Wednesday, May 8, 2013

2 Kalimah

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, 
Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, 
Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. 
Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.
Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala.
Iaitu Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala. 

Wahai SAYA Bin IBU SAYA,
wahai SAYA Bin IBU SAYA,
wahai SAYA Bin IBU SAYA, 
hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.
Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.
Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah,dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.
Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta jan ganlah kamu susah-hati dan terkejut. 
Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.
Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.
Mereka berkata:  
Siapakah Tuhan kamu? 
Siapakah Nabi kamu? 
Apakah agama kamu?
 Apakah kiblat kamu? 
Siapakah saudara kamu? 
Apakah pegangan iktikad kamu?
 Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu? 
 Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.  

Hendaklah kamu jawab begini: 
Allah Taala Tuhanku,
 Muhammad nabiku,
 Islam agamaku, 
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu kiblatku,
malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. 
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: 
"La ila ha illallah Muhammad dur rasulullah"

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar.
Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.
 Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar. 
Bahawasenya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur. 
Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.
Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu.
Tuhan jua yang menetapkan hati kamu.
Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini.
Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu. 
Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. 
Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati - "Kullu nafsin za iqatul maut"

Firman Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran."

Friday, March 1, 2013

Inspirasi 2013 # Run011

TETAP BERTAHAN DALAM APA SAHAJA KEADAAN

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Sabur Yang Maha Penyabar atas segala nikmat ihsan, iman dan islam yang Engkau anugerahi aku agar sentiasa sedar dan menyaksikan keEsaanMu.

"Berikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (2:155)

Menurut Hamka dalam Tafsir al-Azhar, kepahitan hidup yang kita hadapi dengan sabar nescaya dapat kita diatasi. Hanya dengan sabar, kita dapat mengatasi segalanya. Kehidupan bukan sesuatu yang beku. Apabila kita sabar menahan derita, kita selamat sampai ke seberang cita-cita. Tidak ada cita-cita yang tercapai tanpa pengorbanan dan kejayaan itu adalah milik orang yang sabar.

Allah sengaja memberikan ujian kepada hamba-hambaNya bagi mengetahui sejauh mana keteguhan iman kita. Terimalah musibah dan mensyukurinya. Walaupun musibah datang bertubi-tubi, sabarlah wahai diri, jangan mengeluh kerana yakin dan percayalah segala yang menimpa diri kita datang daripada Allah dan kelak kembali kepadaNya. Allah yang mendatangkan musibah dan Allah jua yang menyelesaikannya. Hadapilah segala ujian yang mendatang dengan terus mengharap dan memohon pertolongan Allah.

"Kamu mungkin membenci apa yang terjadi kepadamu padahal ia baik bagimu. Sebaliknya, kamu mungkin menyukai perkara yang buruk bagimu. Allah mengetahui segala perkara sedangkan kamu tidak mengetahui." (2:216)

"Orang yang ditimpa musibah itu tidak membesar-besarkan musibah yang menimpa mereka dengan meratap dan meraung. Mereka tidak membiarkan lidah mereka menjilat kenyataan pahit yang mereka alami. Mereka menerima kenyataan yang ditentukan dan kemudian mereka meninggalkan awan mendung yang menaungi mereka sehingga cubaan itu berubah menjadi anugerah. Lumpur dan tanah yang ada dalam penderitaan itu berubah menjadi bunga mawar yang berbau harum." (Syeikh Muhammad al-Ghazali)

Mungkin kesusahan yang kita alami adalah satu cara untuk kita menuju kebaikan tetapi kita tidak mengetahuinya. Apabila kita dapat menerimanya dengan baik, kita mampu menembusnya dan melihat masa hadapan yang lebih cerah. Oleh sebab itu, kesusahan dan penderitaan pada hakikatnya adalah tanah subur yang menumbuhkan benih-benih kebahagiaan sejati.

Terimalah kesusahan dan penderitaan sebagai kesempatan meraih kebahagiaan dan kejayaan. Hadapilah kehidupan ini dengan berlapang dada, mengambil manfaat daripada setiap kesusahan dan penderitaan.

