Dengan namaMu Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji kepadaMu Ya Allah yang memberikan nikmat ihsan, iman dan islam kepada diriku. Selawat dan salam kepada nabi dan rasul sepanjang zaman, Nabi Muhammad S.A.W.
Vitamin untuk Jiwa: ar-Rahman dan ar-Rahim.
Adakah kita sudah bersarapan pagi? Mungkin sarapan untuk fizikal, tidak pernah kita lupakan, tetapi bagaimana pula dengan sarapan untuk jiwa kita. Selalunya, kita terlupa dan alpa dengan sarapan untuk jiwa dan hati nurani kan... Kadang-kadang, kita terasa sangat sedih dan hati tidak tenang, tetapi akal kita sendiri tidak tahu kenapa hal itu berlaku. Jadi kepada siapa kita perlu rujukkan hati itu jika bukan kepada pemilik hati nurani itu iaitu Ya Allah Ya Malik Yang Maha Memiliki.
Adakah kita pernah terfikir, ketenangan hati itu adalah anugerah dari Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada diri kita. Jadi, sekiranya ketenangan itu diambil semula olehNya, kita perlu tanyakan kembali kepadaNya kerana hanya Dia Yang Maha Tahu.
Sifat ar-Rahman Allah jua adalah yang bermaksud 'zat yang menutup ataupun merahsiakan dosa-dosa hambaNya di dunia' dan ar-Rahim pula adalah 'zat yang mengampunkan dosa-dosa hambaNya di akhirat'. (Mahmud Sami)
Sifat ar-Rahman juga bermaksud, Allah memberi kepada hamba-hambaNya yang memohon daripadaNya. Sementara ar-Rahim pula bermaksud, Allah marah apabila hamba-hambaNya tidak mahu memohon daripadaNya. (Abdullah ibn Mubarak)
Sifat ar-Rahman jua bermakna 'melenyapkan kesulitan' dan ar-Rahim bermakna 'mengampunkan dosa'. (As-Suda)
Kemahuan berperanan besar dalam jiwa manusia. Allah seolah-olah sengaja menanamkan hasrat-hasrat yang tidak terpenuhi dalam hati kita supaya hati kita dapat bertahan dan melampaui kemampuannya. Ketahanan seperti itu diperlukan dalam jiwa. Sebenarnya kita tidak tahu perihal jiwa, meskipun ada orang yang cuba memahaminya. Namun usaha itu umpama perlawanan yang memedihkan hati iaitu perlawanan menentang kehidupan yang didambakan oleh jiwa. (Alan Jones)
Sebelum berangkat ke tempat kerja atau tempat belajar, bina batin, hati, jiwa, fikiran, dan wawasan kita. Penuhkan diri dengan kasih sayang. Hilangkan sifat-sifat yang berlawanan dengan kasih sayang dalam jiwa kita. Pejamkan mata, tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan keluar sifat-sifat kebencian dan permusuhan dalam diri kita. Lakukannya berulang-ulang bagi membina jiwa kita.
Kekuatan kasih Allah menciptakan kemungkinan-kemungkinan yang tidak terbatas dan kita memiliki kekuatan bagi memperoleh yang terbaik dari kemungkinan-kemungkinan itu dalam kehidupan kita. Oleh sebab itu, tanamkan dalam jiwa, dalam minda dan dalam qalbu kita, di mana kita berada, di situ juga Allah berada. Ini bererti di mana sahaja dan pada bila-bila masa, kita merasakan kasih Allah kerana kasih Allah itu ada di seluruh alam ini.
Betapa pentingnya ar-Rahman dan ar-Rahim Allah sebagai sumber kekuatan ataupun vitamin untuk jiwa yang gersang daripada perasaan kasih kepada sesama manusia. Orang yang mengikat jiwanya hanya kepada Allah, kepada Ya Rahman dan Ya Rahim, tidak mungkin ada perasaan benci.
