Saturday, November 13, 2010

KENALI ADAT PEPATIH



Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sabatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.

Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.

Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).

Adat perpatih adalah tulang belakang tradisi masyarakat dan budaya adat di Negeri Sembilan. Ianya diamalkan semenjak turun-temurun dari lapisan generasi terdahulu, bak kata papatah “tak luput dek hujan tak lekang dek panas.” Adat ini banyak memberi keistimewaan kepada kaum perempuan, terutama dalam masalah nasab dan pembahagian harta. Mentaliti masyarakat luar selalunya pesimis kepada adat perpatih kerana ianya digambarkan secara negatif, seolah-seolah kaum lelaki tidak berkuasa ke atas harta-benda di bumi Minangkabau tersebut. Sepatutnya mereka mengkaji dahulu apakah sangkaan ini benar, bak kata adat: “kata adat banyak kiasan, ditunjuk dia tetapi bukan, bergulung pendek, panjang terentang, tak faham kalau tak direnungkan.”

Setelah beberapa kurun adat perpatih ini diamalkan di Negeri Sembilan, zaman mutaakhir ini kita dapati ianya semakin dilupakan terutama generasi baru yang lahir di sekitar tahun 60-an ke atas. Rata-rata anak watan Negeri Sembilan yang berumur 30 tahun ke bawah tidak memahami adat perpatih, mereka hanya tahu menyebut nama sahaja tetapi inti pati dan pengajarannya tidak diketahui secara mendalam.

Profesor Madya Norhalim Ibrahim membuat kesimpulan bahawa kaum perempuan Negeri Sembilan tidak lagi menjaga dan mengambil berat kepada rumah pusaka dan sawah padi yang menjadi tonggak kekuatan adat perpatih. Ini kerana mereka telah berhijrah ke bandar-bandar atau ke negeri lain untuk bekerja di sektor kerajaan atau swasta.

Apabila kaum perempuan meninggalkan kampung, maka tanah akan terbiar dan sistem kekeluargaan atau kekerabatan yang menjadi ikatan yang kukuh dalam masyarakat tani Negeri Sembilan menjadi longgar dan terungkai.

Menurut beliau, pembahagian harta mengikut nasab ibu telah diamalkan oleh penduduk watan Negeri Sembilan sejak 600 tahu lalu sebelum kedatangan orang Minangkabau Sumatera. Dengan itu adat yang mempunyai adat persamaan ini mudah diterima oleh penduduk tempatan melalui proses asimilasi dan akodomasi.

Tetapi di dalam masalah harta pencarian suami, ianya adalah sesuai dengan Islam. Prof. Madya Dr. Nadzan Haron di dalam kertas kerjanya “Perlaksanaan Peraturan Adat dalam Sistem Adat Pentadbiran Tanah”, beliau membicarakan tentang tanah pusaka, tanah carian bujang dan tanah carian suami isteri. Penjelasan ini amat penting untuk menghilangkan kekeliruan kepada jejaka luar adat perpatih yang ingin menyemenda atau berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan.

Harta hak milik terbahagi kepada dua jenis, pertama, harta pusaka benar dan keduanya ialah harta carian. Tanah pusaka benar memang jelas iaitu tanah yang diwarisi oleh kaum perempuan dalam sesuatu suku, tanah pusaka benar ini tidak dibenarkan dijual atau digadai tanpa syarat-syarat tertentu.

Manakala dalam konsep hak milik harta carian bujang atau carian sendiri, ia adalah hak milik bebas yang membolehkan individu yang memiliki harta itu bebas melakukan apa jua bentuk urusan dagang. Mengenai harta carian suami isteri pula sebarang bentuk transaksi atau jual beli hendaklah mandapat persetujuan bersama. Sekiranya berlaku perceraian atau pertikaian ke atas harta carian suami isteri, biasanya ianya diselesaikan mengikut hukum Islam.

Dalam masalah harta carian suami isteri ini, hukum adat menyatakan “carian bahagi, dapatan tinggal, bawaan kembali”. Ianya bererti, harta yang dicari semasa hidup akan dibahagi sama rata jika ditakdirkan berpisah. Adapun harta dapatan iaitu harta yang didapati dari pusaka akan ditinggalkan kepada pewaris asal. Manakala harta bawaan iaitu harta yang dibawa dan didapati sebelum perkahwinan akan diambil oleh yang empunya harta tersebut.

Dengan ini tiada sebab orang luar untuk merasa takut atau bimbang kepada harta mereka, sama ada dicari semasa bujang atau selepas berkahwin dibolot oleh isteri dan balik sehelai sepinggang apabila ditakdirkan berlaku perceraian. Si isteri hanya mengambil haknya sahaja dan menyerahkan semula semua hak suami.

Daripada foktor-faktor di atas, dapatlah kita merumuskan bahawa adat perpatih semakin terpinggir kerana sifatnya sebagai perkara “hadith” (baharu) tetap menerima “fana” (kemusnahan). Perubahan zaman telah menuntut perubahan kepada adat tradisi agar ianya seiring dengan keperluan semasa.

Hanya ajaran Islam sahaja yang sesuai di setiap masa dan tempat, kerana ianya adalah ajaran Allah SWT yang telah menjamin untuk menjaga kelangsungannya dan kesinambungannya sehingga ke Hari Qiamat. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami yang menurunkan Al-Zikra (Al-Quran), maka Kamilah yang menjaganya.

Bagi kita golongan yang mendalami agama, mana-mana adat yang bersesuaian dengan ajaran Islam perlulah diteruskan dan diamalkan.

"Adat Bersendikan Hukum. Hukum Bersendikan Kitab ALLAH. Syarak Mengata, Adat Menurut"

Sumber:
http://www.ns.gov.my/daerah/pilah (Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah) http://fidafirrah.multiply.com/journal/item/5/Adat_Perpatih (Insan Kerdil disisiNya)
http://waghih.blogspot.com (Syarak Mengata, Adat Menurut)

No comments:

Post a Comment