Thursday, April 7, 2011

TIRAM BUSUK

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
2011/02/21


Seorang pengusaha tiram menunjukkan tiram yang mati kerana pencemaran air Sungai Muar

150,000 benih sedia dituai mati kesan banjir

MUAR: Hasrat 14 penyelam tiram Sungai Muar untuk menuai hasil tiram diternak tidak tercapai apabila kira-kira 150,000 benih tiram yang sedia dituai ditemui mati dalam sangkar dipercayai kesan banjir teruk yang melanda daerah itu.

Banjir itu juga dikatakan turut menyebabkan banyak benih tiram di dasar Sungai Muar mati akibat dipenuhi air lumpur yang dibawa banjir.

Pengerusi Kumpulan Pengurusan Sumber Perikanan Kumpulan Nelayan Parit Tiram, Kapten (B) Jelani Laham, berkata sumber benih tiram di dasar Sungai Muar itu perlu mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih tetapi kemungkinan besar keadaan itu akan mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Katanya, situasi sama pernah dialami penyelam kawasan itu ketika banjir teruk melanda Johor pada akhir 2006 dan awal 2007 lalu sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

“Banjir teruk baru-baru ini menyebabkan kira-kira 150,000 tiram diternak dalam sangkar di Sungai Muar yang sepatutnya dituai hasil dalam tempoh dua minggu, mati menyebabkan kerugian dianggarkan RM120,000, sekali gus menyebabkan kerugian kepada penyelam tiram yang bergantung kepada hasil jualan tiram berkenaan," katanya.

Katanya, banjir teruk yang sering berlaku menyebabkan penyelam tiram terpaksa menanggung kerugian menyebabkan pihaknya merancang untuk mengadakan projek ternakan tiram di kolam bagi mengelak risiko tiram mati akibat banjir atau kesan lumpur.
Jelani berkata, Pangkalan Parit Tiram adalah antara lokasi kegiatan nelayan sungai dan laut tertua di daerah ini serta terkenal dengan pengeluaran hasil tiram bermutu tinggi sejak negara belum merdeka, malah mutu tiram yang dikeluarkan dikatakan antara terbaik di dunia.

Katanya, sehingga kini ada kira-kira 20 penyelam tiram masih aktif dengan tumpuan di kawasan berhampiran pangkalan itu walaupun sebenarnya tiram juga boleh diperoleh di kawasan hampir 20 kilometer sepanjang pesisiran Sungai Muar bergantung kepada jadual pasang surut air.

Beliau berkata, kegiatan yang dikatakan bermula sejak 1870-an itu memerlukan nelayan menyelam sedalam lebih lima meter untuk mengutip tiram di dasar sungai dengan menahan nafas antara tiga hingga empat minit.

“Bagaimanapun sejak pertengahan 2006 lalu, nelayan kawasan itu mula menjalankan penternakan tiram sebagai langkah meningkatkan lagi sumber pendapatan mereka dan sehingga kini beberapa kali hasil ternakan tiram berjaya diperoleh," katanya.

Penyelam tiram, Ahmad Buang Ahmad, 39, berkata beliau terkilan apabila semua tiram yang sepatutnya boleh dituai dalam tempoh dua minggu mati akibat kesan limpahan air banjir di Sungai Muar.

Katanya, benih tiram itu mati berikutan jumlah air tawar yang banyak dan lumpur disebabkan hujan lebat yang menyebabkan banjir.

Beliau berkata, benih tiram itu mula diternak dalam sangkar mulai Mei tahun lalu dan sepatutnya saiz tiram yang sesuai dituai hasilnya ialah pada minggu pertama Februari tetapi sebelum sempat dituai, banjir teruk mula melanda menyebabkan pihaknya terpaksa menanggung kerugian.

No comments:

Post a Comment