Alhamdulillah, bersyukur diriku atas segala nikmat ihsan, iman dan islam yang Engkau anugerahkan kepada diri ini. Pelbagai ilmu telah diajari oleh Yang Maha Mengetahui kepada diri ini setiap saat dan setiap ketika. Terima kasih Ya Allah Yang Maha Mengaturkan dan Merancang setiap apa yang berlaku ke atas diriku. Itulah juga qada dan qadar dariMu Ya Rabb. Berikanlah diriku ini ketenangan dan kelapangan dalam menjalani kehidupan di duniaMu yang fana ini untuk membawa bekalan untuk dibawa pulang ke negeri yang abadi.
"Menjalani kehidupan bukannya semudah yang difikirkan atau yang dapat dibayangkan di minda kita. Hakikatnya, kehidupan ini bukanlah suatu bayangan.
Kehidupan adalah bagaimana kita menyediakan diri untuk mengharunginya. Ianya penuh liku, namun sebaliknya adalah kemanisan.
Itulah tugas hidup di dunia ini. Islam menjadi panduan, akal menjadi sempadan kemuliaan dan kehinaan. Berusahalah agar kita tidak terperangkap dan terpedaya dengan keasyikan dunia yang melemahkan". (Prof. Dr. Muhaya Mohamad)
Renungilah setiap nikmat dalam kehidupan.
Setiap manusia wajib mensyukuri segala nikmat pemberian Allah s.w.t terhadap dirinya. Ini termasuklah mensyukuri rezeki pendapatan yang kita terima hasil daripada usaha dan pekerjaan yang telah kita lakukan. Jangan berdukacita denga jumlah pendapatan yang kita perolehi sekalipun jumlahnya sedikit sebaliknya, sentiasalah memanjatkan kesyukuran terhadap Allah dan berdoalah kepadaNya mudah-mudahan pintu rezeki kita dibukakan oleh Yang Maha Pemberi Rezeki kepada kita. Bagaimana untuk diri kita menguruskan kehidupan yang mencabar ini dengan berpendapatan yang bagi diri kita hanya cukup-cukup makan? Diriku ini insaf dan sedar Ya Allah, yang mencukupkan rezeki itu adalah Engkau. Yang memberi keberkatan dalam rezeki itu adalah dari Engkau jua. Arwah ayah dan bonda banyak mengajar diriku agar sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang kita ada. Walaupun, arwah ayah dan bonda tidak mempunyai pendapatan tetap, hanya menjalankan kerja-kerja kampung sahaja, namun atas keyakinan mereka kepadaMu Ya Allah Yang Maha Pemberi Rezeki, tidak pernah kami merasakan tidak cukup dalam kami menjalani kehidupan ini. Kami sentiasa gembira dan bahagia, dan tak pernah sekalipun arwah ayah merungut tidak cukup duit. Subhanallah, besarnya nikmatMu kepada kami, sedangkan kami sentiasa lalai dan alpa.
Ya Allah, jadikanlah diriku ini sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Engkau anugerahi kepada diriku. Redhakanlah diriku dalam menjalani ujian yang mendatang, kerana aku yakin dan aku percaya, Engkau sentiasa ada menghulurkan bantuan kepadaku.
-->Jadikanlah diriku ini insan yang sentiasa meyakini bahawa setiap rezeki yang diperolehi itu adalah hasil kurniaan Allah s.w.t dan tidak ada satu kuasa pun yang mampu menghalang sekiranya rezeki tersebut sememangnya telah ditetapkan okeh Allah. Aku yakin dan percaya Ya Allah bahawa rezeki tersangat luas dan melimpah-ruah serta tidak akan habis.
--> Jadikanlah diriku pekerja dan pelajar yang sentiasa menjalankan tanggungjawab dalam pekerjaan dengan penuh ikhlas dan amanah. Diriku akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas diriku dengan rasa ikhlas keranaMu Ya Allah. Sentiasa membetulkan niat tulus ikhlas hanya untuk mencari keredhaanMu Ya Rabb.
--> Jadikanlah diriku ini insan yang meyakini bahawa Allah s.w.t Maha Mengetahui akan setiap sesuatu yang hambaNya kerjakan serta Allah s.w.t tidak pernah memungkiri janjiNya.
Jangan pernah rasa risau dan gusar dengan hasil pendapatan yang akan kita perolehi. Apa yang penting, rezeki yang Allah anugerahi kepada kita adalah rezeki yang berkat lagi diredhai malah Allah s.w.t akan sentiasa mencukupkan keperluan kita bahkan akan menambahkan lagi sumber rezeki kita. Sentiasalah bersyukur dan berterima kasih atas nikmat pemberian Allah s.w.t agar dapat memberikan rasa puas dan rasa kerdil dan lemahnya kita sebagai manusia. Lakukanlah ibadah dan pekerjaan kita dengan penuh keikhlasan dengan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. Jadikanlah ibadah yang dilakukan itu sebagai motivasi diri untuk terus mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.
