Thursday, June 25, 2009

PROJEK TERNAK KUPANG TERJEJAS AKIBAT BANJIR

LIMPAHAN AIR TAWAR DIKATAKAN PUNCA PENGUSAHA HIDUPAN MARIN DALAM SANGKAR RUGI BESAR
Oleh: Abdul Razak Raaff (Berita Harian-10 Februari 2007)



JOHOR BAHRU: Industri akuakultur air masin di perairan Selat Tebrau termasuk penternakan kupang turut menerima kesan daripada banjir besar yang melanda Johor pada pertengahan Disember dan awal bulan ini.

Hujan lebat luar biasa itu menyebabkan paras air pada sistem saliran di negeri ini naik mendadak dan membanjiri kawasan sekitarnya termasuk Selat Tebrau.

Berikutan itu, air tawar daripada sungai, parit dan longkang yang mengalir masuk di Selat Tebrau turut menjejaskan tahap kemasinan di muara sungai seterusnya memberi kesan kepada industri ternakan hidupan marin dalam sangkar termasuk kupang.

Kira-kira 100 penternak kupang dalam sangkar di perairan Selat Tebrau turut mendakwa mengalami kerugian beratus ribu ringgit kerana kupang yang sepatutnya mereka tuai untuk dijual di pasaran sudah mati.

Mereka mendakwa ternakan kupang rugi kerana sangkar mereka dilimpahi air tawar bagi tempoh agak lama sehingga mengurangkan kemasinan di sekitar kawasan penternakan itu.

Penyelidik Pusat Penyelidikan Maritim Universiti Malaya (UMMReC), Prof. Dr. Chong Ving Ching, berkata kupang atau 'green mussel' memerlukan tahap kemasinan di antara 20 hingga 32 ppt (part per thousand).

"Kupang sebenarnya lebih suka tahap kemasinan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, ada juga kajian dan pendapat pakar bahawa hidupan marin ini boleh bertahan pada tahap kemasinan ekstrem iaitu 0 hingga 80 ppt tetapi bagi jangka masa pendek," katanya.

Beliau berkata, air tawar terlalu banyak masuk ke laut menerusi proses pasang surut menyebabkan air masin lebih berat kerana kandungan garam berada di bawah air tawar.

Selain itu, Dr. Chong berkata, terdapat juga beberapa faktor lain yang juga boleh menyebabkan ternakan kupang itu mati kesan daripada kejadian banjir dan kemasukan air tawar yang banyak ke laut.

Beliau berkata, kupang adalah pemakan turas dan memakan fitoplankton, zooplankton halus dan bahan organik terampai.

"Jika terlalu banyak air tawar melimpah masuk dari muara sungai dengan kadar kekeruhan yang tinggi maka ia akan mengurangkan jenis makanan berkenaan.

"Begitu juga jika terlalu tinggi bahan tidak organik seperti mendapan dan tanah liat boleh mengurang dan menjejaskan aktiviti pemakanan kupang,"katanta.

Kawasan ternakan kupang di Selat Tebrau meliputi kawasan kira-kira 20 hektar yang diusahakan kira-kira 100 penternak berdaftar, yang juga kawasan penternakan kupang terbesar di negara ini.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Johor Selatan yang juga Ketua Kampung Sungai Melayu, Pandak Ahmad, berkata kira-kira 50% daripada ternakan yang mati itu membabitkan kupang berusia 5 hingga 6 bulan, iaitu tempoh yang sesuai untuk dijual di pasaran.

"Melalui kajian kami mendapati ada penguasaha mengalami kerugian antara RM 5,000 hingga RM 100,000 selain kira-kira 100 pekerja mengopek kupang kehilangan kerja," katanya.

Pandak berkata, penternak kupang di Selat Tebrau menjual hasil keluaran masing-masing untuk pasaran tempatan dan Singapura.

Katanya, kualiti kupang di sini terbaik berbanding di kawasan lain dan ia memenuhi 30% permintaan kupang di pasaran negara.

No comments:

Post a Comment