Monday, June 15, 2015

ABC#128

Salam Mahabbah Fillah 29 Syaaban 1436H.. Hari SELASA yang damai dan penuh cinta-NYA. Segunung Kasih Selangit Sayang Selaut Cinta di Muara RINDU buat sahabat fillah hati emas yang dikasihi kerana ALLAH. Semoga segala urusan kita sepanjang hari DIA permudahkan.

Dengan lafaz BISMILLAH..lakaran Warkah Pengikat HATI EMAS ini dimulakan buat peringatan diri yang serba kekhilafan dan dhaif ini.

ALHAMDULILLAH.. Terima kasih Ya ALLAH atas nikmat Ihsan, Iman dan Islam anugerah agungMU buat diri kami sehingga detik MASA ini.


Selamat Hari Mantai..

Ramadhan Al-Mubarak 1436H
*******



Bacalah Al-QURAN..

Bacalah al-QURAN setiap hari 1 JUZ..
Jika tidak mampu, bacalah sekadar sehelai atau satu muka surat..
Jika tidak mampu, berusahalah walau dengan hanya satu ayat..
Jika tidak mampu jua, cukuplah hanya dengan memandang al-QURAN 

dan ditanyakan kepada diri sendiri:

"Ya ALLAH.. Apakah dosaku sehingga diriku ini tidak mampu membaca ayat-MU?"


**WARKAH PENGIKAT HATI: 
Umar Abdul Aziz dan Nur Najiha**


"Najiha,
Kalau membaca Al-Quran, jangan berhenti sesuka HATI EMAS-mu sayang, 
kena sempurna mengikut tajwidnya. 
Saya berharap CINTA kita seperti itu jua, 
hanya akan terhenti sempurna pada akhir hayat."
-Umar-


*******
“KAMU hendak yang macam mana Umar?” tanya Hajah Khairiyah malam itu dalam telefon. 

“Yang cantik, yang berpendidikan tinggi, jenis ustazah-ustazah ke, ada ijazah ke, ada diploma ke, atau kamu nak yang jenis jadi suri rumahtangga?”

“Mak…” Umar tergelak kecil.

Emak ini mentang-mentanglah abang Hakim itu baru kahwin tahun lepas, dia yang muda dua tahun dari Hakim itu emak hendak bereskan cepat-cepat. Padahal bukan emak tidak ada menantu. Masuk isteri abang Hakim itu, emak sudah ada tiga menantu.

Kakak sulung dan kakak keduanya masing-masing sudah kahwin dan ada anak, tambah pula dengan Kak Huda yang baru kahwin dengan Hakim tahun lepas, nah, menantu emak sudah tiga. Tapi begitulah, hati emak itu  sentiasa risau padanya yang masih menyendiri.

“Kamu nak pilih sendiri ke?” tanya emak lagi dalam telefon.

Hajah Khairiyah itu susah hati betul dengan anak terunanya itu. Sudah masuk usia 30 tahun, hati ibu mana yang tidak risau. Sudahlah jauh di rantau orang. Sepatutnya orang yang kerja ustaz macam Umar itu sudah awal-awal lagi kahwin.

“Mak… saya cuma nak orang yang faham saya, yang sanggup bersusah-payah sama-sama saya, sebab kalau boleh saya nak bakal anak-anak saya nanti bakal huffaz, Insya Allah. Mak doalah saya jumpa orang yang begitu ya,” kata Umar dengan nada memujuk.

Dia geli hati juga dengan emak itu, nanti lepas dia kahwin nanti tentu emak sibuk hendak kahwinkan Habib, adiknya yang muda tiga tahun darinya itu.

“Yalah… macam-macam kamu ni. Kahwin siapa-siapa pun sama Umar, kamu kan ‘hafiz’, kamu boleh didik sendiri anak-anak kamu nanti. Tak perlu tunggu isteri kamu pun,” komen Hajah Khairiyah di hujung talian.

