Tuesday, December 18, 2012

Ya Allah Ya Aziz Yang Maha Perkasa

Dimuliakan apabila hampir dengan Allah

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas nikmat dan anugerahMu ke atas diriku. Nikmat ihsan, iman dan islam yang terlalu agung Engkau kurniakan kepada diriku. Aku bersyukur dengan segala kurniaanMu Ya Allah.

Bagi yang mengambil peperiksaan PMR 2012, keputusan telah keluar pada hari ini 19 Disember 2012. Alhamdulillah, anak saudaraku mendapat keputusan PMR dengan 6A dan 2B. Itu bukanlah ukurannya tapi yang penting usaha yang telah ditunjukkan olehnya untuk meraih kejayaan seperti itu. Dalam kesibukan mengulangkaji pelajarannya, dia masih mampu bekerja membantu jirannya untuk menambah wang sakunya. Anak yang tidak pernah menyusahkan ayah dan ibunya. Pandai berdikari sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Dia akan menabung untuk membeli apa yang dihajatinya. Pernah suatu ketika dahulu, dia bertanya kepada ayahnya, kereta mainan mahal tak ayah? Gaji ayah berapa? Ayahnya menjawab gaji ayah cukup untuk menampung makan, minum, pakaian dan belanja sekolah along, angah dan adik-adik yang lain. Dia akur untuk tidak meminta untuk dibelikan kereta mainan. Ya Allah, bimbinglah anak saudaraku ini agar menjadi anak yang soleh yang dapat membantu ayah dan ibunya di dunia ini dan di akhirat sana nanti.

Ya Allah, di saat ini diriku amat merindui arwah ayahku. Aku cuba untuk membantu anak-anak saudaraku mengikut kemampuanku Ya Allah. Arwah ayah dan bonda tidak pernah berkira dengan anak-anak maupun cucu-cucunya sepanjang hayat ayah. Apa yang ayah termampu, dia akan bagi. Tidak pernah terlafaz dari mulutnya tak ada, tak boleh...Jika aku mendapat keputusan peperiksaan yang kurang baik, arwah ayah tak pernah memperlekehkan diriku. Ayah mesti cakap, takpe usaha lagi, anak ayah kan hebat. Sehinggalah ke saat ini, kekuatan semangat arwah ayah dan bonda menjadi pemangkin untuk diriku meneruskan perjuangan hidup ini.

Semangat dan sifat al-Aziz Allah ini juga adalah penguat semangat diri untuk terus berusaha dan terus berusaha. Allah Ya Aziz memiliki kedudukan yang mulia sehingga tidak mungkin Dia menjadi hina. Allah jauh daripada pemahaman manusia sehingga kita tidak dapat mencapaiNya. Allah adalah zat yang sempurna sehingga Dia tidak memerlukan sesuatu apa pun. Sebaliknya, Dia diperlukan oleh semua makhluk demi meneruskan hidup, sejak terciptanya dunia ini sehingga hari kiamat.

"Siapa yang menghendaki kemuliaan dunia dan akhirat, hendaklah dia taat kepada Ya Aziz."

Apabila seorang hamba mengenal Allah, dia tentu menghormatinya dan memuliakannya. Allah pula memandangnya dengan penuh kasih sayang dan memberikan rahmat kepada hambanya itu. Orang yang taat kepada Allah mendahulukan Allah dalam segala hal. Apabila hendak memulakan sesuatu pekerjaan, dia menyebut nama Allah terlebih dahulu. Dalam melaksanakan pekerjaannya itu, Allah sentiasa berada dalam jiwanya, dalam fikirannya dan dalam tingkah lakunya sehingga dia menjadi cermin akhlak Allah bagi seluruh makhluk yang ada di dunia ini.

"Ya Allah Ya Aziz, Engkau memberikan kekuatan kepada sesiapa sahaja yang Engkau kehendaki. Jadikanlah aku hambaMu yang semakin kukuh seiring bertambahnya usiaku."

-5 Safar 1434H-

No comments:

Post a Comment