Wednesday, November 10, 2010

Buat bonda dan ayahanda tercinta



Bondaku Jamilah & ayahanda Ismail yang kucintai,
Kasih sayang dan keprihatinan kalian berdua kepada diriku selama ini tidak mampu kubalas kerana sesungguhnya semua itu adalah merupakan sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah, yang Allah campakkan kepada bonda & ayahanda agar kalian berdua menyayangiku dan melindungiku sejak aku kecil hingga dewasa.
Sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah inilah yang masih bonda & ayahanda rasakan walaupun diriku ini sudah dewasa. Kalian berdua tetap merinduiku dan ketika aku balik ke rumah, bonda & ayahanda tetap mencurahkan perhatian dan kasih sayangmu sebagaimana diriku masih kecil dahulu, tidak sedikitpun ada kekurangan yang kurasakan.

Bonda & ayahanda sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada diriku di dunia & akhirat dengan sifat Ya Salam Yang Maha Sejahtera yang dicampakkan ke dalam hatimu.
Maafkanlah diriku wahai bonda & ayahanda, kerana diriku terpaksa meninggalkanmu sentiasa demi menjalankan amanah sebagai seorang hambaNya, pelajar dan pekerja. Begitu juga anak-anakmu yang lain.Setiap arahan Allah akan pasti kutaati walaupun diriku tidak sempat menjengokmu sentiasa.

Bonda & ayahanda masih kusayangi sepertimana kalian berdua menyayangiku sejak aku masih kecil, tetapi sedarlah bonda & ayahanda, walaupun kalian tidak merasa kasih sayang dari anak-anakmu, tetapi kasih sayang Allah Ya Rahman Ya Rahim kepada bonda & ayahanda tidak pernah berbelah bagi. Dia tetap mendampingimu dan tak pernah meninggalkanmu walau sesaat sekalipun. Dia Ya Syakur amat menghargai jasa bonda & ayahanda membesarkan anak-anakmu menjadi manusia yang berguna. Dia Ya Aliyy Yang Maha Tinggi martabatNya tentu akan menaikkan martabat bonda & ayahanda kepada martabat yang tinggi atas pengorbananmu bonda & ayahanda selama ini.

Bonda & ayahanda yang dicintai,
Sekiranya kalian berdua merasa sunyi, ingatlah kepada Ya Basir yang sentiasa menampakkan keagungan & kewujudanNya melalui setiap apa yang berlaku di dunia ini. Dia amat dekat kepadamu bonda & ayahandaku, lebih dekat dari urat lehermu sendiri. Dia sentiasa berada disisimu menunggu-nunggumu merayu dan merintih kepadaNya ketika dirimu merasa kesunyian, ketika dirimu rasa tidak dipedulikan oleh anak-anakmu. Dia tetap mempedulikanmu duhai bonda & ayahandaku, usahlah dirimu gusar, bimbang dan sedih. Dia Ya Mukmin akan memberikanmu rasa aman dan tenang.

Oleh itu, duhai bonda & ayahanda yang tersayang,
Dekatkanlah diri kepadaNya, kepada Ya Hasib Yang Maha Mencukupkan, nescaya Dia akan mencukupkan keperluanmu.

Bonda & ayahandaku yang dikasihi,
Ingatlah kita akan kembali kepada Ya Malik dan Ya Khaliq, Yang Memiliki kita dan Menciptakan kita semua. Persiapkanlah dirimu duhai bonda & ayahanda dengan amalan mulia agar kita akan berjumpa di akhirat kelak di bawah lindungan Allah. Diri anak-anakmu akan sentiasa mendoakan bagi kesejahteraanmu di dunia dan akhirat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah yang dicampakkan di dalam hati anak-anakmu Maznah, Radzuran, Mohd Yazid, Mazlan dan Robiah.



"Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh"." (AN NAML:19)
(rujukan: Tips Menjadi Isteri Cemerlang Melalui Penghayatan Asma'ul Husna Allah oleh Prof. Madya Wan Maseri Wan Mohd)

No comments:

Post a Comment