kesucian-Mu"

------***********------------*********---

-23 Muharam 1434H-




Monday, December 3, 2012

Transform Minda#01

Alhamdulillah, bersyukur diriku atas segala nikmat ihsan, iman dan islam yang Engkau anugerahkan kepada diri ini. Pelbagai ilmu telah diajari oleh Yang Maha Mengetahui kepada diri ini setiap saat dan setiap ketika. Terima kasih Ya Allah Yang Maha Mengaturkan dan Merancang setiap apa yang berlaku ke atas diriku. Itulah juga qada dan qadar dariMu Ya Rabb. Berikanlah diriku ini ketenangan dan kelapangan dalam menjalani kehidupan di duniaMu yang fana ini untuk membawa bekalan untuk dibawa pulang ke negeri yang abadi.

"Menjalani kehidupan bukannya semudah yang difikirkan atau yang dapat dibayangkan di minda kita. Hakikatnya, kehidupan ini bukanlah suatu bayangan.

Kehidupan adalah bagaimana kita menyediakan diri untuk mengharunginya. Ianya penuh liku, namun sebaliknya adalah kemanisan.

Itulah tugas hidup di dunia ini. Islam menjadi panduan, akal menjadi sempadan kemuliaan dan kehinaan. Berusahalah agar kita tidak terperangkap dan terpedaya dengan keasyikan dunia yang melemahkan". (Prof. Dr. Muhaya Mohamad)

Renungilah setiap nikmat dalam kehidupan.

Setiap manusia wajib mensyukuri segala nikmat pemberian Allah s.w.t terhadap dirinya. Ini termasuklah mensyukuri rezeki pendapatan yang kita terima hasil daripada usaha dan pekerjaan yang telah kita lakukan. Jangan berdukacita denga  jumlah pendapatan yang kita perolehi sekalipun jumlahnya sedikit sebaliknya, sentiasalah memanjatkan kesyukuran terhadap Allah dan berdoalah kepadaNya mudah-mudahan pintu rezeki kita dibukakan oleh Yang Maha Pemberi Rezeki kepada kita. Bagaimana untuk diri kita menguruskan kehidupan yang mencabar ini dengan berpendapatan yang bagi diri kita hanya cukup-cukup makan? Diriku ini insaf dan sedar Ya Allah, yang mencukupkan rezeki itu adalah Engkau. Yang memberi keberkatan dalam rezeki itu adalah dari Engkau jua. Arwah ayah dan bonda banyak mengajar diriku agar sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang kita ada. Walaupun, arwah ayah dan bonda tidak mempunyai pendapatan tetap, hanya menjalankan kerja-kerja kampung sahaja, namun atas keyakinan mereka kepadaMu Ya Allah Yang Maha Pemberi Rezeki, tidak pernah kami merasakan tidak cukup dalam kami menjalani kehidupan ini. Kami sentiasa gembira dan bahagia, dan tak pernah sekalipun arwah ayah merungut tidak cukup duit. Subhanallah, besarnya nikmatMu kepada kami, sedangkan kami sentiasa lalai dan alpa.

Ya Allah, jadikanlah diriku ini sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Engkau anugerahi kepada diriku. Redhakanlah diriku dalam menjalani ujian yang mendatang, kerana aku yakin dan aku percaya, Engkau sentiasa ada menghulurkan bantuan kepadaku.

-->Jadikanlah diriku ini insan yang sentiasa meyakini bahawa setiap rezeki yang diperolehi itu adalah hasil kurniaan Allah s.w.t dan tidak ada satu kuasa pun yang mampu menghalang sekiranya rezeki tersebut sememangnya telah ditetapkan okeh Allah. Aku yakin dan percaya Ya Allah bahawa rezeki tersangat luas dan melimpah-ruah serta tidak akan habis.

--> Jadikanlah diriku pekerja dan pelajar yang sentiasa menjalankan tanggungjawab dalam pekerjaan dengan penuh ikhlas dan amanah. Diriku akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas diriku dengan rasa ikhlas keranaMu Ya Allah. Sentiasa membetulkan niat tulus ikhlas hanya untuk mencari keredhaanMu Ya Rabb.

