Saturday, December 1, 2012

Reality vs Expectations

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Alim Yang Maha Mengetahui kerana dengan limpah kurniaMu dan rahmatMu, Engkau anugerahi diriku dengan nikmat ihsan, iman dan islam. Syukur diriku atas anugerah dan ilmu yang Engkau ajariku pada saat dan tika ini.

Diriku ini yakin dan percaya setiap saat dan ketika, Engkau pasti mengajariku tentang perkara baru yang tidak aku ketahui. Maklumat dan info yang aku terima, sentiasa Engkau ajarkan kepadaku, agar diriku mendapat ilmu yang bermanfaat yang dapat diriku aplikasikan dalam kehidupan.

Allah telah mengaturkan diriku untuk turut serta menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia dalam AFF Suzuki Cup 2012 di kaca televisyen bersama-sama peminat bola sepak yang lain. Adalah pengalaman yang baru buat diriku untuk menjadi penonton perlawanan bola sepak itu. Aku bermohon kepadaMu Ya Allah Yang Maha Tahu agar menganugerahkan kepadaku ilmu baru tentang arena bola sepak. Aku menjadi seorang penonton yang serba tidak tahu, tapi aku ingin belajar Ya Allah Ya Alim Yang Maha Cerdik dan Pintar. Maka, aku telah sediakan diriku menjadi bekas untuk mengisi segala ilmu yang akan aku dapat hasil dari tontonan ini. Diriku cuba untuk masuk dalam dunia baru yang aku sendiri tidak tahu akannya. Semenjak kecil, aku tidak berminat menjadi penonton perlawanan bola sepak, namun aku terpaksa menjadi penonton kerana aku tiada pilihan untuk menjadi penonton rancangan lain. Aku adalah minoriti manakala arwah ayah dan abang-abang adalah majoriti untuk menjadi penonton bola sepak itu. Diri ini termotivasi juga akhirnya untuk menghadirkan diri sebagai penonton perlawanan bola sepak pada malam tadi, dengan suntikan dan vitamin jiwa dariMu Ya Rabb serta kata-kata dari rakan yang baru aku kenali. Sebelum melakukan apa-apa, tanyakan pada Allah terlebih dahulu.

Cerita ini ingin aku kongsikan bersama, kerana telah menjadi pendorong kepadaku untuk melakukan sesuatu yang baru bagiku. Ada seorang ibu yang mempunyai 5 orang anak lelaki yang sedang meningkat dewasa. Beliau cuba belajar dan masuk dalam dunia anak-anak lelakinya, jika anak-anak suka menonton rancangan bola, beliau juga akan menonton walaupun beliau suka rancangan masakan. Beliau cuba meraikan anak-anaknya. Jika anak-anak ingin berjalan dan melepak, beliau juga akan ikut serta anak-anaknya. Beliau cuba untuk membuatkan dirinya dan anak-anak tidak ada jurang pemisah. Apabila beliau menghormati hak anak-anaknya, maka dengan senang hati dan berlapang dada, anak-anak juga akan menghormati haknya sebagai seorang ibu. Seronok kan....

Suatu ketika situasi di rumah abangku, pernah terlafaz dari mulut anak saudaraku kepada ibunya, kalau kita nak orang lain hormat kita, kita perlu hormat orang lain juga.

Situasi yang kedua pula, aku jadi terkesima ketika cucu saudaraku mengatakan kepada ibunya; ibu balik rumah ya, buatkan susu Husna, hantarkan ke rumah uwan@nenek, Husna nak bermain di rumah uwan, malam nanti suruh abah ambil Husna di rumah uwan. Seperti tidak menyangka kanak-kanak yang baru berusia 3 tahun mampu memberi arahan kepada ibu dan ayahnya.

Situasi yang ketiga pula, kita akan bercakap sepertimana yang kita biasa lihat apa yang ayah dan ibu kita lakukan. Ada ketikanya, si ibu akan merasai apa yang anaknya cakap adalah seperti yang dia sering lakukan. Ini adalah kerana perkara yang dilihat secara berulang-ulang akan mudah diingat dalam minda kanak-kanak tersebut.

Terlalu banyak perkara yang Allah Yang Maha Tahu ajari diriku agar sentiasa berserah diri secara total kepadaNya. Yang paling penting dan utama adalah berusaha melakukan yang terbaik. Berdoa, berusaha, berikhtiar, dan bertawakal hanya kepadaNya. Adakalanya, sesuatu perkara itu kita rasanya baik bagi kita, namun tidak pada Yang Maha Pencipta. Ada juga perkara itu buruk bagi kita, namun adalah baik pada Ya Allah Ya Khaliq. Setelah bersungguh-sungguh dalam berusaha, kita serahkan keputusannya kepada Yang Maha Tahu. Redha dengan segala ketentuan qada dan qadar dari Yang Maha Perancang. Jiwa akan menjadi tenang dan bahagia apabila melalui hari-hari mendatang dengan sentiasa berkomunikasi dengan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, sentiasa bertawakal kepadaNya, tiada daya dan upaya untuk kita melakukan sesuatu kecuali dengan izin dariNya jua. DariNya kita datang, kepadaNya jua kita akan dikembalikan.

NEVER...LOSE...HOPE...
cause ALLAH is always by your side

-22 Muharam 1434H-

No comments:

Post a Comment