Wednesday, December 12, 2012

Ya Allah Ya Salam

Dengan namaMu Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim diriku memulakan kehidupanku hari ini...Alhamdulilah terima kasih Ya Rabb atas nikmat ihsan, iman dan islam yang Engkau anugerahi kepadaku. Setiap saat dan setiap ketika diriku belajar untuk sentiasa sedar dan ONLiNE denganMu. Agar diriku ini sentiasa dalam track yang dipandu olehMu.

Hari ini, diriku belajar lagi erti sentiasa sedar akan Engkau Ya Rabb. Diriku lalui hari-hari yang lalu dengan kasih sayang dan cintaMu Ya Rahman Ya Rahim dan Ya Wadud. Diriku juga ingin bertekad menyebarkan sifatMu Ya Salam Yang Maha Sejahtera kepada insan-insan yang berada di sekelilingku mengikut tahap dan kemampuan diriku ini. Diriku ingin mengabdikan diri kepadaMu Ya Salam demi kesejateraan orang lain. Modul yang aku perolehi dari program xpresi cinta itu masih segar dalam ingatanku, tatkala pn. Nora minta kami lepaskan duit rm 1, 5, dan seterusnya 50 dari dompet masing-masing. Sampai saat kita merasakan amat sukar untuk melepaskan. Itulah tahap yang perlu kita lepaskan. Jika kita melepaskan rm 1, tidak sama rasanya bila melepaskan rm 50 kan....modul yang sangat simple tapi memberi impak yang sangat besar kepada peserta. Disitulah Allah Yang Maha Sejahtera ingin melatih dan mendidik hati kita agar sentiasa ON dengan Dia. Yakin dan percayalah Dia sentiasa ada untuk memandu arah tuju perjalanan hidup kita. Jangan dilupakan juga selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kerana di situ adanya keberkatan. Yakin dan percayalah, setiap urusan dan perancangan kita berada dalam genggaman Dia Yang Maha Tahu dan Maha Perancang. Kita merancang Dia jua merancang, namun perancangan Dia lebih tepat dan amat luar biasa dari perancangan kita yang kadang-kadang tidak merujuk kepada Dia terlebih dahulu. Kita terlupa untuk mengadukan kepada Yang Maha Mengetahui sedangkan kita tahu Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Itulah sifat seorang insan yang selalu alpa dan lalai. Kita perlu sentiasa diingatkan setiap saat dan ketika. Bagaimanakah caranya? Sentiasalah ON dengan Dia. Mudah sahaja untuk melafazkan kaedah ON to Allah, namun dari segi praktikalnya masih samar-samar bagi diriku. Masih bertatih-tatih untuk berjalan ke arah itu. Namun terasa amat seronok apabila Dia selalu ada untuk menunjukkan jalan yang perlu diriku pilih. Sentiasa ada untuk menyedarkan diriku membetulkan niat hanya keranaMu.

'Maha Sejahtera adalah sifat Allah. ALLAH tidak memiliki sebarang kekurangan ataupun kecacatan. Tidak ada makhluk yang sempurna dan tidak rosak, kecuali yang dinisbahkan kepada dan terpancar daripada Allah. Tindakan Allah Yang Maha Sejahtera secara mutlak bebas daripada tindakan yang hina ataupun buruk. Kejahatan mutlak adalah kejahatan yang dilakukan bagi kepentingan sendiri dan ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada umum. Allah Yang Maha Sejahtera tetap ada, tidak goyah mahupun terganggu selamanya. Sebagai sifat aktif, as-Salam memberi kedamaian dan keselamatan kepada alam yang diciptakan sehingga saat kebangkitan. Mengucapkan 'assalamualaikum' kepada sesama makhlukNya adalah salah satu manifestasi as-Salam'

Allah adalah sumber kedamaian sejati iaitu sumber yang sentiasa memancarkan 'air jernih' kepada semua makhlukNya di dunia ini. Dia adalah sumber yang tidak pernah kering selama-lamanya. Apabila kita mendekati sumber itu dan 'meminumnya' sepuas hati kita, pasti kita merasakan kesegaran yang luar biasa yang tidak pernah kita rasakan sebelumnya.