“Iya… tapi hendak kekal jadi huffaz seumur hidup itu banyak cabarannya mak,” kata Umar pula. 

“Mak doakan saya ya, agar jumpa pilihan hati saya…”

“Iya... iya… mak doakan agar kamu jumpa pilihan hati kamu nanti. Ke dah ada? Orang sana ke?” tanya Hajah Khairiyah serkap jarang.

Sejak Umar itu memilih untuk jadi guru tahfiz di Kuching, Sarawak, dia jadi susah hati. Susah hati soal makan minum Umar, dan lebih-lebih lagi susah hati dengan Umar yang sampai sekarang masih belum ada pasangan hidup.

“Belum… belum jumpa. Dia tersalah naik flight kot mak, tu yang asyik tak berselisih hehe…” Umar tergelak.

“Macam-macam kamu ini,” Hajah Khairiyah sudah tersenyum-senyum di sebelah sana. Umar ini memang ada-ada saja.

SAMPAI di hadapan tangga besar masjid, Najiha parkir kereta betul-betul di hadapan tangga. Keluar dari kereta, dia mendongak memandang kamera CCTV yang dipasang di sudut tiang. Entah kenapa ada tabiat sebegitu. Sejak dia tahu ada banyak kamera CCTV dipasang di segenap penjuru masjid ini, dia jadi suka memandang kamera itu. Terasa selamat dan sentosa berada di masjid, wah… ayat kamu Najiha.

“Rafiq... mari. Dah sampai...” Najiha buka pintu kereta.

Rafiq ini memang manja. Kereta mesti diparkir betul-betul di hadapan tangga. Jadi dia tidak perlu berjalan jauh. Macam mana mahu jadi mujahid ni Rafiq? Awal-awal lagi sudah begitu manja malas berjalan jauh.

“Eh… kuncilah. Pintu tak buka…” kata Rafiq bila melangkah keluar dari kereta. Wajahnya melihat ke arah pintu aras bawah masjid yang bergril, selalunya memang dibuka. Oh, yalah. Najiha tak perasan. Selalunya kalau jam 8:20 pagi macam ini, sudah buka. Mungkin ada orang mandikan jenazah pagi ini, sebab itu pintu sebelah sini ditutup, padahal selalunya kalau ada jenazah pun, pintu itu tetap dibuka.

Mungkin pakcik pengawal lupa mahu buka. Kelas Rafiq betul-betul bersebelahan dengan bilik yang dikhususkan untuk mandikan jenazah.

“Kita pakai pintu satu lagi…” Najiha tarik tangan Rafiq lembut.

Anak ini comel betul. Wajahnya yang mulus dan tampan itu memang memikat. Bohonglah kalau orang kata Rafiq tidak tampan. Kecil-kecil lagi sudah nampak tampan dan berseri-seri. Mungkin orang yang menghafaz Al-Quran memang wajahnya berseri begitu.

Pintu satu lagi ialah di bahagian tengah. Yang ini agak meriah dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sini. Lepas itu di atas perkarangan masjid itu ada apa ya? Ya, hari ini kan hari Jumaat. Oh, mungkin ada tazkirah pagi untuk staf masjid ini. Baru hari ini Najiha perasan ada sekumpulan lelaki di perkarangan masjid sebelah sini. Ada 3 orang lelaki sedang beri taklimat lagaknya di hadapan mereka. Mungkin bacaan Yasin awal pagi sebab macam ada buku kecil di tangan lelaki-lelaki itu.

Menyedari pandangannya ke sisi atas masjid itu mendapat perhatian seorang dua lelaki di situ, Najiha cepat-cepat memandang ke hadapan. Oh, malunya kalau ada yang perasan dia sengaja meninjau-ninjau ke atas tadi, dengan niat mahu meneropong wajah-wajah tenang di situ. Entah kenapa dia suka pandang wajah staf yang bekerja di masjid itu, semuanya tenang belaka. Bila waktu azan berkumandang, rata-rata mereka bergegas ambil wuduk untuk menunaikan solat di awal waktu. Rasa hendak berhenti kerja dan mohon masuk kerja di masjid ini. Biar hati setenang ini.

