Hendaklah setiap kamu bersedekah untuk masing-masing ruas tulang badannya. Maka setiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kebaikan adalah sedekah, melarang keburukan adalah sedekah, dan sebagai ganti dari semuanya itu, cukuplah mengerjakan solat Dhuha sebanyak 2 rakaat. (diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud dari Abu Dzar r.a.)
Ahmad dan Daud meriwayatkan dari Buraidah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud "Dalam tubuh manusia itu terdapat 360 ruas tulang. Hendaklah dia bersedekah untuk setiap ruas itu."
Para sahabat bertanya: Siapakah yang mampu melaksanakan itu, ya Rasulullah?
Rasulullah s.a.w. menjawab: Kotoran yang ada di masjid, lantas ditutupnya dengan tanah, atau menyingkirkan sesuatu gangguan dari tengah jalan itu bererti sedekah. Atau sekiranya sanggup, cukuplah diganti dengan mengerjakan solat Dhuha 2 rakaat.
Hakim dan Thabrani meriwayatkan dari Nuwas bin Sam'an, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, yang bermaksud " Allah 'azza wajalla berfirman: Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan solat sebanyak 4 rakaat pada permulaan siang (solat Dhuha), kelak akan Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya."
Rasulullah s.a.w. mengirimkan 1 pasukan tentera lalu mereka banyak mendapatkan harta rampasan dan cepat kembali. Maka orang ramai memperkatakan betapa cepatnya perang itu selesai dan betapa banyaknya harta rampasan diperolehi dan segera pula kembali. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda :
Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang lebih cepat dari peperangan yang semacam itu, lebih banyak pula harta rampasan yang diperolehi bahkan lebih cepat pula kembali daripada itu?
Iaitu seseorang yang berwuduk kemudian pergi ke masjid untuk melakukan solat Dhuha. Orang itulah yang lebih cepat selesai perangnya, lebih banyak memperolehi harta rampasan dan lebih segera pula kembalinya. (diriwayatkan oleh Ahmad, Thabrani dan Abu Ya'la dari 'Abdullah ibn 'Amr)
Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha waktu DhuhaMu, cahayanya cahayaMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu.
Ya Allah, sekiranya ada rezeki di langit maka turunkannya,
jika ada di bumi maka keluarkannya,
jika jauh maka perdekatkannya,
jika adanya hampir maka permudahkannya dengan kebenaran DhuhaMu, cahayaMu, kekuatanMu dan kesucianMu,
berilah kepadaku sebagaimana Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang soleh.
Dan semoga Allah cucuri rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas keluarga dan para sahabat Baginda sekalian. Segala puji adalah bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.
No comments:
Post a Comment