Sunday, November 21, 2010

IMAN?



Iman ialah sesuatu yang paling bermakna dalam hidup manusia. Ia merupakan satu kepercayaan ataupun aqidah (pegangan). Orang yang tidak ada iman ibarat perahu yang tidak ada juru mudi, ia akan hanyut ke mana sahaja mengikut arus. Orang yang tidak ada iman hidupnya akan terumbang ambing, ibarat buih dilautan, sekejap ke tepi sekejap ke tengah, mengikut tiupan angin dan tolakan gelombang.

Kalau diibaratkan kepada sebatang pokok, iman adalah terasnya. Yang menjadi asas kekukuhan (berdirinya) pokok itu. Jika teras itu rosak, maka akan hancur dan rebahlah sesuatu pokok itu.

Iman juga boleh diibaratkan sebagai kandil (lampu/pelita) yang menjadi sumber menerangi perjalanan seseorang. Menyuluh ke segenap lorong-lorong dan juga denai-denai kehidupan yang dilalui oleh seseorang itu. Tanpa kandil (iman) sudah tentu perjalanan seseorang itu menjadi sulit dan melencung ke tempat lain, yang akhirnya membinasakan dirinya sendiri.

Kalau iman itu diibaratkan kepada bintang atau bulan di langit, mereka yang tidak mempunyai iman itu samalah dengan langit waktu malam tanpa bulan dan bintang. Ianya akan hitam dan gelap lagi menakutkan.

Begitulah besar dan mustahaknya cahaya iman dalam kehidupan. Iman umpama cahaya atau obor. Nyala obor akan bercahayalah kehidupan seseorang itu. Padam obor maka akan gelap dan hitamlah seluruh kehidupannya. Tertutuplah jalan bagi menghadap Allah.

Iman ialah merupakan keyakinan kepada Allah. Yakin dalam erti kata yakin mutlak yang tidak ada apa-apa syak wasangka. Yakin dengan lebih 100% yang sampai ke peringkat Qul Haqul Yakin, yakin yang tidak boleh bergoncang dan diubah-ubah lagi. Yakin ini tidak boleh ditukar ganti ataupun dilemahakn dengan diwas-waskan oleh mana-mana kuasa. Tahap keyakinan ini sampai seseorang itu sanggup dan bersedia dibunuh daripada ia mencabut keyakinan kepada Allah. Keyakinan ini pernah ditunjukkan oleh para Rasul, wali Allah dan anbiya' terdahulu. Contohnya Nabi Allah Ibrahim sedikitpun tidak gentar apabila dicampakkan ke dalam api. Begitu juga dengan Bilal bin Rabah sesekali tidak bersedia untuk menukarkan agamanya (Islam) kepada agama kafir walaupun ditindih dengan batu berat.

Kau Bilal bin Rabah cekal dan tabah
Dipanggang di gurun yang panas
Biarpun dirimu didera diseksa
Bibirmu tetap menyebut

Allah Tuhanku
Allah Yang Satu
Tiada Tuhan selain Allah
Muhammad Pesuruh Allah


Apabila disebut kita beriman kepada Allah, bermakna kita memperakui kebesaran Allah. Kita mempercayai kekuasaanNya dan kita mentaati apa yang disuruhNya itu. Kita mempercayai dan memperakui bahawa Allah yang berkuasa sepenuhnya ke atas alam raya ini termasuk ke atas diri kita semua.

Kita yakin tanpaNya kita tidak akan ada dan alam ini tidak akan zahir. Kita juga yakin bahawa diri kita ini dan seluruh isi alam ini berada dalam kekuasaanNya.

Demikian juga apabila disebut kita beriman kepada Rasulullah, bermakna kita mempercayai kepada ajarannya, kewujudannya, sifat-sifatnya, serta mukjizatnya serta bersedia pula untuk mematuhi dan mentaatinya.

Kemuncak keimanan kepada Allah, kita melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Kita laksanakan dengan penuh keikhlasan dan ketaatan. Bukti keimanan kita ialah apabila kita mengenal makrifat dengan Tuhannya.

Hakikat iman itu ialah meyakini kepada Allah dan dalil-dalilnya dengan sesungguhnya kemudian yakin kepada diri sendiri. Yakin kepada diri sendiri ialah yakin kepada pengalaman yang berasaskan ilmu dan ajaran Rasulullah. Keupayaan untuk meyakini itu kita perolehi hasil daripada pengalaman (praktik) kita kepada ilmu yang ditunjukkan itu.

Sumber iman itu datangnya daripada pancaran yang bernama Nur Qalbi (cahaya hati). Hati ini ialah Nur yang berhubung terus dengan zat Allah. Nur inilah yang memancarkan iman, yang membolehkan seseorang itu yakin kepada Allah yang bersifat ghaib. Hati juga merupakan kabel yang menghubungkan insan dengan Khaliqnya.

Hati yang terletak di rongga dada itu hanya simbol semata-mata. Itu hati fizikal. Hati yang seketul itu tidak memberi apa-apa faedah dan membawa apa-apa erti. Ia tidak menjamin seseorang itu dapat berhubung dengan Allah. Sebaliknya hati seketul itu banyak membawa kemusnahan kepada manusia kerana ianya dihiasi dan menjadi singgahsana kepada iblis dan nafsu.

Hati ini masih belum diproseskan lagi. Sebenarnya hati inilah juga yang akan memancarkan cahaya setelah ia diproses kelak. Hati inilah yang dapat menyilaukan Nur Iman ke dalam diri seseorang.

Hati yang tidak bersih tidak dapat menangkap cahaya Iman dari Nurullah. Kekotoran yang ada padanya menyebabkan ia tidak dapat menerima maklumat daripada Allah dan tidak dapat menerima apa-apa kebaikan yang disampaikan kepadanya. Keadaaan hati ini umpama radio yang gelombangnya tidak betul. Ia tidak dapat menerima suara dengan jelas dan kadang-kadang bercampur aduk dengan pelbagai suara atau siaran.

Untuk memastikan hati kita dapat menerima cahaya keimanan, hendaklah membersihkannya setiap masa. Menyucikannya serta menyinarkannya. Ibarat radio tadi, stesennya hendaklah dipastikan sentiasa berada pada gelombang yang betul. Janganlah jadikan sekeping hati itu sebagai tempat berhimpunnya segala macam kuman atau virus mazmumah yang bertindak menutup pintunya daripada menerima bisikan dan ilham daripada Allah.



Jagalah hati jangan kau kotori
Jagalah hati lentera* hidup ini
Jagalah hati jangan kau nodai
Jagalah hati cahaya Ilahi


*lentera - lampu (yang bertutup dengan kaca dll)

No comments:

Post a Comment