--> Jadikanlah diriku ini insan yang meyakini bahawa Allah s.w.t Maha Mengetahui akan setiap sesuatu yang hambaNya kerjakan serta Allah s.w.t tidak pernah memungkiri janjiNya.

Jangan pernah rasa risau dan gusar dengan hasil pendapatan yang akan kita perolehi. Apa yang penting, rezeki yang Allah anugerahi kepada kita adalah rezeki yang berkat lagi diredhai malah Allah s.w.t akan sentiasa mencukupkan keperluan kita bahkan akan menambahkan lagi sumber rezeki kita. Sentiasalah bersyukur dan berterima kasih atas nikmat pemberian Allah s.w.t agar dapat memberikan rasa puas dan rasa kerdil dan lemahnya kita sebagai manusia. Lakukanlah ibadah dan pekerjaan kita dengan penuh keikhlasan dengan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. Jadikanlah ibadah yang dilakukan itu sebagai motivasi diri untuk terus mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

Muhasabahlah diri, renungkanlah nasib diri dan lihat kehidupan kita sekarang. Segala sesuatu yang kita perolehi sekarang adalah hasil daripada ketulusan pemikiran kita sebelum ini.

Kehidupan dibentuk oleh pemikiran kita. Apa yang kita kecapi dan nikmat sekarang adalah hasil daripada apa yang kita fikir, apa yang kita rasa dan apa yang kita telah lakukan. Dunia dalaman kita itulah yang akan membentuk dunia luaran kita. Dunia dalaman ialah pemikiran, emosi dan tindak balas kita. Manakala dunia luaran pula adalah kesihatan, intelektual, kerohanian, hubungan dengan manusia dan kewangan. Apabila kita berfikiran positif, maka hasil kehidupan kita adalah hasil yang positif dan baik.

#01. Berikanlah teguran secara berhemah.

Sentiasa memastikan 'akaun emosi' iaitu perasaan dan fikiran kita tenang apabila kita ingin memberi teguran. Tegurlah secara berhemah agar teguran kita dapat diterima dan hati yang menerima teguran itu tidak memberontak.

#02. Berfikir dan menerima secara positif.

@ Berterima kasih kepada orang yang menyakiti hati kita kerana dialah yang membuatkan kita rasa tabah. Apabila orang sakitkan hati kita dengan tidak bertegur sapa, maka kita patut bersyukur kerana sikapnya mengajar kita erti ketabahan...

@ Berterima kasih kepada orang yang pernah menipu kita kerana dialah yang meningkatkan pengetahuan kita supaya lebih berwaspada di lain masa.

@ Berterima kasih kepada orang yang tidak mengendahkan diri kita kerana dialah yang memupuk diri dan jiwa kita untuk lebih berdikari.

Pupuklah rasa bahagia dengan berfikiran positif. Apabila kita fokus untuk mencari keredhaan Allah, jika tiada ramai kawan sekalipun kita tidak akan berasa tertekan kerana kita yakin dan percaya cukuplah Allah s.w.t bersama kita.

#03. Hati dan jiwa yang bersih menghasilkan pemikiran positif.

Jangan selalu menyalahkan orang lain dan sentiasa menganggap diri kita bajet bagus.

#04. Hadapi orang di sekeliling kita dengan bersikap sederhana dan rendah hati.

Jangan sesekali menyalahkan orang lain dan bajet diri nie bagus sangat. Sebenarnya diri kita tiada apa-apa pun. Semuanya itu adalah milik Allah, tiada satupun yang kita punya. Jadi, kenapa perlunya kita nak bajet bagus.

Jadikanlah dunia dalaman kita yang suci dan tulus bersih ini supaya dapat membentuk dunia luaran agar beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mohonlah pada Ya Allah Ya Quddus Yang Maha Suci agar mengurniakan kita dunia dalaman yang bersih dan suci yang sentiasa menyerah diri padaNya.

#05. Jangan sesekali menyalahkan diri sendiri.

Jika tidak mahu merasai nikmat bahagia, amalkanlah 3M iaitu; Menyesal, Merungut, dan Mengeluh.

