Friday, January 28, 2011

94:1-8 (SURAH AL-SYARH/ AL-INSYIRAH/ ALAM NASYRAH)

MELAPANGKAN
Perintah ALLAH kepada Nabi Muhammad S.A.W. agar terus berjuang dengan IKHLAS dan TAWAKKAL.





1) Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?
Have We not expanded thee thy breast?

2) dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu.
and removed from thee thy burden

3) yang memberatkan pundakmu
the which did gall thy back

4) dan Kami tinggikan bagimu sebutan(nama)mu
and raised high the esteem (in which) thou (art held)

5) kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan
so, verily, with every difficulty, there is relief

6) sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan
verily, with every difficulty, there is relief

7) Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain
therefore, when thou art free (from thine immediate task), still labour hard

8) dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap
and to thy Lord turn (all) thy attention

KANDUNGAN SURAH:
1) Menjelaskan 3 nikmat yang dianugerahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu melapangkan dadanya dengan hikmat dan iman, membersihkannya daripada dosa dan noda, mengangkat kedudukan serta statusnya di dunia & akhirat.

2) Allah menjanjikan kepada Baginda untuk menyenangkan perkara yang susah, menyelesaikan kerumitan dan menghapuskan ujian yang berat serta memberikan khabar gembira kepadanya dengan hampirnya kemenangan Baginda ke atas pihak musuh.

3) Allah memerintahkan rasulNya supaya sentiasa beribadat dan meluangkan waktu untuk menyampaikan risalah setelah selesai menunaikan tanggungjawab yang lain, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah di atas segala nikmat yang dikurniakan.

4) Setelah selesai melaksanakan semua perkara tersebut Allah menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. supaya bertawakkal hanya kepada Allah dan memohon sesuatu darinya.

TAFSIR & ULASAN

94:1
Sesungguhnya Allah telah melapangkan dada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menerima tugas kenabian, menanggung bebanan dan menghafal wahyu.
Maksud kelapangan dada ialah Allah menerangi hati Baginda sehingga ia menjadi lapang, bersifat terbuka dan tenteram.

94:2-3
Allah telah meringankan bagi Nabi Muhammad beban melaksanakan kerja kenabian dan kerasulan serta menyampaikan risalah Allah. Maka dengan itu Baginda mudah meraih kejayaan.

94:4
Allah menjadikan nama Baginda disanjung di dunia & akhirat sebagai nabi dan pembawa risalah terakhir. Allah turunkan al-Quran kepada Baginda. Allah mewajibkan setiap mukmin mengucap 2 Kalimah Syahadah, baik ketika azan, tasyahhud, khutbah mahupun ketika mengerjakan ibadat yang lain. Allah juga memerintahkan umat Islam berselawat terhadap Rasulullah. Malah Allah perintahkan mereka mematuhi Baginda dan barangsiapa mematuhi Baginda bermakna ia mematuhi Allah.

94:5-6
Allah menyatakan bahawa semua nikmat kurniaanNya adalah menurut sunnah ketentuanNya. Antara sunnah ketentuanNya itu ialah Allah menampilkan kemudahan setelah mengalami kepayahan. Firman Allah dalam rangka menjawab ejekan orang kafir terhadap Rasulullah bahawa Baginda orang miskin dan tidak berharta.

"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan dan sesungguhnya sesudah kesulitan itu memang ada kemudahan."[94:5-6]

Maksudnya; sekalipun kini Baginda susah, namun sebenarnya Baginda akan senang nanti. Selepas saat kesempitan, pasti datang saat kelapangan. Allah tegaskan lagi hal ini dalam frasa yang kedua.

Dengan firmannya itu Allah memaklumkan berita gembira kepada Baginda s.a.w. dan menyukan hatinya bahawa selepas ini keadaan Baginda yang miskin itu akan bertukar menjadi senang. Kelemahan akan berubah kepada kekuatan dan kemuliaan. Permusuhan dari kaumnya akan berubah kepada sokongan dan kasih sayang dari mereka. Kemudahan di dunia dan kemudahan di akhirat.

Kemudian Allah perintahkan Baginda melaksanakan peranan yang sesuai dengan maruah dan martabatnya; di samping bersyukur terhadap nikmat yang lalu dan yang akan datang sama ada kemudahan mengatasi kesulitan atau beroleh kemenangan.

94:7
Maksudnya, jiak anda selesai berdakwah, berjihad atau urusan dunia dan yang berkaitan dengannya maka berusaha gigihlah untuk beribadat, berdoa dan memohon hajat dan restu dari Allah. Teruskan niat dan hasrat untuk mencari keredhaan Allah. Ayat ini menunjukkan bahawa adalah dituntut agar seseorang itu terus menerus mengerjakan amal soleh, kebajikan, dan ketaatan. Justeru memanfaatkan masa adalah disuruh oleh syarak. Allah amat benci terhadap orang yang membuang masa.

94:8
Maksudnya, hadapkanlah wajahmu kepada Allah. Serahkan jiwa ragamu kepadaNya. bermunajatlah kepadaNya dengan penuh rasa khusyuk dan takut kepada nerakaNya; di samping mengharapkan syurgaNya. Jangan menuntut pahala dan ganjaran kecuali kepada Allah. Justeru Allah sahaja sebenarnya yang layak disembah, diharap dan tempat yang wajar seseorang itu bertawakkal.

PEDOMAN HIDUP & HUKUM-HAKAM

1. Nikmat kurniaan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. memang banyak. Nikmat kurniaan itu adalah;

PERTAMA: Sifat lapang dada, jiwa besar dan bersemangat waja memikul beban tanggungjawab sebagai seorang Nabi dan Rasul.
KEDUA: Pelupusan serta penghapusan dosa Baginda yang dianggap membebankan serta memberatkan pundak Baginda.
KETIGA: Nama Baginda dijulang. Sebutan namanya dimuliakan. Martabatnya diangkat tinggi di dunia dan di akhirat. Baginda disisihkan dari segala noda dan nista.

2. Sebagai tanda rahmat dan kasihan belas Allah serta atas dasar memudahkan para hambaNya, Allah jadikan "yusraini" dua kemudahan bagi tiap satu kesusahan dan kesulitan.

3. Ayat-ayat ini mengandungi dorongan membuat amal soleh dan kebajikan serta galakan agar amal soleh dibuat secara berterusan. Orang yang waras tidak membuang masa dengan sifat malas, culas dan berdiam diri tanpa berusaha. Sebaliknya, mereka sewajarnya berusaha sedaya upaya meraih kebaikan untuk diri di dunia & akhirat.

4. Tawakkal mestilah kepada Allah sahaja. Orang Islam wajar mengharapkan restu Allah, memohon segala hajat kepadaNya. Hanya Allah yang layak dipuja dan diminta. Segala ganjaran dan pahala memang mutlak kepunyaanNya. Oleh itu kepada Allah sahajalah kita harus meminta.

RUJUKAN:

1. Al-Quran dan Terjemahannya
2. Dr.Wahhab al-Zuhaily (2001). Tafsir Al-Munir Juz 'Amma. Persatuan 'Ulama Malaysia.

No comments:

Post a Comment