"Sekiranya kita bersabar, tidak timbul masalah walaupun kita menghadapi musuh yang ramai dengan senjata yang lengkap. Senjata mereka itu tidak dapat mengancam kita. Kita mampu menghadapi malapetaka yang suram dengan tertawa dan melawan musibah yang gelap dengan tersenyum." (Aidh al-Qarni)

"Bersabarlah kerana Allah. Bersabarlah dengan keyakinan, jalan keluar selalu terbuka. Kesabaran kita tentu membawa kita ke tempat kembali yang baik dengan harapan mendapatkan pahala dan dengan niat mendapatkan keampunan. Bersabarlah walaupun masalah yang kita hadapi demikian gelap. Sesungguhnya kemenangan itu ada bersama dengan kesabaran dan jalan keluar itu ada bersama dengan kesusahan. Dalam setiap kesusahan, pasti ada kemudahan."
(Aidh al-Qarni)

Ibn Abbas, salah seorang sahabat nabi adalah insan contoh yang menerima takdir Allah itu dengan redha. Menjelang akhir hayatnya, beliau ditakdirkan menjadi buta. Beliau tidak pernah mengeluh. Beliau berkata,

"Sekiranya Allah mengambil cahaya daripada kedua-dua mataku, masih ada cahaya pada lisanku dan pendengaranku. Hatiku cerdas dan akalku tidak rosak dan mulutku tajam bagaikan pedang turun-temurun."

"Bagi orang yang sabar, kesusahan melahirkan kemudahan. Sebaliknya, bagi orang yang berdosa, kemudahan melahirkan kesusahan."

"YA ALLAH YANG MAHA PENYABAR, jadikanlah aku hambaMu yang sabar menerima segala ujian hidup yang Engkau berikan. Sekiranya aku pernah mengeluh kerana sifatku, bukakanlah pintu keampunan bagiku."

Thursday, February 28, 2013

Inspirasi 2013 # Run010


SENTIASA ADA JALAN

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Aliy Yang Maha Tinggi atas segala nikmatMu, nikmat ihsan, iman dan Islam yang Engkau kurniakan kepada diriku yg ORI ini.

Ya Allah Yang Menyembuhkan segala penyakit, berilah penawar kepada penyakit yang dialami oleh bondaku Jamilah binti Ibrahim dan adindaku yang tersayang agar mereka dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai hambaMu dengan sempurna. Berikanlah keringanan dan kemudahan serta ketenangan hati dan jiwa tatkala diuji dengan kesakitan ini wahai Ya Syafiy Yang Menyembuhkan dan Penawar bagi segala jenis penyakit.

Banyak kenikmatan yang tersembunyi
Di antara taring-taring bencana.

Banyak kegembiraan yang menghadap arah
Di mana beberapa musibah menanti.

Bersabarlah atas ujian-ujian yang menimpamu
Kerana segala sesuatu ada sebabnya.

Setiap kesusahan itu ada kegembiraannya
Setiap yang murni ada campurannya.

"Ya Allah Ya Aliy Yang Maha Tinggi, jadikanlah kami manusia yang teguh dalam menghadapi apa sahaja cubaan yang menimpa kami. Bagaimana susah pun hidup kami, masukkanlah keyakinan dalam diri kami, sentiasa ada jalan bagi kami."

~ No Mind ~

~ 18 Rabiul Akhir 1434 H ~

Wednesday, February 27, 2013

Inspirasi 2013# Run009

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah Ya Fattah atas segala nikmat dan kurniaMu kepada diriku di saat dan tika ini, nikmat ihsan, iman dan Islam.

Wahai sahabatku, marilah kita sama-sama tika ini dan saat ini menjadi insan kamil mukmin dan mukminah profesional dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini.
Yakin dan percayalah wahai diri serta sentiasalah sedar akan Allah adalah sumber segala sesuatu, ALLAHu SoMaD. Walau sesukar manapun cubaan dan halangan yang perlu kita tempuhi, tetapknlah keyakinan kepada Allah Ya Fattah Yang Maha Pembuka dan sentiasalah sedar akan Dia. Jalan tetap terbuka luas untuk kita di hadapan sana. Teruskan bergerak ke hadapan, jangan duduk diam kerana Dia Ya Musawwir Yang Maha Kreatif mahu kita terus belajar dan terus belajar dengan segala ilmuNya yang Maha Luas.

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah memberi petunjuk kepadanya. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah at-Taghabun: 11)

La Tahzan...Janganlah sedih dan berdukacita dengan ujian yang mendatang kerana sesungguhnya Allah sentiasa ada menghantarkan bantuan. Semua yang berlaku ini dengan izinNya jua.

Adakalanya, Allah berikan sedikit kesempitan hidup agar kita sedar akan Allah Yang Maha Melapangkan akan melapangkan urusan kita di saat yang betul, tidak akan terlewat walaupun kadar kerdipan mata kita.

Apakah bukti kita mengasihi Rasulullah yang jasadnya telah wafat, namun niat dan semangat Baginda masih terus ada untuk kita meneruskan perjuangan Baginda. Ujian yang ditempuhi Baginda lagi hebat berbanding dengan diri kita.