Apabila sesuatu perkara sudah berlaku, itu adalah qada' dan qadar Allah, maka kita perlu redha menghadapinya. Apabila seseorang itu bebas daripada penghargaan manusia dan hanya mencari keredhaan Allah s.w.t maka dia akan tenang di dunia dan akhirat.

Jika amalan itu dilakukan untuk mencari penghargaan manusia, maka akan mudah berasa kecewa dan menyesal apabila tidak mendapat penghargaan sewajarnya dari manusia. Sebaliknya, jika kita melakukan kerana Allah s.w.t ketahuilah bahawa Allah s.w.t tidak akan menganiaya hamba-hamba yang taat kepadaNya dan Dia akan memberi ganjaran yang berlipat ganda.

Oleh sebab itu, sentiasalah bersikap positif dan lakukan semua perkara kerana Allah s.w.t. Carilah redha Allah dan bukannya redha manusia. Sentiasa mengatakan hari esok adalah lebih baij dari hari ini. Ketahuilah tujuan kita dihidupkan di dunia ini dan lakukan segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

***Renunglah diri kita sendiri. Apa yang kita inginkan dalam kehidupan yang hanya sementara ini? Adakah dunia ini hanya untuk kita berseronok-seronok atau untuk kita mencari sebanyak mungkin keredhaan Allah s.w.t? Ketahuilah, kesenangan dunia itu hanyalah sedikit dan akhirat itu lebih baik bagi orang yanh mengabdikan jiwa dan raganya kepada Allah s.w.t.***

-Masa lalu adalah renungan teladan untuk melayari kehidupan seterusnya.-

-20 Muharam 1434H-

Rujukan:

Bab 7: Renungilah Setiap Nikmat Dalam Kehidupan. Bahagia dan Membahagiakan: Kaedah Transformasi Minda, Prof.Dr.Muhaya Mohamad (2012).



Sunday, December 2, 2012

YA WADUD Yang Maha Mencintai

RELA BERKORBAN

Al-Wadud membawa erti cinta dan harapan. Ia adalah kelapangan dada dan kekosongan jiwa daripada kehendak yang buruk. Al-Wadud juga membawa makna cinta, tetapi bukan cinta biasa. Cinta yang dimaksudkan adalah cinta yang kelihatan dalam sikap dan perlakuan seperti kepatuhan yang terhasil daripada rasa kagum kepada seseorang.

Sebagai hamba Allah yang memahami dan menghayati nama Allah ini, marilah kita berikrar mencintai Allah dan sebagai buktinya, kita perlu rela berkorban menolong hamba-hamba Allah semata-mata didorong oleh semangat cinta Allah. Kita tidak rela mengecewakan Allah kerana besarnya cinta kepada Allah dan dengan itu, marilah kita menempatkan diri sebagai instrumen kasih Allah.

"YA ALLAH, YA WADUD, YANG MAHA MENCINTAI, tumbuhkanlah rasa cinta dalam diriku iaitu cinta yang melahirkan kekuatan berkorban, kekuatan membahagiakan orang lain dan kekuatan bagi menolong hamba-hambaMu"

-20 Muharram 1434H-



Suci Sekeping Hati

Dengan namaMu Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji kepadaMu Ya Allah yang memberikan nikmat ihsan, iman dan islam kepada diriku. Selawat dan salam kepada nabi dan rasul sepanjang zaman, Nabi Muhammad S.A.W.

Vitamin untuk Jiwa: ar-Rahman dan ar-Rahim.

Adakah kita sudah bersarapan pagi? Mungkin sarapan untuk fizikal, tidak pernah kita lupakan, tetapi bagaimana pula dengan sarapan untuk jiwa kita. Selalunya, kita terlupa dan alpa dengan sarapan untuk jiwa dan hati nurani  kan... Kadang-kadang, kita terasa sangat sedih dan hati tidak tenang, tetapi akal kita sendiri tidak tahu kenapa hal itu berlaku. Jadi kepada siapa kita perlu rujukkan hati itu jika bukan kepada pemilik hati nurani itu iaitu Ya Allah Ya Malik Yang Maha Memiliki.

