Monday, December 10, 2012

Ya Allah Ya Quddus

Alhamdulillah, bersyukur diriku ke atas segala nikmat dan kurniaanMu Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Malik Ya Quddus...Yang Maha Suci....Sucikanlah hati dan fikiranku Ya Allah Ya Quddus Yang Maha Suci.

"Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim Ya Malik Ya Quddus....bersihkanlah hati dan fikiranku daripada memikirkan hal-hal yang Engkau benci. Masukkanlah perkara-perkara yang positif dalam hati dan fikiranku supaya hidupku tenteram dan damai dalam kesucianMu Ya Allah Ya Quddus Yang Maha Suci..."

Ya Allah Ya Quddus, sucikanlah hati dan fikiranku. Berikanlah diriku ini ketenangan dalam hidup ini, kurniakanlah diriku kebahagiaan, mudahkanlah diriku memberi kemaafan kepada diriku dan insan lain yang juga adalah makhlukMu Ya Allah Ya Khaliq. Jadikanlah diriku ini insan yang mudah memberi kemaafan...kerana diriku hanyalah insan biasa yang tidak selayaknya memarahi dan tidak memaafkan kesilapan dan kesalahan orang lain. Dengan mudahnya memberi kemaafan kepada insan lain, in sha Allah orang lain juga akan mudah memaafkan kesalahan dan kesilapanku Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...jiwa kita akan menjadi lebih tenang dan lapang serta dapat hidup dengan rasa bahagia dan membahagiakan di dunia ini dan di akhirat sana.

Contoh yang paling agong adalah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda tidak berasa sedih dan marah apatah lagi berdendam apabila orang  Thaif telah menolak dakwahnya dan mencederakan tubuh badannya. Baginda memaafkan kesalahan mereka lantas mendoakan mereka agar diberikan nur dan hidayah dari Yang Maha Esa.

Ingatlah wahai diri yang sering lalai dan alpa, nyawa yang Allah amanahkan kepada kita hidup di dunia ini adalah untuk beriman dan beramal ibadat kepadaNya. Janganlah kerana adanya perasaan sakit hati, menyesal, marah dan dendam kepada insan lain merosakkan diri kita sendiri. Janganlah diri kita terganggu dengan apa yang dilakukan oleh insan yang kita marahi itu, anggaplah segala perbuatan yang menyebabkan kita memarahi mereka adalah hanya gurauan semata-mata yang tidak sedikitpun menjejaskan diri kita. Hapuskanlah Ya Allah Ya Quddus segala kemarahan dan kebencian yang masih tersisa dalam hatiku ini. Buangkanlah perasaan itu jauh-jauh, agar diriku boleh bergembira dan bahagia.

Diriku sedar Ya Allah, orang yang selalu marah dan menyesal sebenarnya telah mengumpulkan toksin dan racun yang banyak dalam dirinya. Oleh itu, apabila kita membersihkan jiwa kita daripada dalam, maka kehidupan akan menjadi damai, tenang dan tidak mudah untuk cepat berasa marah kepada orang lain.

Bantulah diriku ini Ya Allah dalam segala urusanku. Berikanlah ketenangan hati dan fikiranku Ya Quddus Yang Maha Suci.

Jadikanlah diriku insan yang sentiasa bergantung kepadaMu Ya Quddus agar diriku akan sentiasa kuat mental, fizikal dan rohaniku...aku amat bersyukur dengan nikmat yang Engkau anugerahi kepada diriku....Bantulah dan pimpinlah diriku ke arah jalan yang Engkau redhai ya Allah...Hanya kepadaMu diriku berserah dan hanya kepadaMu tempat ku memohon pertolongan....Ampunilah Ya Allah atas segala kesalahan dan dosa yang aku lakukan. Ampunilah jua Ya Allah segala dosa dan kesalahan kedua-dua ayahanda dan bondaku yang tercinta dan rahmatilah mereka berdua serta lindungilah mereka dari segala bahaya sepertimana mereka telah mendidik dan menjagaku ketika aku kecil Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.

Terima kasih Ya Rabb...

-27 Muharam 1434H-

No comments:

Post a Comment