Setiap perkataan mereka mengeluarkan mutiara-mutiara kasih. Setiap tatapan mata mereka memancarkan kasih. Gerakan kaki dan tangan mereka membantu sesama manusia atas dasar kasih, tanpa mengharapkan balasan. Dalam hati mereka hanya berisi kasih sayang dan oleh sebab itu, mereka berasa bahagia.
Jadilah insan yang selalu memberi, kerana disitulah anda anda memperolehi bahagia.
Berikanlah Vitamin Kasih Sayang Kita kepada sesama makhluk. Ini kerana kasih sayang itu mampu menaklukkan manusia yang keras, walaupun sekeras singa.
Adakah kita sedar, apabila kita mengakhiri solat, kita akan mengucapkan salam dan menoleh ke kanan dan ke kiri. Kita mengulang ucapan ini selama 5 kali dalam sehari semalam belum lagi ditambah dengan solat-solat sunat.
Disitulah kita telah menyebarkan vitamin kasih sayang tanpa kita sedari. Maka, selepas ini, sedarkanlah diri ketika melakukan solat dan segala pekerjaan kita dimulai dengan kalimah Basmalah...Dengan namaMu Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang....kerana Dia Ya Rahman Ya Rahim sentiasa ada.
"Orang yang memiliki sifat kasih, mereka juga dikasihi Allah Yang Maha Pengasih. Kasihi makhluk yang ada di bumi, nescaya makhluk yang ada di langit mengasihi kamu".
Imam al-Ghazali menerangkan, manusia yang memiliki sifat ar-Rahman adalah manusia yang menunjukkan kasih sayang dan cintanya kepada orang yang lalai dengan mengajak mereka mematuhi Allah melalui teguran ataupun nasihat. Mereka melakukannya dengan kelembutan, bukan dengan kekasaran. Mereka memandang dengan mata yang jernih, bukan dengan mata yang menghina. Mereka memandang setiap kederhakaan yang berlaku di dunia ini sebagai kederhakaan mereka sendiri dan mereka berusaha sebaik mungkin bagi menghapuskannya. Mereka mencurahkan kasih sayang kepada orang yang lalai supaya mereka terselamat daripada kemurkaan Allah.
Hayatilah sifat ar-Rahman dalam kehidupan kita sendiri sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Latihlah diri secara intensif sehingga sifat itu benar-benar tertanam dalam hati, fikiran dan jiwa kita. Selepas itu, tekadlah untuk menyebarkannya.
Jadikanlah kata-kata di bawah ini sebagai ikrar diri kita setiap hari untuk menyebarkan vitamin jiwa kepada diri sendiri dan makhluk yang berada di sekeliling kita.
YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM...
jadikanlah diriku instrumen kasihMu,
Di mana ada kebencian, biarkan aku menyebar cinta.
Di mana ada hati terluka, biarkan aku menjadi penghibur.
Di mana ada keraguan, biarkan aku menyebar keyakinan.
Di mana ada keputusasaan, biarkan aku menyebar harapan.
Di mana ada kesedihan, biarkan aku memberi kebahagiaan.
Di mana ada kegelapan, biarkan aku memberi cahaya.
Latihlah diri dengan Prinsip ar-Rahman dan ar-Rahim secara bersungguh-sungguh pada setiap saat dan setiap kesempatan. Segala apa yang tidak kita berikan pasti hilang. Didiklah diri kita agar sentiasa memberi. Kita perlu berusaha menyebarkan kasih sayang. Jangan tunggu lagi, lakukan sekarang dan kita pasti merasakan hasilnya.
Terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas penulisan Sulaiman al-Kumayi dalam bukunya Menjadi Wanita Super dengan Asmaul Husna. Dengan izinMu Ya Allah, jadikanlah diriku wanita super yang hebat menjadikan 99 namaMu yang indah Ya Allah sebagai hiasan hidupku, lahir dan batin.
-19 Muharram 1434H-
No comments:
Post a Comment