Adakah kita pernah terfikir, ketenangan hati itu adalah anugerah dari Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada diri kita. Jadi, sekiranya ketenangan itu diambil semula olehNya, kita perlu tanyakan kembali kepadaNya kerana hanya Dia Yang Maha Tahu.

Sifat ar-Rahman Allah jua adalah yang bermaksud 'zat yang menutup ataupun merahsiakan dosa-dosa hambaNya di dunia' dan ar-Rahim pula adalah 'zat yang mengampunkan dosa-dosa hambaNya di akhirat'. (Mahmud Sami)

Sifat ar-Rahman juga bermaksud, Allah memberi kepada hamba-hambaNya yang memohon daripadaNya. Sementara ar-Rahim pula bermaksud, Allah marah apabila hamba-hambaNya tidak mahu memohon daripadaNya. (Abdullah ibn Mubarak)

Sifat ar-Rahman jua bermakna 'melenyapkan kesulitan' dan ar-Rahim bermakna 'mengampunkan dosa'. (As-Suda)

Kemahuan berperanan besar dalam jiwa manusia. Allah seolah-olah sengaja menanamkan hasrat-hasrat yang tidak terpenuhi dalam hati kita supaya hati kita dapat bertahan dan melampaui kemampuannya. Ketahanan seperti itu diperlukan dalam jiwa. Sebenarnya kita tidak tahu perihal jiwa, meskipun ada orang yang cuba memahaminya. Namun usaha itu umpama perlawanan yang memedihkan hati iaitu perlawanan menentang kehidupan yang didambakan oleh jiwa. (Alan Jones)

Sebelum berangkat ke tempat kerja atau tempat belajar, bina batin, hati, jiwa, fikiran, dan wawasan kita. Penuhkan diri dengan kasih sayang. Hilangkan sifat-sifat yang berlawanan dengan kasih sayang dalam jiwa kita. Pejamkan mata, tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan keluar sifat-sifat kebencian dan permusuhan dalam diri kita. Lakukannya berulang-ulang bagi membina jiwa kita.

Kekuatan kasih Allah menciptakan kemungkinan-kemungkinan yang tidak terbatas dan kita memiliki kekuatan bagi memperoleh yang terbaik dari kemungkinan-kemungkinan itu dalam kehidupan kita. Oleh sebab itu, tanamkan dalam jiwa, dalam minda dan dalam qalbu kita, di mana kita berada, di situ juga Allah berada. Ini bererti di mana sahaja dan pada bila-bila masa, kita merasakan kasih Allah kerana kasih Allah itu ada di seluruh alam ini.

Betapa pentingnya ar-Rahman dan ar-Rahim Allah sebagai sumber kekuatan ataupun vitamin untuk jiwa yang gersang daripada perasaan kasih kepada sesama manusia. Orang yang mengikat jiwanya hanya kepada Allah, kepada Ya Rahman dan Ya Rahim, tidak mungkin ada perasaan benci.

Setiap perkataan mereka mengeluarkan mutiara-mutiara kasih. Setiap tatapan mata mereka memancarkan kasih. Gerakan kaki dan tangan mereka membantu sesama manusia atas dasar kasih, tanpa mengharapkan balasan. Dalam hati mereka hanya berisi kasih sayang dan oleh sebab itu, mereka berasa bahagia.

Jadilah insan yang selalu memberi, kerana disitulah anda anda memperolehi bahagia.
Berikanlah Vitamin Kasih Sayang Kita kepada sesama makhluk. Ini kerana kasih sayang itu mampu menaklukkan manusia yang keras, walaupun sekeras singa.

Adakah kita sedar, apabila kita mengakhiri solat, kita akan mengucapkan salam dan menoleh ke kanan dan ke kiri. Kita mengulang ucapan ini selama 5 kali dalam sehari semalam belum lagi ditambah dengan solat-solat sunat.
Disitulah kita telah menyebarkan vitamin kasih sayang tanpa kita sedari. Maka, selepas ini, sedarkanlah diri ketika melakukan solat dan segala pekerjaan kita dimulai dengan kalimah Basmalah...Dengan namaMu Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang....kerana Dia Ya Rahman Ya Rahim sentiasa ada.