RAFIQ dihantar sehingga ke pintu kelas. Nampak beberapa orang lelaki keluar masuk dari bilik jenazah di sebelah kelas itu. Dulu bila dapat tahu kelas Rafiq betul-betul bersebelahan dengan bilik jenazah, Najiha terasa takut juga. Dia takut Rafiq ternampak benda yang bukan-bukan. Macam tahun lepas, ada seorang murid yang pernah belajar di kelas itu, mohon keluar dari sekolah itu sebab asyik ternampak sesuatu. Sesuatu yang tidak sepatutnya tidak dilihat dengan mata kasar. Entahlah, tapi budak-budak ada juga yang boleh nampak benda ghaib begitu.

Itu yang Najiha selalu guna pintu tengah masjid. Sekarang, dah biasa, dah masuk 3 bulan Rafiq di situ, dia lalu saja bilik jenazah itu macam biasa. Rafiq pun tak ada apa-apa masalah. Malah dia pandang bilik mandikan jenazah itu macam kelas-kelas yang lain juga.

Sebelum Rafiq dilepaskan masuk ke dalam kelas, harus dipeluk cium dulu budak berusia 6 tahun itu. Anak bongsu memang manja. Kalau tak dipeluk cium, muka semacam saja. Jadi semua yang lalu-lalang di situ mesti ingat Najiha ini ibunya, sedihnya selalu sahaja sahamnya merudum jatuh gara-gara selalu bawa Rafiq dan Lutfi ke sana-sini.

Tapi selepas itu tambah 10 markah sebab orang mesti akan cakap pada dia, comelnya anak-anak awak. Kembang hidung Najiha bila orang puji begitu walaupun dia cuma ibu saudara Rafiq. Nak kata Rafiq tu comel macam awaklah ya Najiha. 

KUNCI di tangan dipegang erat. Ustaz Umar berjalan pantas melewati pejabat pentadbiran am masjid dan kelas-kelas tahfiz menuju ke bilik jenazah. Ustaz Salleh menelefonnya tadi meminta bantuan untuk mandikan jenazah yang baru sampai awal pagi tadi. Kalau tidak kerana Affendi itu demam dan Fazli pula cuti dua minggu, kemudian ada pula waris jenazah di Taman Permata yang malam tadi sudah menelefon meminta bantuan staf mereka untuk uruskan, tentu Ustaz Salleh itu tidak kalut begitu. Staf tidak cukup, kata Ustaz Salleh. Terpaksa minta tolong cikgu tahfiz yang tidak ada kelas.

Taman Permata tidak ada surau sendiri, kalau ada pasti mereka ada staf sendiri yang menguruskan jenazah. Jadi staf bahagian jenazah yang tinggal di masjid, setelah dipinjam ke sana-sini, cuma tinggal 4 orang sahaja. Pagi ini pula ada dua jenazah yang menunggu giliran. Itu yang Ustaz Salleh terpaksa minta bantuan dia.

Walaupun dia ini bukannya staf bahagian urusan jenazah, dan cuma guru tahfiz di sini, tapi kadang-kadang khidmatnya diperlukan juga untuk urusan begini sekiranya keadaan betul-betul memerlukan. Tak apalah, detik Umar dalam hati. Fardhu kifayah.

Pagi itu, usai saja tazkirah pagi tadi, nasib baiklah dia tidak ada kelas hafazan dengan pelajar tahfiz. Semua murid tahfiz yang berusia 4 dan 5 tahun ada lawatan sambil belajar di Kem Tentera. Yang tinggal cuma murid tahfiz yang berusia 6 tahun sahaja.