Rasullullah apabila diberi nikmat makan, akan makan sikit-sikit sahaja, berbeza dengan kita, apabila makan, sikit-sikit makan, sikit-sikit makan. Sewaktu Allah menguji Nabi Muhammad dengan kelaparan, beliau mengikat batu di perutnya bagi menghilangkan rasa lapar. Beliau dengan tulus, pasrah kepada Tuhannya kerana Dialah pemilik perbendaharaan langit dan bumi. Setiap ujian yang mendatang akan dihadapi dengan tenang. Tabah mengharungi segala-galanya tanpa keluh kesal dan berdukacita bila diuji.

"Ya Allah Ya Fattah Yang Maha Pembuka, daripadaMu segala sesuatu dan segalanya kelak kembali jua kepadaMu. Tambahkanlah ilmu dan hikmahMu dalam hati kami supaya mampu kami menerima segala peristiwa sebagai tanda rahmatMu"

Kurniakanlah kami hati yang kuat untuk mengharungi segala dugaan yang mendatang. Permudahkan segala urusan kehidupan kami ini. Berikanlah ketenangan hati dan kelapangan jiwa dalam kami menghadapi musibah yang datang. Berikanlah kesembuhan kepada bondaku yang tercinta, Jamilah binti Ibrahim yang sedang diuji dengan kesakitan. Berikanlah keringanan dalam menghadapi kesakitan itu yang mampu ditanggung olehnya. Begitu juga berikanlah keringanan bagi kesakitan yang ditanggung oleh kekandaku yang kuhormati, Radzuran dan adindaku yang kusayangi kerana Allah, Siti Nurhazwani. Mereka begitu tabah mengharungi segala kesakitan ini, tidak sedikitpun riak mukanya menunjukkan kesakitan yang dialaminya. Begitu jualah allahyarham ayahandaku yang sentiasa redha dan tabah menghadapi dugaan dalam hayat hidupnya. Walaupun jasadnya sudah tiada, namun niat dan semangatnya yang membara sentiasa ada bersama-samaku. Semoga Allah sentiasa merahmati dan menempatkan roh allahyarham ayahandaku Ismail bin Khalijah bersama-sama para syuhada' yang berjuang menegakkan kalimah Allah di mukabumi ini.

Ya Hanana.....

~17 Rabiul Akhir 1434H~

Tuesday, February 19, 2013

Inspirasi 2013 # Run008

Alhamdulillah...terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim atas segala nikmat kurniaanMu, nikmat ihsan, iman dan Islam. Bersyukur diriku atas segala nikmat ini samada aku sedar atau aku alpa. Jadikanlah diriku ini insan yang sentiasa mensyukuri nikmat, pimpinlah diriku agar sentiasa sedar dan meletakkan penggantungan hanya kepadaMu. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan izinMu jua Ya Allah.

Dalam sedar tak sedar, masa untuk menghasilkan kerja penyelidikan semakin menghampiri garis penamatnya. Setiap yang bermula pasti ada akhirnya. Begitu jualah dengan kehidupanku sebagai pelajar doktor falsafah kejuruteraan awam di UTM ini.

Berusaha dan terus berusaha untuk mendapatkan hasil kajian yang lebih baik dari hari ke hari. Adakalanya, terasa diri tidak mampu meneruskan perjuangan ini. Namun, kekuatan dan semangat yang dialirkan oleh Yang Maha Memberi kurasakan selalu ada walau di mana diriku berada. Setiap perkara yang kulalui ini, adalah ilmu yang diajari terus dari Yang Maha Mengetahui lagi luas ilmuNya. Ilmu yang sedikit yang kupelajari ini sedikitpun tidak akan mendatangkan hasil tanpa izin dariNya.

Diri ini rasa lebih bahagia dan tenang apabila dapat membahagiakan insan yang tersayang. Bukan nilaian wang ringgit itu yang dinilai tapi ketulusan dan keikhlasan hati dalam melakukan sesuatu perkara itu yang lebih utama. Sumber rezeki itu jua adalah milik Allah. Diberinya rezeki itu kepada sesiapa yang Dia Yang Maha Pemberi Rezeki, Ya Razzaq ingin berikan.

Apabila diri terasa tidak berdaya dan tidak mampu mendepani rintangan yang berada di depan mata, Allah akan sentiasa ada memberikan bantuan...
La Tahzan.....janganlah bersedih wahai diri....Allah sentiasa bersama kita. Hulurkanlah bantuan di mana sahaja anda berada, dalam senang maupun sukar, kerana Allah sentiasa menghulurkan bantuan dan jalan keluar dari segala permasalahan yang kita alami.