"Orang yang memiliki sifat kasih, mereka juga dikasihi Allah Yang Maha Pengasih. Kasihi makhluk yang ada di bumi, nescaya makhluk yang ada di langit mengasihi kamu".

Imam al-Ghazali menerangkan, manusia yang memiliki sifat ar-Rahman adalah manusia yang menunjukkan kasih sayang dan cintanya kepada orang yang lalai dengan mengajak mereka mematuhi Allah melalui teguran ataupun nasihat. Mereka melakukannya dengan kelembutan, bukan dengan kekasaran. Mereka memandang dengan mata yang jernih, bukan dengan mata yang menghina. Mereka memandang setiap kederhakaan yang berlaku di dunia ini sebagai kederhakaan mereka sendiri dan mereka berusaha sebaik mungkin bagi menghapuskannya. Mereka mencurahkan kasih sayang kepada orang yang lalai supaya mereka terselamat daripada kemurkaan Allah.

Hayatilah sifat ar-Rahman dalam kehidupan kita sendiri sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Latihlah diri secara intensif sehingga sifat itu benar-benar tertanam dalam hati, fikiran dan jiwa kita. Selepas itu, tekadlah untuk menyebarkannya.

Jadikanlah kata-kata di bawah ini sebagai ikrar diri kita setiap hari untuk menyebarkan vitamin jiwa kepada diri sendiri dan makhluk yang berada di sekeliling kita.

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM...
jadikanlah diriku instrumen kasihMu,
Di mana ada kebencian, biarkan aku menyebar cinta.
Di mana ada hati terluka, biarkan aku menjadi penghibur.
Di mana ada keraguan, biarkan aku menyebar keyakinan.
Di mana ada keputusasaan, biarkan aku menyebar harapan.
Di mana ada kesedihan, biarkan aku memberi kebahagiaan.
Di mana ada kegelapan, biarkan aku memberi cahaya.

Latihlah diri dengan Prinsip ar-Rahman dan ar-Rahim secara bersungguh-sungguh pada setiap saat dan setiap kesempatan. Segala apa yang tidak kita berikan pasti hilang. Didiklah diri kita agar sentiasa memberi. Kita perlu berusaha menyebarkan kasih sayang. Jangan tunggu lagi, lakukan sekarang dan kita pasti merasakan hasilnya.

Terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas penulisan Sulaiman al-Kumayi dalam bukunya Menjadi Wanita Super dengan Asmaul Husna. Dengan izinMu Ya Allah, jadikanlah diriku wanita super yang hebat menjadikan 99 namaMu yang indah Ya Allah sebagai hiasan hidupku, lahir dan batin.

-19 Muharram 1434H-



Saturday, December 1, 2012

Ya Allah Yang Maha Kaya

Alhamdulillah, diriku bersyukur dengan segala rahmat dan nikmat yang Engkau anugerahkan kepadaku sehingga saat dan tika ini. Majalah Al Khusyu' Membangun Peradaban Silaturahmi yang pemimpin redaksinya ialah Ustaz Abu Sangkan. Diri ini ingin sangat bertemu dengan insan yang sentiasa ingin mendidik insan lain agar mendapatkan nikmat khusyu' dalam solat. Allah telah mentakdirkan diriku untuk dapat memiliki majalah al-khusyu' edisi 4 ini, salah satu topik menarik yang diberi pencerahan ialah Kaya Bersama Allah, Langkah Pasti Menjadi Kaya, Sukses dan Kaya Bersama Allah, Psikologi Sedekah: Tips Praktis Meraih Bahagia.

"Janji Allah pasti benar, jika bertaqwa kepada Allah rezeki pasti datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang menggantungkan total atau tawakkal kepada Allah, maka Allah akan memenuhi keperluannya dengan segera".

Allah Maha Kaya tetapi kita tidak mahu bersamaNya untuk mendapatkan kekayaan. Allah Maha Kuat tetapi kita tidak mahu bersamaNya untuk berlindung. Allah Maha Pemberi petunjuk tetapi kita tidak pernah mendapatkan petunjukNya. Allah Maha Penguasa tetapi kita tidak pernah bermohon dengan kekuasaanNya. Dan Allah Maha Pengasih dan Penyayang tetapi kita tidak pernah memohon kasih sayang dan kebahagiaan daripadaNya. Allah bersama kita tetapi kita tidak mahu bersamaNya.