Nabi Muhammad s.a.w berpesan kepada kita supaya menyebarkan salam. Dengan demikian, kita dituntut menjadikan salam sebagai prinsip dalam hidup kita. Kita perlu menjadi cahaya yang menerangi alam sekeliling dan menyebarkan kedamaian dan kesejahteraan sehingga siapa sahaja yang mendekati kita dapat merasakan kedamaian dan kebahagiaan itu.

Walaupun agak sukar untuk dipraktikkan dan diamalkan, tetapi yakin dan percayalah bahawa cahaya kedamaian, keselamatan dan lesejahteraan yang kita pancarkan tidak sia-sia. Segala perkara tentu memberi kesan  sepertimana yang tercatat dalam surah Yasin ayat 12 yang bermaksud;

".....kami menuliskan apa yang mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan..."

Kisah seorang tokoh sufi Ja'far ash-Shadiq memberi nasihat kepada anak muridnya Unwan saya rakamkan di sini sebagai iktibar untuk diri kita semua.

" Siapa yang mendoakan kehancuran untukmu, kamu pohonkan keselamatan untuknya. Sekiranya ada orang datang kepada kamu dan berkata; apabila kamu mencaci saya sekali, engkau kelak mendengar saya mencacimu 10 kali, jawablah dengan berkata; sekiranya kamu memaki saya 10 kali, kamu tidakmendengar cacian daripada saya walaupun satu. Sekiranya kamu memaki saya dan kata-kata kamu itu benar, saya memohon semoga Allah mengampunkan diri saya dan apabila saya keliru, saya memohon semoga Allah mengampunkan kamu."

Dalam keadaan seperti itu, anda tidak bergantung pada sesuatu apa pun selain Allah kerana anda tahu, Allah adalah pemimpin anda menuju kedamaian sejati. Anda juga yakin sekiranya anda memalingkan diri anda, walaupun sedikit daripadanya, ia bererti anda tidak mengikut panduanNya.

Menurut Syeikh Muhammad Mutawally Sya'rawi pula;
" Masyarakat sentiasa berasa senang dengan orang mukmin yang berbuat baik dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi. Orang mukmin bagaikan bunga yang harum semerbak dan mewangi di muka bumi ini. Selagi orang mukmin bersikap demikian, tidak mungkin hilang perkara yang disenanginya bahkan sekiranya mereka ditimpa musibah, Allah memberikan pahala musibah itu kepada mereka. Mereka menghadapi segalanya dengan rasa syukur, meskipun mereka tidak mengetahui hikmah yang terkandung didalamnya."

"Sebarkanlah kedamaian dan kebahagiaan saudaraku! Hentikan permusuhan dan kebencian antara sesama makhluk. Kita bosan dan jenuh dengan pelbagai pertikaian atas nama Tuhan. ALLAH tidak pernah menyuruh kita bermusuhan kerana permusuhan tidak pernah menyelesaikan masalah. Hanya cinta yang mampu menyelesaikan masalah."

------------########--------------
DOA HARI INI
------------#########-------------
YA ALLAH, Engkaulah as-Salam, sumber kedamaian dan kebahagiaan, hidupkan kami dalam kedamaian dan kebahagiaanMu. Satukan kami sehingga tidak ada lagi permusuhan dan kebencian atas namaMu. Terangilah hati kami dengan kedamaian dan kebahagiaan supaya kami dapat menjalani hidup ini dengan tenang. Sekiranya ada di antara kami memusuhi saudaranya yang lain atas namaMu dan mereka melakukannya demi kepentingan peribadi dan kelompoknya sendiri, Engkau bimbing mereka kejalanMu. Jangan biarkan saudara kami mencari kedamaian dan kebahagiaan dengan membenci sesama sendiri. Damai dan bahagiakanlah kami di dunia yang fana ini sebagai bekalan di akhirat sana yang kekal abadi. Aameen Ya Rabbal 'alamin....

-29 Muharram 1434H-

No comments:

Post a Comment