Pengalaman bercuti hampir sebulan ini, terlalu banyak ilmu yang diajariNya. Kekuatan dalaman itu amat besar ertinya untuk dizahirkan keluar. Betapa kuatnya diri kita menggantung harap pada Allah, betapa dekatnya Dia membantu kita. Hanya diri kita yang sering alpa dan lalai dengan segala pemberianNya.

ALLAH Ya Rahman ALLAH Ya Rahim
ALLAH Ya Ghaffar Ya Nurul Qalbi

Setiap makhluk bergantung kepadaMu..

Mengemis Kasih-Mu

Tuhan....
Dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku di lorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi kian parah

Semalam sudah sampai ke penghujungnya
Kisah seribu duka kuharap sudah berlalu
Tak ingin lagi kuulangi kembali
Gerak dosa yang menghiris hati

Tuhan..
Dosaku menggunung tinggi
Tapi rahmatMu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanya setitis nikmatMu di bumi

Tuhan...
Walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunanMu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat padaMu
Seribu langkah Kau rapat padaku

Adakah Dia dihatimu?

"Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA dihatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintaiNya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintaiNya."

"Justeru, kerana belum ada Dia dihatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunanNya lebih luas daripada pintu kemurkaanNya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah Dia merapat. Dan akhirnya, aku yakin....suatu saat nanti, akan ada Dia di hatiku dan di hatimu jua. Dan kita akan terus mengemis kasih."

~ 9 Rabiul Akhir 1434H ~

Thursday, February 7, 2013

Inspirasi 2013 # Run 007

WADI ISMAIL & JAMILAH

Alhamdulillah...bersyukur ku hadrat Ilahi kerna dengan limpah kurniaNya, diri ini masih diberi nikmat ihsan, iman dan islam. Bersyukur atas segala nikmat yang Engkau berikan.

Percutian di bulan Rabiul awal 1434H ini banyak memberikan ilmu dan pengajaran kepada diriku ini. Semangat berkobar-kobar untuk menyiapkan projek penyelidikan PhD yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Ya Allah Yang Maha Melapangkan, berikanlah kelapangan masa dan idea fikiran yang bernas, mencetuskan idea untuk penghasilan penulisan jurnal dan tesis yang dapat memberi manfaat kepada diriku sendiri dan orang lain. Ajarilah diriku dengan perkara yang bermanfaat setiap saat dan ketika.

Jadikan diriku ini insan yang sentiasa rajin berusaha memajukan diri dan merebut peluang yang terbuka luas di depan mata. Ujian yang Engkau berikan mematangkan diri ini menghadapi segala ketentuan yang disediakan olehMu.

Berikanlah aku jalan keluar untuk memajukan Wadi Ismail dan Wadi Jamilah, hasil titik peluh dan penat lelah al-marhum ayahandaku Ismail bin Khalijah dan bondaku Jamilah binti Ibrahim.

Diri ini yakin dan pasti semua ini akan dapat mendatangkan hasil dengan izin dariMu. Kun fayakun. Yakin dan percayalah bahawa sumber rezeki adalah dari Dia Ya Razzaq Yang Maha Pemberi Rezeki. Ketenangan dalam menjalani kehidupan di dunia yang fana ini adalah nikmat rezeki yang besar dariMu.

Terima kasih Ya Rabb kerana mengurniakan diriku seorang ayah dan ibu yang mampu mendidikku sehingga ke hari ini menjadi diriku yang ORI. Berpijak di bumi yang nyata, bukan berada di awang-awangan.

Tuesday, January 22, 2013

Inspirasi 2013# Run006

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim kerana dengan izinMu, diri ini dianugerahi nikmat ihsan, iman dan islam. Bersyukur ke hadratMu Ilahi atas segala nikmat dan kurniaMu ini.

Hari ini diri ini diajar untuk melepaskan apa yang kita sayangi. Diri ini diajar juga tentang muhasabah cinta. Di manakah cinta kepada Sang Pencipta yakni Allah dan cinta kepada junjungan besar rasulullah s.a.w. kekasih Allah. Apalah sangat nilaian kasih sayang dan cinta kita dibandingkan dengan kasih sayang dan cinta dari Sang Pencinta kepada diri kita ini dan rasulullah s.a.w kepada umat Baginda.