Tetapi ada yang berkata, saya sudah lakukan usaha itu tetapi belum mendapatkan yang saya harapkan. Kami sudah pasrah, tetapi belum mendapatkan petunjuk dan pertolongan dari Allah. Apa yang salah dalam sikap saya ini?

KESALAHAN PERTAMA;
Kita tidak tahu bagaimana menangkap petunjuk dari Allah Yang Maha Ghaib. Kita harus belajar mengenai bagaimana Allah menurunkan petunjuk kepada manusia, iaitu melalui ilham dan muhaddast. Jika tidak mampu, yakinilah Allah Yang Maha Mendengar dan tunggu hasilNya.

KESALAHAN KEDUA;
Kita tidak meyakini bahawa al-Quran merupakan firman Allah atau Kalamallah yang banyak menjanjikan kepastian dan kebenaran. Dan janji Allah tidak pernah dusta. Kita hanya disuruh percaya dan mengimani setiap perkataan Allah adalah benar. Akan tetapi kita kerap menanyakan dengan penuh keraguan dan tidak sabar. Adakah kita boleh dikatakan orang yang beriman yang beriman dengan sebenarnya. Dengan meyakini rezeki dan pertolongan Allah pasti datang.

Allah adalah Wujud yang Nyata dan Hidup serta benar-benar boleh diajak berkomunikasi. Maka, sentiasalah berkomunikasi denganNya dan meminta izin dariNya terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa perkara sekalipun. Berkomunikasilah denganNya memohon petunjuk, memohon perlindungan, memohon rezeki dan apa-apa sahaja yang diinginkan. Kerana Allah itu Ada, setiap apa yang dikatakan dan dipohon kepadaNya, pasti mendapat jawapan.

Kita pasti kaya, jika harta yang diperolehi diniatkan untuk ummah dan perjuangan dakwah. Jika harta yang diniatkan hanya untuk bersenang-senang dan kepentingan peribadi, maka tidak mungkin Allah memberikannya dengan penuh berkah. Kecuali hanya untuk menyiksa dirinya dan keluarga sebagai cubaan yang akan mendera kehidupannya.

"Dengan namaMu Ya Allah aku mewakilkan segala urusanku kepadaMu. Tidak ada daya dan upaya kecuali bersama Engkau Ya Allah".

Jom kita amalkan sikap bersama Allah untuk menjadi orang kaya, agar setiap langkah diwakili oleh Allah dan kekuatanNya yang luar biasa. Tetapi syarat yang harus dipenuhi, untuk apa menjadi orang kaya. Apakah untuk kesenangan hawa nafsu atau untuk perjuangan dakwah Islam. Dahulukan kepentingan Allah dan agamaNya, maka kita akan mendapatkan pahala yang melimpah di dunia dan di akhirat serta kebahagiaan.

-Bahagia dan Membahagiakan-

Wallahu a'lam...

Reality vs Expectations

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Alim Yang Maha Mengetahui kerana dengan limpah kurniaMu dan rahmatMu, Engkau anugerahi diriku dengan nikmat ihsan, iman dan islam. Syukur diriku atas anugerah dan ilmu yang Engkau ajariku pada saat dan tika ini.

Diriku ini yakin dan percaya setiap saat dan ketika, Engkau pasti mengajariku tentang perkara baru yang tidak aku ketahui. Maklumat dan info yang aku terima, sentiasa Engkau ajarkan kepadaku, agar diriku mendapat ilmu yang bermanfaat yang dapat diriku aplikasikan dalam kehidupan.

