Friday, March 4, 2011

QALAM



Terima kasih Ya ALLAH kerana menggerakkan hati ini untuk menghadiahkan kitab ini kepada seorang adik dan sahabat yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan untuk terus mengharungi kehidupan di dunia ini. Hajat di hati untuk memiliki koleksi kitab Tafsir Ibn Kathir. Insha ALLAH akan cuba untuk memilikinya satu hari nanti.

"Dik, pinjam kitab Tafsir Juz 'Amma kejap yer."

-------------------------------------------------------------------------------------

Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.(QS.Al-'Alaq:4)

-------------------------------------------------------------------------------------

ALLAH telah mengajari manusia tulis-menulis dengan pena, yang merupakan satu nikmat dari ALLAH yang sangat mulia. Kalau bukan kerana itu, nescaya tidak mungkin agama akan berdiri tegak, dan mengecapi kehidupan yang lebih baik hari ini.
Dengan pena, manusia dikeluarkan dari alam kegelapan kepada alam terang yang disinari dengan cahaya ilmu. Ilmu itu tidak akan pernah dikumpulkan, hikmah tidak akan pernah dicatat, berita tentang orang-orang terdahulu dan ucapan mereka tidak akan pernah diteliti, serta kitab-kitab ALLAH tidak juga dapat ditulis, kecuali dengan tulisan.

ALLAH telah memulai dakwah Islam dengan dakwah kepada bacaan dan tulisan, serta perintah untuk melakukan kedua-duanya. Itu juga merupakan penjelasan bahawa kedua-duanya termasuk dari tanda-tanda kekuasaan ALLAH bagi semua makhlukNya, dan merupakan rahmatNya kepada mereka.

Bagaimana sekiranya di dunia ini tidak ada pena, tulisan dan buku serta kitab-kitab? Dunia ini akan penuh dengan kebodohan dan kejahilan tanpa ilmu. Maka ilmu orang bijak pandai yang terdahulu tidak dapat dipindahkan kepada generasi yang hidup kemudian.
Namun dengan adanya tulisan, ilmu dapat dibangunkan dan dikembangkan, dan seterusnya akan bertambah sampai pada batas yang dikehendaki ALLAH.

Jadikanlah tulisan anda sebagai ibadah kepadaNya untuk membantu generasi kini dan yang akan datang yang amat dahagakan ilmu. Jadilah seorang yang mahir dan pakar dalam bidang masing-masing dan terjemahkan dalam bentuk penulisan. Untuk menghasilkan penulisan yang baik memerlukan orang yang berilmu juga. Bagaimanakah pula untuk menjadi orang yang berilmu? Mintalah pada Yang Maha Mengetahui. Ilmu yang kita ada hanyalah setitik dari lautan ilmuNya Yang Maha Luas.

Ya ALLAH bantulah kami dalam mencari dan menyebarkan ilmuMu. Ajarilah kami ilmuMu yang bermanfaat untuk diri kami dan juga dapat memberi manfaat pada orang di sekeliling kami serta semua makhluk ciptaaanMu.
Jadikanlah diri kami ini insan yang sedar akan kewujudanMu dan keluasan ilmuMu. Kami tidak memiliki apa-apa, semuanya hanya milikMu jua.
Ya ALLAH pimpinlah kami untuk memahami ilmuMu dan dapat pula menterjemahkan ilmuMu dalam bentuk tulisan untuk kegunaan generasi yang akan datang.
Jadikanlah diri kami semakin hampir denganMu dengan ilmuMu sehingga kami merasa kami tidak punya apa-apa. Semuanya milikMu. Hanya Engkau yang berhak memberi ilmuMu kepada sesiapa yang Engkau kehendaki Ya ALLAH.
Jadikanlah kami insan yang sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mengutip dan mengumpulkan ilmuMu di mana sahaja ia berada. Pandulah kami dalam proses mencari ilmu ini agar tidak mengutip ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat.
Ya ALLAH, terima kasih atas segala nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada diri ini. Aku bersyukur atas segala pemberianMu ini. Pimpinlah aku agar dapat menggunakan segala nikmat dan pemberianMu ke jalan yang Engkau redhai bukan jalan yang Engkau murkai. Berikanlah aku kesabaran dan ketabahan hati dalam mencari ilmu yang Engkau redhai.
Pimpinlah dan dorongkan diri ini untuk melakukan yang terbaik dalam projek penyelidikanku. Hanya Engkaulah tempat aku memohon pertolongan Ya ALLAH. Tunjukkanlah jalan yang benar dalam aku mencari-cari jalan penyelesaian penyelidikanku ini. Kurniakanlah aku daripadaMu pembantu mengharungi dugaan dan cabaran dalam kerja-kerja penyelidikanku.

Ya ALLAH permudahkanlah segala urusan kami dan terimalah amal ibadah kami ini.

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahkanlah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kefahaman nabi-nabi dan hafalan rasul dan ilham kalangan malaikat yang hampir (dengan Mu). Wahai Tuhan Yang Maha Pembuka dan Maha Tahu, bukakanlah hatiku seperti orang yang arif.

Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah fahamku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku.
Ya Allah, keluarkanlah aku daripada kegelapan ragu dan muliakanlah kami dengan cahaya kerahmatan,
bukakanlah bagi kami makrifat ilmu, berikanlah cahaya kepada hati kami sebagaimana Engkau berikan cahaya kepada matahari dan bulan dan mudahkanlah bagiku pintu kurniaan Mu, wahai Yang Maha Penyayang.

Terima kasih Ya ALLAH...Ya Rahman...Ya Rahim...

No comments:

Post a Comment