Di bulan kelahiran junjungan besar kekasih Allah ini, wahai diri yang sering alpa dan lalai, belajar dan terus belajar untuk mengenali pekerti dan akhlak rasul junjungan mulia, Muhammad bin Abdullah ini. Apakah bukti kita mencintai kekasih Allah ini andai tiada ucapan selawat dan salam kepada Baginda apatah lagi mengamalkan sunnah yang ditinggalkan untuk kita umatnya yang tercinta.

Apabila kita belajar untuk melepaskan, Allah akan bantu dan terus membantu. Kerana segala apa yang dilepaskan itu adalah kembali kepada pemilikNya yang Haq. Untuk apa kita perlu bimbang dan gusar dengan apa yang kita lepaskan, yakin dan pastilah, ganjaran itu ada di sisi Allah, lepaskanlah dengan penuh rasa ikhlas keranaNya. Belajar untuk memberi dan terus memberi. Kerana Allah itu Maha Melapangkan. Apabila kita diberi kelapangan, kongsikanlah kelapangan yang kita miliki itu untuk melapangkan insan yang berada di sekeliling kita.

Diri ini sedar Ya Allah, segala apa yang kita rancangkan dan impikan, berada dalam rancangan Allah, namun perancangan Yang Maha Merancang itu melebihi perancangan kita. Adukan dan luahkan segala-galanya pada Dia Yang Maha Tahu.

Hari demi hari, diri ini terus diajar oleh Yang Maha Mengetahui, segala kesulitan yang kualami akhirnya terasa ringan dan mudah untuk kulalui. Tiada apa yang sulit dan sukar, kerana yakin dan percayalah, Dia sentiasa ada untuk memudahkan kita.

Melepaskan....Submit to Allah...dan NO mind. Segala urusan akan dipermudahkan olehNya. Sentiasa perbetulkan niat dalam menjalani urusan kita seharian.

Apabila diri rasa marah dan tidak berpuas hati, semak diri, siapalah diri kita untuk melepaskan kemarahan itu. Kemarahan itu ditujukan kepada siapa. Layakkah kita untuk marah dan merasa tidak berpuas hati. Adakah kita tidak berpuas hati kepada diri kita? Adakah kita memarahi diri kita? Adakah sebenarnya kita tidak dapat menerima ketetapan dan ketentuan yang Dia aturkan untuk kita. Adakah kita layak untuk marah dan tidak berpuas hati dengan ketentuan qada dan qadar Allah. Beristighfarkan dan muhasabahlah kembali ke dalam diri. Bersihkanlah dan cucilah hati agar kembali kepada fitrahnya yang suci.

Bimbinglah dan pimpinlah diriku Ya Allah untuk menjadi usahawan yang hebat seperti junjungan besar rasulullah s.a.w dan para sahabat yang menginfakkan diri dan harta untuk Islam. 

Saat ini, diri ini amat merindui super heroku Ya Allah. Walaupun dia telah kembali kepadaMu, namun semangat dan kasih sayang serta cintanya masih kekal kurasakan. Hanya jasad yang memisahkan kami, namun urusan roh ini adalah urusanMu ya Allah. Berikanlah ketenangan dan limpahilah dia dengan limpah dan rahmatMu. Berikanlah diriku kekuatan dan semangat yang ada pada dirinya hadir dalam diriku. Menjadi insan yang sangat cekal dan berserah diri secara total kepadaMu. Yakin dan percaya bahawa rezeki itu anugerah dari Ilahi. Jika ditakdirkan rezeki itu milik kita, tak perlu risau, tak perlu takut, tak perlu gelisah, tetap akan menjadi milik kita walaupun jalannya sukar. Benarlah, apabila Allah menghendaki sesuatu, cukuplah Allah berkata Kun fayakun.... Semua itu berlaku dengan aturan Allah.

Usahlah dirisaukan apa akan berlaku hari esok. Lalui hari ini yang telah dihadihkan kepada kita dengan sehabis baik. Jadikan hari semalam yang telah berlalu sebagai sejarah dan ambillah pengajaran dari hari semalam yang banyak memberikan pengajaran. Perbaiki kelemahan hari semalam untuk meneruskan hari ini. Jadi, usah takut dan gentar untuk menempuh hari esok, lakukan sahaja yang terbaik untuk hari ini. Jangan fikirkan hari esok yang belum pasti kita dapat menemuinya, hari yang telah ditemukan kita ini, hargai dan terus melakukan kebaikan yang berterusan. Hari ini akan menjadi lebih ceria dan bahagia bila kita berpegang dengan janji Allah...Kun fayakun....

NO mind....NO mind....NO mind

~ 11 Rabiul Awal 1434H~