Allah telah mengaturkan diriku untuk turut serta menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia dalam AFF Suzuki Cup 2012 di kaca televisyen bersama-sama peminat bola sepak yang lain. Adalah pengalaman yang baru buat diriku untuk menjadi penonton perlawanan bola sepak itu. Aku bermohon kepadaMu Ya Allah Yang Maha Tahu agar menganugerahkan kepadaku ilmu baru tentang arena bola sepak. Aku menjadi seorang penonton yang serba tidak tahu, tapi aku ingin belajar Ya Allah Ya Alim Yang Maha Cerdik dan Pintar. Maka, aku telah sediakan diriku menjadi bekas untuk mengisi segala ilmu yang akan aku dapat hasil dari tontonan ini. Diriku cuba untuk masuk dalam dunia baru yang aku sendiri tidak tahu akannya. Semenjak kecil, aku tidak berminat menjadi penonton perlawanan bola sepak, namun aku terpaksa menjadi penonton kerana aku tiada pilihan untuk menjadi penonton rancangan lain. Aku adalah minoriti manakala arwah ayah dan abang-abang adalah majoriti untuk menjadi penonton bola sepak itu. Diri ini termotivasi juga akhirnya untuk menghadirkan diri sebagai penonton perlawanan bola sepak pada malam tadi, dengan suntikan dan vitamin jiwa dariMu Ya Rabb serta kata-kata dari rakan yang baru aku kenali. Sebelum melakukan apa-apa, tanyakan pada Allah terlebih dahulu.

Cerita ini ingin aku kongsikan bersama, kerana telah menjadi pendorong kepadaku untuk melakukan sesuatu yang baru bagiku. Ada seorang ibu yang mempunyai 5 orang anak lelaki yang sedang meningkat dewasa. Beliau cuba belajar dan masuk dalam dunia anak-anak lelakinya, jika anak-anak suka menonton rancangan bola, beliau juga akan menonton walaupun beliau suka rancangan masakan. Beliau cuba meraikan anak-anaknya. Jika anak-anak ingin berjalan dan melepak, beliau juga akan ikut serta anak-anaknya. Beliau cuba untuk membuatkan dirinya dan anak-anak tidak ada jurang pemisah. Apabila beliau menghormati hak anak-anaknya, maka dengan senang hati dan berlapang dada, anak-anak juga akan menghormati haknya sebagai seorang ibu. Seronok kan....

Suatu ketika situasi di rumah abangku, pernah terlafaz dari mulut anak saudaraku kepada ibunya, kalau kita nak orang lain hormat kita, kita perlu hormat orang lain juga.

Situasi yang kedua pula, aku jadi terkesima ketika cucu saudaraku mengatakan kepada ibunya; ibu balik rumah ya, buatkan susu Husna, hantarkan ke rumah uwan@nenek, Husna nak bermain di rumah uwan, malam nanti suruh abah ambil Husna di rumah uwan. Seperti tidak menyangka kanak-kanak yang baru berusia 3 tahun mampu memberi arahan kepada ibu dan ayahnya.

Situasi yang ketiga pula, kita akan bercakap sepertimana yang kita biasa lihat apa yang ayah dan ibu kita lakukan. Ada ketikanya, si ibu akan merasai apa yang anaknya cakap adalah seperti yang dia sering lakukan. Ini adalah kerana perkara yang dilihat secara berulang-ulang akan mudah diingat dalam minda kanak-kanak tersebut.

Terlalu banyak perkara yang Allah Yang Maha Tahu ajari diriku agar sentiasa berserah diri secara total kepadaNya. Yang paling penting dan utama adalah berusaha melakukan yang terbaik. Berdoa, berusaha, berikhtiar, dan bertawakal hanya kepadaNya. Adakalanya, sesuatu perkara itu kita rasanya baik bagi kita, namun tidak pada Yang Maha Pencipta. Ada juga perkara itu buruk bagi kita, namun adalah baik pada Ya Allah Ya Khaliq. Setelah bersungguh-sungguh dalam berusaha, kita serahkan keputusannya kepada Yang Maha Tahu. Redha dengan segala ketentuan qada dan qadar dari Yang Maha Perancang. Jiwa akan menjadi tenang dan bahagia apabila melalui hari-hari mendatang dengan sentiasa berkomunikasi dengan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, sentiasa bertawakal kepadaNya, tiada daya dan upaya untuk kita melakukan sesuatu kecuali dengan izin dariNya jua. DariNya kita datang, kepadaNya jua kita akan dikembalikan.

NEVER...LOSE...HOPE...
cause ALLAH is always by your side

-22 Muharam 1434H-