Muhasabahlah diri, renungkanlah nasib diri dan lihat kehidupan kita sekarang. Segala sesuatu yang kita perolehi sekarang adalah hasil daripada ketulusan pemikiran kita sebelum ini.
Kehidupan dibentuk oleh pemikiran kita. Apa yang kita kecapi dan nikmat sekarang adalah hasil daripada apa yang kita fikir, apa yang kita rasa dan apa yang kita telah lakukan. Dunia dalaman kita itulah yang akan membentuk dunia luaran kita. Dunia dalaman ialah pemikiran, emosi dan tindak balas kita. Manakala dunia luaran pula adalah kesihatan, intelektual, kerohanian, hubungan dengan manusia dan kewangan. Apabila kita berfikiran positif, maka hasil kehidupan kita adalah hasil yang positif dan baik.
#01. Berikanlah teguran secara berhemah.
Sentiasa memastikan 'akaun emosi' iaitu perasaan dan fikiran kita tenang apabila kita ingin memberi teguran. Tegurlah secara berhemah agar teguran kita dapat diterima dan hati yang menerima teguran itu tidak memberontak.
#02. Berfikir dan menerima secara positif.
@ Berterima kasih kepada orang yang menyakiti hati kita kerana dialah yang membuatkan kita rasa tabah. Apabila orang sakitkan hati kita dengan tidak bertegur sapa, maka kita patut bersyukur kerana sikapnya mengajar kita erti ketabahan...
@ Berterima kasih kepada orang yang pernah menipu kita kerana dialah yang meningkatkan pengetahuan kita supaya lebih berwaspada di lain masa.
@ Berterima kasih kepada orang yang tidak mengendahkan diri kita kerana dialah yang memupuk diri dan jiwa kita untuk lebih berdikari.
Pupuklah rasa bahagia dengan berfikiran positif. Apabila kita fokus untuk mencari keredhaan Allah, jika tiada ramai kawan sekalipun kita tidak akan berasa tertekan kerana kita yakin dan percaya cukuplah Allah s.w.t bersama kita.
#03. Hati dan jiwa yang bersih menghasilkan pemikiran positif.
Jangan selalu menyalahkan orang lain dan sentiasa menganggap diri kita bajet bagus.
#04. Hadapi orang di sekeliling kita dengan bersikap sederhana dan rendah hati.
Jangan sesekali menyalahkan orang lain dan bajet diri nie bagus sangat. Sebenarnya diri kita tiada apa-apa pun. Semuanya itu adalah milik Allah, tiada satupun yang kita punya. Jadi, kenapa perlunya kita nak bajet bagus.
Jadikanlah dunia dalaman kita yang suci dan tulus bersih ini supaya dapat membentuk dunia luaran agar beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mohonlah pada Ya Allah Ya Quddus Yang Maha Suci agar mengurniakan kita dunia dalaman yang bersih dan suci yang sentiasa menyerah diri padaNya.
#05. Jangan sesekali menyalahkan diri sendiri.
Jika tidak mahu merasai nikmat bahagia, amalkanlah 3M iaitu; Menyesal, Merungut, dan Mengeluh.
Apabila sesuatu perkara sudah berlaku, itu adalah qada' dan qadar Allah, maka kita perlu redha menghadapinya. Apabila seseorang itu bebas daripada penghargaan manusia dan hanya mencari keredhaan Allah s.w.t maka dia akan tenang di dunia dan akhirat.
Jika amalan itu dilakukan untuk mencari penghargaan manusia, maka akan mudah berasa kecewa dan menyesal apabila tidak mendapat penghargaan sewajarnya dari manusia. Sebaliknya, jika kita melakukan kerana Allah s.w.t ketahuilah bahawa Allah s.w.t tidak akan menganiaya hamba-hamba yang taat kepadaNya dan Dia akan memberi ganjaran yang berlipat ganda.
Oleh sebab itu, sentiasalah bersikap positif dan lakukan semua perkara kerana Allah s.w.t. Carilah redha Allah dan bukannya redha manusia. Sentiasa mengatakan hari esok adalah lebih baij dari hari ini. Ketahuilah tujuan kita dihidupkan di dunia ini dan lakukan segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.
***Renunglah diri kita sendiri. Apa yang kita inginkan dalam kehidupan yang hanya sementara ini? Adakah dunia ini hanya untuk kita berseronok-seronok atau untuk kita mencari sebanyak mungkin keredhaan Allah s.w.t? Ketahuilah, kesenangan dunia itu hanyalah sedikit dan akhirat itu lebih baik bagi orang yanh mengabdikan jiwa dan raganya kepada Allah s.w.t.***
-Masa lalu adalah renungan teladan untuk melayari kehidupan seterusnya.-
-20 Muharam 1434H-
Rujukan:
Bab 7: Renungilah Setiap Nikmat Dalam Kehidupan. Bahagia dan Membahagiakan: Kaedah Transformasi Minda, Prof.Dr.Muhaya Mohamad (2012).
No comments:
Post a Comment