Dari jauh lagi Ustaz Umar nampak Rafiq dicium oleh seseorang di hadapan kelas Ibn Khaldun 6. Pasti ibunya. Dia menggeleng kepala. Memang dia kenal Rafiq yang kuat menangis itu. Siapa tidak kenal Rafiq. Anak muridnya itu, pantang dipaksa menghafaz secara solo, mesti menangis.
Itu belum lagi dengan kisah murid-murid yang berusia 4 tahun dan 5 tahun. Yang itu memang mencabar jiwa dan raga mengajarnya. Mujur rata-rata yang masuk ke sekolah ini terang hati belaka. Mungkin khasiat menghafaz ayat-ayat Al-Quran.

Bilik jenazah di hujung sekali, sebelah kelas Ibn Khaldun 6. Melewati Ibn Khaldun 6, Ustaz Umar menjeling sekilas pada ibu Rafiq yang masih berdiri di hadapan pintu kelas. Padanlah hari ini Rafiq tidak menangis pagi-pagi, ada ibunya menghantar sampai ke pintu, siap peluk cium berkali-kali.
Rafiq pula tersenyum-senyum suka. Kalau tidak dipeluk cium begitu oleh Najiha, nanti dia menangis. Mujur ada kawannya di dalam kelas itu sudah menggamit Rafiq supaya cepat-cepat masuk ke dalam kelas. Najiha terasa cuak juga, takut kalau-kalau Rafiq itu buat hal lagi. Selalunya, kalau dia yang hantar Rafiq ke sekolah, mesti Rafiq yang terlebih dos manja itu menangis meraung-raung hendak ikut Mak Usunya ini balik macam tahun lepas. Ini sudah masuk  tiga bulan di taska untuk budak-budak usia 6 tahun, jarang Rafiq buat perangai tak senonoh begitu lagi.

“Assalamualaikum Ustaz…” tegur Rafiq ceria ketika Ustaz Umar lalu di hadapan pintu kelas.

“Ya… waalaikumsalam…” senyum Ustaz Umar gembira. Memang murid-murid di situ sudah dilatih agar sentiasa memberi salam ketika berjumpa dengan guru-guru mereka.

Najiha mengangkat muka memandang Ustaz Umar sekilas. Amboi Rafiq, sukanya kamu pagi ini ya. Ada Mak Usu kesayangan kamu menghantar sampai ke pintu. Kalau Tok Man yang hantar, muka Rafiq asyik masam mencuka.

Yalah, Tok Man mana pandai sangat nak peluk cium budak-budak. Tok Man kan peguam. Tentulah tegas memanjang dengan misai melintang yang bikin tambah wajahnya jadi garang. Tersenyum Najiha mengingatkan ayahnya itu. Hari itu dia minta cuti, sebab itu dapat hantar Rafiq ke sekolah. Selalu ayahnya yang akan menghantar Rafiq ke sekolah. Tapi hari ini ayah ada urusan di luar daerah pula.

Ustaz Umar menghampiri pintu bilik jenazah yang tertutup. Mudanya ibu Rafiq, detik hatinya bila terpandang wajah manis itu sekilas. Kahwin muda agaknya.

Ustaz Umar menguak pintu bilik jenazah.

“Assalamualaikum Salleh…” serunya. "Saya buka pintu sebelah sini dulu ya. Van jenazah nak sampaikan?"

***bersambung.. Novel Warkah Pengikat Hati.




NOTA CINTA-NYA HARI INI
-----
28:24. Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh, lalu berdoa dengan berkata: Wahai TUHAN-ku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang ENGKAU berikan.
(QS. Al-Qasas, 28:24)



 


30:21. Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNYA dan rahmatNYA, bahawa IA menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNYA di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(QS. Ar-Rum, 30:21)

-------
#ALHAMDULILLAH.. Allah Beri Cinta-NYA.. 29-08-1436H | 16-06-2015M 13:21
#JodohItuSepertiBuahDurian..akanMasakDanGugurPadaMASAyangTelahDitetapkanNYA
#RezekiAkhirSyaaban1436H
#KampungMasjidTuaRenggohN9
#SelamatHariMantaiRamadhanAlMubarak1436H

No comments:

Post a Comment